19November2019

Agenda Daily

Ombak Rindu nak disambung... tapi apa kisah pemilik asal ceritanya?

ombakrinduFILEM Ombak Rindu sekarang ini tengah meletup-letup di pawagam. Empat hari tayangan saja sudah cecah RM4 juta dan dijangka capai RM6 juta menjelang hujung minggu ini. (terkini, Rabu, ia sudah melebihi RM5 juta).

Dan, khabarnya, Astro Shaw dan Tarantella Pictures Sdn Bhd sudah membayangkan mahu sambung kisah cinta ini dalam sequel Ombak Rindu 2. Tahniah juga kepada Osman Ali dan barisan pelakonnya, terutama Aaron aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani.

Saat ini, semua yang terlibat dalam produksi Ombak Rindu sedang senyum bahagia..semuanya kecuali penulis novel, Fauziah Ashari. Dalam temubual dengan sebuah akhbar, Fauziah macam jauh hati dengan banyak perkara, termasuk ada ayat di novel yang tidak dipaparkan dalam filem. Malah, dia juga macam terkilan kerana tidak terlibat dalam penulisan skrip filem tersebut.

Pendek kata, dalam satu muka temubual itu, sayu dan sedih saja nada Fauziah, seolah-olah beliau, selaku penulis asal novel Ombak Rindu telah didiskriminasi.

Katanya, “Harapan saya, sejujurnya saya mahukan semua yang terbabit jujur dan ikhlas menerima bahawa segala karya saya adalah hak saya. Bukan sahaja saya, tetapi semua yang bergelar penulis. Bukalah minda seperti penerbit filem Barat yang memartabatkan nama penulis buku kerana tanpa buku itu, tiada idea untuk buat filem.”

Bukan itu saja, Fauziah juga menyuarakan rasa tidak puas hati dalam soal bayaran malahan menganggap apa yang diterima adalah tidak setimpal. “Dapat sikit, tolak ulang-alik ke Kuala Lumpur untuk beberapa kali kerana sokongan padu pada filem Ombak Rindu, saya tak dapat sesenpun.”

Banyak lagilah yang disuarakan Fauziah. Kesimpulannya, dia tidaklah segirang pihak penerbit apabila Ombak Rindu meletup-letup di pawagam.

Sementara Osman Ali dikatakan sedang sibuk membuat penggambaran drama, saya menghubungi pihak Astro Shaw.

Menurut Penerbit Penyelaras, Jailani Abdul Ghani, apabila Fauziah melahirkan rasa kecil hati sebegitu, ia memberi persepsi kepada umum seolah-olah ada masalah di antara penulis novel   dan penerbit filem.

“Sedangkan untuk pembikinan kami berurusan terus dengan publisher, iaitu Alaf 21 yang memegang hakcipta ke atas novel. Kami tidak berhubung secara terus dengan  penulis.

“Jika soal bayaran, ia tiada kaitan dengan pihak kami (penerbit). Begitu juga dalam hal pembahagian bayaran, ia adalah di antara Alaf 21 dan Fauziah, berapa pecahan yang Fauziah terima, kami tidak tahu kerana ia terpulang kepada pihak publisher, kami sebagai penerbit filem sekadar mendapatkan hak untuk menjadikan Ombak Rindu sebagai sebuah naskhah filem,’ katanya.

Jailani bagaimanapun mempertahankan soal skrip di mana di peringkat awal, sememangnya produksi filem yang diketuai Osman Ali selaku pengarah tidak mahu melibatkan penulis dalam pembikinan dan penulisan skrip.

“Ia akan jadi terganggu kerana penulis biasanya akan minta macam-macam untuk dimasukkan dalam skrip sedangkan filem Ombak Rindu ini hanya sebuah  adaptasi, bermakna kita hanya ambil isi cerita bukan memindahkan novel ke filem. Itu dua perkara yang berbeza,’ jelasnya.

Menjadikan cerita filem yang dipadankan dari kisah sebuah novel sememangnya bukan mudah. Bahkan, di peringkat awal, tambah Jailani, selepas disunting, filem itu sepanjang 2 jam 56 minit. Ia bagaimanapun terpaksa disunting sekali lagi sehinggalah akhirnya dipendekkan sepanjang  2 jam 6 minit.

“ Itupun pihak panggung telah minta kami jadikan ia jangan lebih 2 jam, tetapi akhirnya mereka terpaksa akur dengan produksi yang filem itu tidak boleh dipendekkan lagi. Sebab itu di pawagam filem itu sepanjang 2 jam 6 minit, nak buat macam mana, ia tidak boleh dipendek.

“Ini masalah produksi yang penulis kena faham. Bukan semua elemen boleh dimasukkan dalam filem,” kata Jailani.

Menurutnya, apa yang disuarakan oleh Fauziah akan disalah tafsir. “Seolah-olah kami dengan dia ada berlaku perang dingin.”

“Patutlah ketika dihubungi semalam, untuk diajak berbincang sequel Ombak Rindu, Fauziah seolah-olah mengelak. Dia minta jumpa selepas filem Ombak Rindu habis tayangan,” katanya.

Mengenai soal penghargaan kepada penulis, Jailani menjelaskan  pihak penerbit tidak pernah mengketepikan nama Fauziah dan ia memang jelas tertera  pada pembukaan dan penutup filem, iaitu diadaptasi “dari novel terlaris Fauziah Ashari.”-7/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 260  tetamu dalam talian