15November2019

Agenda Daily

Macam mana rupa pelamin RM40 ribu?

chefwanleadBARU SELAMAT pengantin baru diucapkan kepada Mohd Nadzri Datuk Haji Redzuawan, 30 dan Diyana Mastura Jaafar, 28, yang kini sudah menjadi suami isteri selepas mereka diijabkabulkan Ahad lepas di Changkat Jering, Perak.

Bila ditanya berapa kali lafaz akad nikah, satu-satunya anak jantan Chefwan itu dengan bangga jawab, sekali saja.

“Mana ada beberapa kali, saya sekali lafaz je,” jauh saja bunyi Chef Riz, sebab masa saya telefon Rabu petang, pasangan pengantin dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Selesai sudah nikah di Changkat Jering, rumah keluarga pengantin perempuan, jadi sekarang ini tunggu majlis di sebelah pengantin lelaki pula di Villa Impian, Sungai Koyan, Raub, Pahang, kampung Chefwan.

Nama saja buat di kampung, tapi bukan kecik anak punya persiapan. Pelamin saja RM40 ribu. Saya masih tak boleh bayangkan macam mana pelamin RM40,000 yang bakal disiapkan oleh Kem Kapas, kerana bapa pengantin sendiri pun masih kabur macam mana rupa pelamin semahal itu.

Maklumlah, biasanya kalau kahwin di kampung, sekali dengan lauk pauk pengantin dan nasi pengantin, orang biasanya letak harga RM2 ke RM3 ribu…tapi ini RM40 ribu!

“Saya pun tak tahu macam mana rupanya pelamin tu. Kena datang tengoklah Ahad ni. Itupun dah diskaun RM20 ribu, sebelum tu dia letak RM60 ribu, terkejutkan? Gasaklah,” kata Chefwan yang sediakan makanan untuk lebih 1,000 tamu Ahad nanti.

Bila ditanya masak sendiri ke? “Siapa nak masak banyak-banyak tu? Larat ke? Mak saya umur 80 tahun, saya pun dah macam ayam pencen. Dah tak payah, janji lepas selesai ada joget lambak,” kata chefwan yang kali ini hanya buat majlis untuk keluarga dan rakan rapat, jemputan taklah seramai majlis Serina dulu .

Kalau majlis Serina dijemput semua pengarang wanita, baik akhbar, majalah dan stesen TV, kali ini jemputan hanya untuk segelintir wartawan rapat saja.

“Masa Serina hari tu kita jual Malaysia sebab ada rakaman AFC. Kali ini, saya  cuma nak buat majlis sambut menantu, inipun anak lelaki. Bukan soal tak mampu, tapi biarlah untuk keluarga saja,” kata Chefwan.

Memang bukan soal mampu atau tak mampu sebab setahu saya Chefwan bukan jenis tahi hidung masin. Dia memang cakap lepas, berdesing kalau benda tak kena pada dia, tapi dia tak kedekut wang ringgit. Khabarnya bila sebelah besan (keluarga pengantin perempuan) letak RM10,000 hantaran, Chefwan terkejut. Dia terus ‘upkan” jumlah hantaran. Dia gandakan jadi RM20,000. Sebab dia tahu, setakat RM10,000 nak buat majlis kenduri dalam keadaan sekarang ini, manalah cukup.

Nasib baik anak dia cuma dua orang, kalau tak tentu ramai yang nak berbesan dengan Chefwan ni. Betul tak?-14/12/2011

chefnazri

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 254  tetamu dalam talian