19November2019

Agenda Daily

Kalau Sudirman ada, dia mesti sedih...

ikon-catatan-odah-150xxxSAYA memang puji usaha stesen tv dan radio bersusah payah mengadakan pelbagai program untuk kenang seniman seperti Datuk Sudirman Haji Arshad. Rasanya hampir semua stesen utama telah mengadakan tribute khas bulan ini, kerana pada bulan ini 20 tahun lalu seniman itu kembali ke rahmatullah pada usia yang masih muda.

Sememangnya kita wajar kenang Sudirman. Dia contoh seniman yang dedikasi, semangat dan disiplin diri yang sangat tinggi. Dia anak Melayu yang percaya, bintang di langit tinggi sekalipun mampu  dicapai tangan. Tidak ada istilah mustahil.

Tidak ada kompromi soal mutu, kerana seniman bernama Sudirman ini seorang perfectionist. Memang itu cara beliau bekerja. Saya percaya, kerana sifat-sifat itulah setiap bos stesen TV bagaikan mendedikasikan bulan Februari ini untuk Sudirman dengan harapan jati dirinya menjadi inspirasi kepada semua. Setidak-tidaknya, dedikasi dan cara kerja Sudirman itu menjadi aspirasi bagi kita.

Sebab itu saya teruja apabila ada ‘tribute” khas untuk kenang Sudirman. Malangnya saya menonton dengan sedih. Mengenali Sudir, saya rasa, sekiranya Allahyarham masih ada hari ini, dia juga akan sedih seperti saya. Kenapa? Kerana setidak-tidaknya, sekian banyak rancangan yang dia tinggalkan (yang sekarang ini footagenya masih dalam simpanan RTM), seharusnya menjadi kayu ukur yang cukup untuk hasilkan rancangan yang baik dan bermutu.

Sebagai seorang perfectionist, Sudirman tentu sedih dengan rancangan yang dihasilkan RTM tempoh hari, sekalipun kelebihannya  adalah lagu Sudirman diiringi orkestra. Itupun ada masalah bunyi yang macam biskut, kejap ada kejap tiada.Sehari selepas rancangan itu, kebetulan ada majlis tahlil di Restoran Puteri di mana berkumpulnya rakan-rakan dan peminat setia Sudirman. Banyak keluhan yang saya dengar. Kasihan, niat yang baik, tetapi hasilnya mengecewakan.

Pada saya. Baiklah tak usah buat ‘tribute”, jika ia hanya merendahkan dan memaparkan kelemahan diri. Sudah pasti bukan itu yang dimahukan oleh keluarga, rakan-rakan dan peminat setia Allahyarham. Malah, sebagai rakan, saya rasa acara itu bukan satu tribute. Sebuah acara tribute atau penghargaan harus menampakkan kesungguhan dan keikhlasan kita mengangkat seorang seniman.

Di mana silapnya? Saya mencari jawapan. Apakah itu sekadar memenuhkan tanggungjawab pada kalendar program kenang seniman, kelak jika jika Pak Menteri bertanya, mereka ada jawapannya, “Ya, kita juga ada buat program kenang Sudirman.” Janji ada, peduli apa soal mutu. Tak kisah, sebab Pak Menteri pun mungkin tidak menontonnya!

Maaf, bukan mahu dilihat anti RTM, tetapi  tolonglah, jika itulah yang dikatakan ‘tribute”, baik tidak usah diadakan. Tolong. Kerana, saya membayangkan anak-anak saya, generasi yang tidak kenal siapa Sudirman, bila melihat rancangan seperti itu, akan bertanya kepada saya, “Mak, so, what is so great about Sudirman?”

Tolonglah, kalau Sudirman boleh hasilkan rancangan yang baik pada zamannya (80an), jika tidak setanding pun, sekurang-kurangnya biarlah dihasilkan dengan baik, dengan kesungguhan dan skrip yang mantap, bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, bukan ‘sekadar ada”.

Memang amat mengecewakan.Tidak terkecuali juga TV3 yang mendedikasikan Konsert Sure Hebuh untuk mengenang Sudirman, dua hari selepas RTM.

Saya tak mahu sentuh bab lawak yang tak lawak (RTM dengan Didie Alias, Saiful Apek) dan TV3 dengan Wahid dan Farid (??) yang mual dan sengal kerana saya tidak tahu dimana harus saya ketawa.

Apa yang boleh saya rumuskan. Selama 20 tahun ini, rupa-rupanya kita hanya mengkagumi Sudirman, tapi tidak pernah fikir mengapa dia dikagumi kerana kita gagal menjiwai rohnya.

Usah cemar keindahan legasi bintang ini. Sudirman itu luarbiasa. Dia buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.Setiap gerak dan langkah diambil kira, biar sebesar hama. Setiap inci dihitung, diperhalusi. Bila menyanyi lagu patriotik, dia pakai baju bendera dan songkok. Tapi artis yang ditampilkan Konsert Jom Hebuh pakai skirt pendek untuk lagu joget. Terujakah orang Melaka dengan skirt pendek di tengah deraian hujan malam itu? Apa, ada masalah ke dengan pihak wardrobe sekarang ini, berbanding waktu Sudirman dulu? Apakah soal kesesuaian itu sudah tidak perlu lagi? ye, pedulilah, lantaklah, janji, aku keluar menyanyi, balik sain cek.

Pada siapakah harus saya bertanya soalan-soalan ini? Atau mungkin ini hanya emosi saya, sebagai wartawan dan sahabat yang pernah kenal dan tahu cara penghibur kecil berjiwa besar ini berfikir. Begitukah cara kita menghargai dan membalas jasa insan yang kita akui kelebihannya?

 Rupa-rupanya, selepas 20 tahun pun, kita masih belum kenal Sudirman…kerana kita gagal menyelami jiwa besar dalam seniman ini….sayang seribu kali sayang.-28/2/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 266  tetamu dalam talian