14Ogos2020

Agenda Daily

Seniman tulen macam P Ramlee dan Sudirman sudah tiada…

SESUATU yang saya sudah muak dengar adalah, “saya nak jadi penyanyi kerana nak bantu ibubapa saya di kampung. Jadi, tolonglah undi saya.”

 

Saya dapati ini sudah menjadi satu trend apabila masuk bertanding, mesti bagi tahu yang mereka nak jadi penyanyi atau pelawak kerana nak bantu keluarga. Bagus dari satu segi, tetapi ia memberikan kesan yang kurang baik dalam industri bahawa orang masuk industri ini kerana nak buat duit.

 

Ini semuanya bermula apabila Mawi menang dalam AF. Apabila menang, dapat rumah, kereta dan segala mak nenek kemewahan yang buat orang lain jadi jaki dan pasang angan-angan nak jadi kaya cepat – dengan menjadi artis. Kalau tak percaya, tanyalah peserta-peserta yang masuk segala macam show realiti yang ada kat TV sekarang ini – mereka semua mahu menang, mahu dapat tempat dalam dunia hiburan kerana mahu hidup atas duit.

Sebab itu, hari ini, seniman tulen macam P. Ramlee dan Sudirman sukar nak dicari. Ataupun memang tidak ada. Kerana, mereka adalah seniman tulen, yang bekerja dengan tidak kira soal nak buat duit. Mereka kerja dalam seni kerana cinta dan kasih sayang pada seni itu mengatasi segala-galanya. Sepatah kata orang putih , mereka cukup ‘passionate” dengan dunia seni hingga langsung tak kira soal masa, soal penat lelah dan sering kali tidak kisah sama ada untung atau rugi, dibayar atau tidak.

Sebab itu apabila kita tonton dokumentari P, Ramlee yang dibuat oleh Datuk Shuhaimi Baba (yang disiarkan di History Channel) tahun lalu, ramai yang menitiskan airmata. Itulah seniman tulen, mereka dahulukan seni melebihi segala-galanya. Kalau adapun harta, ia terkumpul dalam bentuk royalti, yang hanya dinikmati oleh kaum keluarga, bukan seniman itu kerana mereka sudah tiada ketika harta itu terkumpul.

Begitu juga dengan dokumentari Sudirman Haji Arshad yang akan disiarkan oleh History Channel pada 20 Februari ini jam 10 malam. Sepertimana dokumentari P. Ramlee yang memaparkan realiti hidup seorang seniman, begitu jugalah dengan dokumentari Sudirman. Ia menyingkap kisah benar ‘the singing lawyer’ itu yang telah mengabadikan seluruh hayatnya untuk seni.

Sebab itu, hari ini, apabila orang bercakap tentang seniman tulen, kita cepat terbayangkan seniman-seniman silam seperti P. Ramlee dan Sudirman. Macamlah tidak ada orang lain. Tapi itulah hakikatnya. Susah nak membayangkan artis lain sebagai seniman tulen kerana yang ada hari ini langsung tak ada kesenimanannya.

Yang ada hari ini hanyalah artis yang kerja sedikit, tapi mahu untung lebih. Yang jadi duta itu dan duta ini, dapat tajaan ribu-ribu apabila kahwin atau pindah rumah baru, sehingga mereka jadi malas nak guna otak untuk berfikir secara kreatif – tidak seperti P Ramlee dan Sudirman yang menggunakan segala kudrat yang ada untuk mencantikan kerja seni mereka.

Hari ini setiap orang ingat bagaimana cara kerja Sudirman. Untuk pastikan show , dia sendiri yang lakar skrip, lakonlayar, pakaian dan corak persembahan dan juga pentas. Seringkali, dia sendiri keluar belanja kerana bajet yang tidak cukup. Yang pasti, setiap kali dia keluar, baik TV atau album, dia mahu ia adalah yang terbaik daripada terdahulu, terhebat daripada yang sebelumnya. Tidak pernah ada kompromi dalam soal mutu.

Anda boleh fikirkan, siapa artis hari ini yang bekerja seperti itu? -11/2/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 413  tetamu dalam talian