18Jun2019

BN menang penduduk Gopeng dapat projek tebatan banjir

Seramai 9,200 penduduk dalam zon Batu Gajah dan Parlimen Gopeng diminta memastikan kemenangan BN pada PRU 14 ini bagi membolehkan projek fasa kedua tebatan banjir berskala besar di kawasan parlimen itu diteruskan tanpa halangan.

Calon BN bagi DUN Sungai Rapat, Datuk Hamzah Kasim berkata, pelaksanaan projek itu amat penting untuk menyelesaikan masalah banjir yang memberi kesan buruk kepada penduduk terutama disekitar kawasan Sungai Terap, Kampung Pisang, Sungai Resam, Sungai Jernih dan Taman Shin Tin.

Menurut beliau, penduduk di semua kawasan terbabit harus bijak menilai dan menghargai  jasa dan usaha kerajaan BN dalam menyelesaikan masalah banjir yang menghantui mereka selama ini dengan melaksanakan projek berkenaan.

``Rakyat perlu  memastikan BN terus menjadi kerajaan bagi memboleh projek tebatan banjir ini terus dilaksanakan dan tidak akan tergendala.

``Saya seru ambillah peluang dan kesempatan ini demi kesejahteraan rakyat…Bukan sekadar mencuci rumah apabila dilanda banjir yang kesannya jika tidak diatasi boleh membawa pelbagai penyakait dan kemalangan jiwa,’’ katanya.

Hamzah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gopeng berkata demikian kepada pemberita pada program taklimat dan penerangan Rangangan Tebatan Banjir (RTB) untuk Sungai Resam dan Sungai Jernih dan Sungai Rokam  di Kampung Sungai Terap, Batu Gajah malam tadi.

Menurut beliau, fasa pertama untuk program tebatan itu bermula pada Mac  2014 dan telah disempurnakan pada September 2015 manakala fasa kedua pula dijangka bermula April 2019.

Ditanya mengenai kempen, katanya bersandarkan kempen yang dijalankan jentera parti beberapa hari  lalu menunjukkan sokongan rakyat berbilang kaum di Parlimen Gopeng dan DUN Sungai Rapat sebagai yang amat positif.

Katanya, ini kerana hanya BN sahaja yang mampu membawa perubahan dan pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat.

Hamzah akan mencabar penyandang kerusi DUN Sungai Rapat, Radzi Zainon dari parti PAS selain berdepan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin dari PKR.-4/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 441  tetamu dalam talian