22Januari2020

Agenda Daily

Kembara yang berakar dari budi ....

kembarabudiTerlebih dulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada rakan seperjuangan saya semasa di Berita Harian dulu, pengacara terkenal Aziz Desa. Beliau adalah perunding media bagi program empat hari anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini.

Banyak sebab untuk saya berterima kasih. Pertama, jika bukan kerana beliau, belum tentu saya akan ke Tasik Cini yang penuh mistik di mana kami, rombongan media seramai 30 orang itu menginap.lebih 30 kerana kamiehinisaya tidak kenal penyanyi hebat bernama Iqwal.

Kedua, jika bukan kerana Kembara Akar Budi ini sudah tentu saya tidak tahu patin terbaik dan jagung paling manis adalah dari Kg Baru, Salong. Dan sebab ketiga, jika tidak kerana program ini, saya tentu sekali tidak tahu betapa hebatnya anak muda bernama Iqwal Hafiz.

Begitulah, tidak kenal maka tidak cinta. Kembara Akar Budi yang perasmiannya dilakukan oleh Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim, berlangsung selama empat hari yang padat dengan pelbagai aktiviti.

Bermula dengan penyerahan anak angkat dari kalangan 100 pelajar kepada 25 keluarga angkat, pelbagai kegiatan kemasyarakatan dijalankan seperti program gotong royong kenduri, program khidmat masyarakat dengan pameran dan nasihat kesihatan dan rawatan gigi, program motivasi, sukan, Forum Perdana, demo masakan, persembahan hiburan hinggalah ke pertandingan memasak ikan patin

Empat hari yang padat dan cukup bermakna. Kecuali para media yang ditempatkan di Resort Tasik Cini, selama empat hari itu kesemua pelajar dan petugas termasuk Profesor Datuk Mizan Hitam dan Profesor  Dato' Sri Zaleha Kamarudin berkampung di Kampung Baru, Salong.

Daripada tiga buah bas, sebuah bas khas untuk rombongan media yang yang mewakili bukan saja dari pihak tv, akhbar dan majalah, bahkan blogger serta kartunis Binjai, juga chef terkenal, Chef Liza yang mengadakan demonstrasi masakan lima resipi istimewa serta Iqwal Hafiz, penyanyi muda yang bertaraf antarabangsa.

Chef Liza dengan cara yang bersahaja berjaya menambat hati orang kampung dengan resipinya. Beliau yang kini menjadi duta produk Ramly menurunkan petua dan berkongsi resepi dengan membuat demo lima masakan yang bukan saja ringkas bahkan lazat. Beliau juga telah bersama-sama orang kampung bergotong royong di dapur pada hari ketiga, sebelum memohon diri untuk pulang ke Kuala Lumpur.

kembarabudi1

Kembara Akar Budi juga telah dijayakan oleh pengarah filem terkenal, iaitu Dr Mahadi J Murat yang kini menjadi Pengarah Pusat Antarabangsa Kebudayaan Islam (Citra). Beliau dilantik jawatan itu sejak 1 Januari tahun ini. Beliau bukan hadir untuk shooting filem di Salong tetapi kerana pelajar-pelajarnya mengambil bahagian dalam persembahan kebudayaan pada sebelah malam hari Sabtu.

Anak-anak budah Mahadi telah menghasilkan persembahan yang sangat inovatif melalui muzik angklung dan zapin akustik. Ini satu perkembangan baru yang sangat membanggakan dari UIAM. Mereka berkongsi pentas bersama kumpulan Pentarama dari Kementerian Penerangan.

Sudah tentulah yang sangat dibanggakan adalah persembahan artis lima bintang, Iqwal yang mempersembahkan lagu yang diminta khas oleh Tan Sri Rais, Mentera Semerah Padi.

Kanak-kanak kampung menyenangi Iqwal dan beliau sendiri tidak kekok melayan mereka. Untuk pengetahuan Iqwal merupakan anak vokalis terkenal, Mel Wings. Berusia 22 tahun, Iqwal mempunyai sikap yang yang baik, berbudi bahasa  dan sangat toleran dan sepanjang empat hari itu beliau sentiasa bersama-sama dalam setiap program.

Bukan semua artis muda boleh dan mahu hidup di kampung berhari-hari, apatah lagi beliau adalah artis yang telah merakamkan album di luar negara dan audiennya selama ini adalah kalangan VIP. Dengan akar yang kukuh dan sikap yang sentiasa positif, Iqwal boleh pergi lebih jauh.

kembarabudi2

Program empat hari itu berakhir dengan acara penutup oleh Dato' Haji Zainal Abidin Haji Pa'Wan, wakil peribadi Perdana Menteri pada petang Ahad, sebelum rombongan berangkat pulang ke UIAM, Gombak.

Kesungguhan akan menghasilkan kejayaan. Keikhlasan akan membuahkan keberkatan. Begitulah semuanya, termasuk Aziz sendiri yang sekalipun berdepan masalah kesihatan, masih cekal dengan semangat yang kuat.

Apa yang pasti Kembara Akar Budi Kampung Baru, Salong itu program yang berjaya dan menepati sasaran. Jadi, tidak hairanlah program yang serupa bakal diteruskan pula di Pagoh dan kemudian ke Jelebu, kampung halaman Presiden UIAm sendiri.

Kepada UIAM dan seluruh jentera yang mengusahakan Kembara Akar Budi serta Media Glokal Sdn Bhd, saya akhiri dengan serangkap pantun:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 223  tetamu dalam talian