19November2019

Agenda Daily

Tengku Puan Pahang: Ini baru betul Masterchef

tengkupuanlead513Meskipun Pahang ketika ini negeri yang paling teruk dilanda banjir, namun pada saat ini saya pasti, ramai yang cemburu dengan rakyat negeri itu. Kerana, mereka ada puteri raja yang berhati mulia. Siapa lagi jika bukan Tengku Puang Pahang, Tunku Hajjah Azizah yang telah mengetepikan darjat dan protokol demi rakyat.

Saya percaya ramai yang tersentuh hati melihat gambar instagram yang menunjukkan beliau bertungkus lumus memasak untuk mangsa-mangsa banjir. Macam tak percaya, tetapi itulah hakikatnya. Kalau selalunya bila berlaku musibah, orang besar-besar akan datang hulur bantuan, wang ringgit dan sebagainya, tetapi Tengku Puan Pahang datang dengan meminjamkan dirinya di dapur.

tengkupuan

Beliau sendiri telah memasak juadah-juadah menggunakan kepakarannya. Dan kesemua gambar yang dimuatkan dalam instagram itu memperlihatkan keadaan beliau yang langsung tidak kisah tentang protokol. Sempoi saja. Tidak pun pakai pakaian yang membezakan beliau dengan orang kampung. Beliau jadi orang biasa.

Keprihatinan beliau bukan perkara baru kerana inilah juga orang yang membantu orang miskin dengan Tabung IVF dan saya percaya ada banyak lagi kisah beliau yang semuanya dibuat untuk rakyat bawahan. Ini baru betul, rakyat diutamakan.

tengkupuan3

Bertuah sungguh rakyat Pahang mempunyai Puteri yang kaya jiwa dan hati, tinggi budi pekerti. Sudah tentulah dalam kepayahan dan kepedihan, insan seperti ini dapat meleraikan kesedihan yang dirasai oleh mereka yang menjadi mangsa bencana banjir.

Dikhabarkan beliau bukan saja telah mengetuai bahagian dapur dengan baik menggunakan kepakarannya memasak, bahkan telah mengaturkan kerja dengan sempurna. Bukan itu saja, beliau telah membawa putera dan puterinya sendiri membantu sama - membersihkan dan mengemas, mencuci dan sebagainya. Dan, selain keluarga, beliau juga membawa rakan-rakannya yang lain bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat negerinya. Sememangnya, bencana yang menimpa negeri Pahang, khususunya di Kuantan memerlukan perhatian yang bukan sedikit, baik keperluan harian mahupun wang ringgit.

tengkupuan4

Inilah kebijaksanaan Tunku Hajjah Azizah kerana kehadiran beliau itu sendiri sudah cukup besar untuk membawa orang-orang lain turun padang. Bila ini berlaku, rakyat yang berdukacita pun teru7bat hati, bahkan rasa amat dihargai.

Jika semua orang membantu begini ketika musibah melanda negara, setiap masalah, walau seberat dan besar manapun pastinya menjadi ringan. Orang boleh komplen cakap itu dan ini tak betul, tapi apakah mereka sanggup turun padang seperti mana yang dilakukan oleh Tunku Hajjah Azizah? Sudah pasti duduk dekat dapur bukan sesuatu kerja yang glamour, kerana ia bukan dapur Masterchef berhawa dingin yang serba elit itu apatah lagi memasak dalam jumlah yang besar dengan suasana yang tentu kurang selesa. Bukan, di sini (dapur mangsa banjir) bukan tempat untuk meraih populariti.

tengkupuan5

Kalau kita fikir lagi, beliau boleh saja hantar bantuan, tanpa perlu bersusah, berpanas dan berpeluh begitu.Beliau boleh saja aturkan untuk orang kanannya mengusahakan agar segala hal berkaitan makanan dikendali dengan baik. Bukankah itu lebih lojik?

Tapi inilah sikap terpuji yang ada pada Tunku Hajjah Azizah. Saya bukan orang Pahang, tetapi saya sangat mengkagumi beliau kerana dalam apa jua hal sentiasa memberikan keutamaan pada rakyat. Keluhuran dan keikhlasan sinonim dengan beliau. Tidak semua orang boleh buat apa yang beliau lakukan dan bukan semua orang ada hati seluhur beliau. Sikap prihatin ini bukan lakonan atau sesuatu yang dibuat-buat.Sebab bukan semua orang sanggup redah banjir untuk bermandi peluh memasak untuk orang susah. Bukan semua orang boleh buat begini beb!

tengkupuan6

Sebab itu saya dan ratusan ribu anda yang lain tentunya sangat marah dengan pembangkang yang telah menjadikan Tunku Hajjah Azizah sebagai mangsa politik mereka. Sepatutnya mereka malu dengan diri sendiri yang masih nak main politik dalam berdepan dengan musibah begini. Ketika banjir sedang teruk melanda Kuantan, MP Pembangkang untuk kawasan itu masih berada di Parlimen, pong pang pong - melakukan kerja yang sangat mahir mereka lakukan - menyalahkan kerajaan. Dan inilah bezanya Pembangkang - mereka selalu jadi jaguh/hero dalam bercakap sedangkan Tengku Puan Pahang jadi hero dengan buat kerja.Sepatutnya masa begini, ketepikan soal politik dan perbezaan parti, bantu membantu itulah yang patut ada dalam hati dan kepala masing-masing sebagai rakyat jati negara tercinta.

tengkupuanpahang4

Tolong mana yang boleh. Tak dapat dengan tenaga, dengan wang ringgit pasti lebih bermakna. Jadi, bagi kita yang tak dapat tolong dengan tulang empat kerat macam Tengku Puan Pahang, eloklah hulurkan derma atau bantuan mana yang patut. Dan, jika nak derma wang ringgit, tak payahlah bagi pada tempat yang kita tak pasti akan ke mana salurnya. Seeloknya biarlah pada tempat yang sahih dan berdaftar yang sudah pasti akan diaudit dan kita tahu akan ke mana sumbangan itu. Setakat ini NSTP-Media Prima menyediakan saluran itu. Tak usahlah bagi sumbangan pada tempat yang bukan-bukan, misalnya pembangkang ada juga buat tabung untuk mangsa banjir ini. Tapi, apa berlaku selepas itu (wang dikutip) kita tak tahu sebab sebelum ini mereka juga ada buat kutipan derma untuk Tabung Lahad Datu, tapi apa jadi dengan kutipan itu dan ke mana perginya?

Masih belum terlewat untuk membantu terutama kalangan artis dan selebriti yang ada nama juga boleh sama-sama membantu berdasarkan kebolehan masing-masing. Mungkin Karyawan boleh kumpul artis untuk adakan persembahan raksasa bagi mengumpul dana untuk mangsa banjir bukan saja untuk Kuantan bahkan mangsa di negeri Terengganu. Kerana, maklumlah, hujung-hujung tahun begini, banyak duit yang nak dipakai terutama untuk sesi persekolahan yang akan bermula awal tahun depan iaitu beberapa hari saja dari sekarang.

Kepada Tunku Hajjah Azizah, Puan adalah Masterchef yang sebenar-benarnya. Semoga Allah lanjutkan usianya....-10/12/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 279  tetamu dalam talian