18Mac2019

Cerita Aziz Desa yang sudah lama menyepi...

azizdesaSudah lama Aziz Desa tidak muncul di kaca TV, alih-alih jadi 'ketua rombongan' program bersama UIA masuk kampung pedalaman di Pekan, Pahang. Sebelum itu, beliau juga bawa media makan angin di daerah Baling, Kedah.

"Kalau bukan kampung, bukanlah Aziz Desa namanya," celah seorang rakan secara berseloroh tentang personaliti Tv itu yang asalnya adalah seorang wartawan akhbar Berita Harian, sezaman saya.

Lama betul tidak jumpa beliau. Beliau pernah terlantar lama di hospital beberapa bulan lalu. Tapi semangatnya untuk bekerja mengatasi segala. Azi mengakui beliau berdepan masalah kesihatan, selain menghidap kencing manis, beliau juga ada sakit jantung dan buah pinggang.

Meskipun dihambat dengan masalah kesihatan, semangatnya berkobar dalam kerja kerja yang melibatkan masyarakat kampung. Selepas Pekan, dan Pagoh dan Jelebu dalam Kembara Akar Budi, beliau juga akan membawa media ke seluruh negara dalam eksplorasi media ke seluruh semenanjung sempena Minggu SME, Jun ini.

"Kita bantu setakat terdaya, biar patah sayap, bertongkat paruh," katanya.

Itulah Aziz Desa. Orang lain pilih program yang libatkan lokasi luar negara, hotel lima bintang tapi beliau pilih untuk meneroka kampung-kampung dengan inap desa dan bergelumang dengan masyarakat desa, mendengar segala keluh kesah mereka.

Itulah Aziz. Dari dulu hingga sekarang, akar Melayunya cukup kukuh. Namun sebut saja nama, lalu saja kelibatnya di celah orang ramai, semua orang kenal beliau. Dari orang atasan hinggalah ke orang bawahan. Baik Cina mahupun India.

"Pernah ketika saya naik teksi di Singapura, pemandu teksi dengan cepat menyebut namanya. You itu Desa, Desa bukan? " ceritanya dalam senyuman.

Saya mengenali Aziz ketika kami sama-sama di Berita Harian sebagai wartawan. Beliau memang seorang yang suka bercakap, kadang kala bercakap sendirian, seumpama seorang deejay. Dan ketika itu, jika ada majlis-majlis,beliau selalunya diangkat sebagai pengacara. Sememangnya beliau suka dan petah bercakap.

Saya selalu bangga dengan kebolehannya bercakap dengan bahasa Melayu yang indah rimanya, tanpa menggunakan skrip. Penguasaan bahasanya cukup baik dan tidak hairanlah mengapa beliau kemudiannya dipindahkan ke TV3 pada 1987 sebagai penolong penerbit dan kemudiannya menjadi hos rancangan Seulas Pinang ketika itu bersama Normala Samsuddin.

Dan apabila TV3 memperkenalkan talk show pagi pada 1994 melalui MHI, Aziz juga antara pengacara terawal selain Christine Ling, Mahathir Lokman, dan Hasbullah Awang.

Pastinya ramai yang masih ingat dengan tagline beliau, "cermin cermin diri" sebagai Mat Cermin dan juga ruangan yang sangat popular kendaliannya, Jejak Kasih.

Saya ingat lagi setiap kali sampai pada ruangan Jejak Kasih; yang mempertemukan semula saudara dan keluarga yang terpisah, ramai yang akan menangis bengkak mata kerana Aziz cukup pandai bermain dengan kata-kata sehingga mereka yang ada di studio dan dan penonton di rumahpun sampai bengkak-bengkak mata.

Sampai sekarang, ramai yang masih ingat Cermin Diri dan Jejak Kasih. Kata-kata keramatnya, "Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasikan," terngiang-ngiang dalam kepala saya sampai sekarang. Ia meninggalkan impak yang besar pada kita kerana kemampuannya mengendalikan rancangan tersebut dengan cukup berkesan.

Waktu itu, bukan sesiapa saja dikutip jadi pengacara tv. Penguasaan bahasa dan kemampuan berbicara dalam gaya dan cara yang baik sangat diutamakan. Aziz menguasai bahasa dengan bersulamkan kata kiasan yang sangat cantik kerana beliau sendiri memang anak Melayu yang sangat bangga dengan bahasa ibundanya. Jati diri anak Melayu sangat tebal dalam dirinya.

Apa yang membanggakan, beliau juga adalah hos pertama yang menghidupkan rancangan pagi Nasi Lemak Kopi O apabila saluran TV9 diperkenalkan. Saya adalah antara yang suka menonton Nasi Lemak Kopi O waktu itu kerana ia menampilkan kelainan dari apa yang disajikan dalam TV3.

Tapi sekarang NAsi Lemak Kopi O sudah serupa wajah dan konsepnya dengan kakaknya, TV3, di samping hos popular yang ada masanya kelaut merapu!

Inilah kelebihan orang lama seperti Aziz. Letaklah beliau depan mikrofon, ia seperti meletakkan ikan di dalam air, boleh bercakap dan bercakap, dengan isi, bukan merapu.

Selain TV3, beliau juga pernah di RTM dengan hos rancangan Jendela Pagi dan juga di Bernama TV melalui rancangan "Hello Bernama". Stesen swasta berbayar, Astro juga tidak ketinggalan melalui rancangan berjucul, "Dahsyat 13" dan Zuriat Kita untuk saluran Astro Oasis.

Sebenarnya selepas era TV3, Aziz ditawarkan jawatan Pengurus Program Pelancongan Pelajar dan Pembangunan Perniagaan (Malaysian Travel Business), anak syarikat pembangunan pelancongan nasional (Pembena), milik penuh Perbadanan Pelancongan Malaysia.

Kerana akar Melayunya yang kukuh itu agaknya Aziz serasi dengan bekas Menteri Besar Kedah ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid. Aziz menjadi Pengurus Media dan Komunikasi MB Kedah selama 5 tahun.

Pada usia 49 tahun, sudah banyak pengalaman dan tempat yang dijelajahi. Dari dunia kewartawanan, Aziz juga pernah menjadi DJ Radio Langkawi, kampung halamannya di mana beliau mendengar segala permasalahan dan keluh kesah masyarakat, kebanyakannya orang susah dan peniaga-peniaga kecil.

Kini, Aziz merupakan Pengarah Media dan Komunikasi Korporat bagi Buraq Oil, iaitu pengendali stesen minyak luar bandar yang terkenaL dengan program Ziarah Ramadhan di TV3.

Hari ini, beliau memilih untuk menetap di kampung halamannya, Langkawi bersama isteri dan anak-anaknya. Beliau lebih selesa begitu, dan hanya ke Kuala Lumpur apabila perlu.

Selain masih mengisi undangan sebagai pengacara dan sebagainya, Aziz pada waktu yang sama mengendalikan dua syarikatnya, Aziz Desa Holidays & Consultancy dan Media Glokal Sendirian Berhad.

Dalam setiap programnya, Aziz bawa media bersama. Supaya segala rintihan dan masalah masyarakat desa, disebarkan di media dan sampai ke pengetahuan ramai dan akhirnya pada pihak-pihak atasan.

"Saya memang tidak boleh pisahkan diri dengan media. Media adalah rakan-rakan lama," ujar Aziz.

Percayalah, bukan semua orang boleh dan mampu buat apa yang dilakukannya.

Mendengar rintihan dan keluhan orang kampung yang jauh di pedalaman. Kerana kebanyakan kita hanya mahu segala yang bertaraf lima bintang. Ini kerja yang bukan semua orang boleh buat. Kerana itu saya tabik sahabat saya ini. Syabas Aziz semoga berjaya dan saya doakan agar Allah berikan kesihatan kepadanya.-14/5/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 553  tetamu dalam talian