26Mei2020

Agenda Daily

Kekuatan 'calon lama' bertanding semula...

Jolokan 'calon kitar semula' tidak seharusya diberikan kepada calon-calon lama yang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini dan dinamakan semula untuk PRU tahun ini kerana ia merupakan amalan biasa bagi parti Barisan Nasional (BN) mahupun gabungan parti pembangkang.

Penganalisis politik, Nor Zuwairi Zakwa berkata, bahawa tindakan mencalonkan semula sama ada mantan penyandang kerusi Parlimen atau DUN atau calon yang pernah bertanding pada beberapa PRU sebelum ini adalah merupakan sebahagian daripada strategi parti-parti politik yang bertanding pada PRU kali ini.

“Kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya melabelkan calon kitar semula itu sebagai calon yang lemah atau tidak berpotensi. Mungkin calon tersebut pernah kalah (pada PRU sebelum ini) bukan disebabkan faktor kelemahan diri sendiri, tetapi kemungkinan juga disebabkan faktor undi protes, perpecahan dalaman parti, isu nasional atau tempatan dan lain-lain faktor lagi sehingga akhirnya ‘memangsakan’ calon itu sendiri.

"Hal ini diperkukuhkan lagi, apabila kajian selepas PRU yang dilakukan, mendapati bahawa kebanyakan pengundi di kawasan itu termasuk ahli parti akar umbi lebih mengkehendakkan calon yang pernah bertanding itu atau mereka yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum ini tetapi tidak bertanding pada PRU yang lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau yang juga merupakan Calon PhD Sains Politik berkata, walaupun kalah pada PRU namun calon-calon itu tetap juga dan berkhidmat kepada masyarakat setempat sama ada atas kapasiti sebagai Penyelaras Parlimen/DUN atau sebagai wakil parti atau nama individu sepanjang tempoh lima tahun sehingga mereka ini akhirnya berjaya ‘menambat’ hati masyarakat setempat.   

"Saya juga menyangkal dakwaan kononnya parti yang mengemukakan calon kitar semula itu sebagai parti yang ketandusan pemimpin kerana kepimpinan parti umpamanya seperti UMNO di pelbagai peringkat telah mengemukakan senarai nama lebih daripada satu calon bagi sesebuah kawasan yang kemudiannya dilakukan proses penyaringan oleh beberapa agensi dan seterusnya di peringkat kepimpinan pusat parti.

"Faktor utama yang menjadikan calon-calon ini dipilih semula sebagai calon parti adalah disebabkan sebilangan daripada mereka ini mempunyai kedudukan dan jawatan dalam parti selain menjadi pilihan di peringkat akar umbi dan kepimpinan utama parti serta mampu menjana kemenangan (winnable).

"Mereka ini juga pastinya  mempunyai rekod pencapaian berkhidmat dengan cemerlang terhadap masyarakat dan kawasan mereka sama ada sebagai mantan penyandang kerusi atau calon yang kerja lebih awal sebelum nama mereka dicalonkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan itu tidak seharusnya dipandang dari sudut negatif kerana kemasukan semula mereka ini mempunyai asas yang kukuh.

"Calon yang dikatakan sebagai calon kitar semula ini wajar juga diberikan peluang dengan syarat mereka ini tidak pernah dikaitkan dengan sebarang skandal atau isu kontroversi yang boleh mencemarkan imej mereka dan parti di samping mereka yang telah secara terang-terangan ditolak oleh pengundi setempat," akhirinya.-30/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 386  tetamu dalam talian