20November2019

Agenda Daily

Aznil... gosip Senator dan Duta IM4U

aznil-najibJumaat malam, saya sembang panjang dengan Datuk Aznil Haji Nawawi. Kami kenal sejak sama-sama makan di Jalan Liku Bangsar. Waktu itu dia baru jadi pembaca Berita di TV3, dan lebih terkenal sebagai pengacara.

Masa berbual, saya ucap tahniah. Dia tanya pasal apa. Saya kata pasal dua benda - pertama kerana baca dalam blog-blog yang dia jadi Senator Dewan Negara dan kedua pasal dia jadi Duta IM4U.

"Dua-dua tak ada, itu cuma orang cakap, mana tahu berkat hari Jumaat ini. Amin amin," kata Paknil.

Oh, saya lupa, rupa-rupanya ada 20 orang artis yang sebelum ini telah diumumkan jadi duta IM4U. Entah apa yang dimaksudkan dengan duta itu saya tak pasti, tapi mungkin setakat nyanyi-nyanyi di acara-acara yang ada pak menteri. Begitu kot.

Tapi jika itu yang dimaksudkan duta. Ia bukan yang saya bayangkan. Yang saya bayangkan sebagai duta adalah orang yang dijadikan contoh dan idola budak-budak sekolah rendah dan menengah untuk berjaya bukan saja melengkapi hidup dengan ilmu pelajaran dan kemudiannya meraih kejayaan dengan segala kemahiran yang ada. Tak tahulah, tapi itulah istilah duta dalam kamus kepala saya.

Apapun, apa sudah jadi dengan cerita-cerita Paknil dapat Senator itu? Sana sini orang bercakap pasal Paknil dapat itu dan ini. Yang pasti tuan punya badan tak dapat apa-apapun. Tak apalah Paknil, mungkin bila ramai orang bercakap ia menjadi satu doa.

Biarlah kita tak usah fikir apa jadi dengan perlantikan itu sebab kalau betul memang bagus. Paknil pun bukan calang-calang dalam dunia hiburan. Dia bukan jadi artis sebab malas belajar atau jadi artis kerana nak kaya (macam kebanyakan artis muda hari ini). Kalau bukak Wikipedia, nah, latar belakang kejayaannya cukup panjang dengan pencapaian dan kejayaan yang sangat membanggakan dalam dunia hiburan.

Inilah artis yang wajar jadi duta dan idola. Bukan saja berbakat besar bahkan dia berjaya dalam pelajaran. Paknil lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan punya lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang penyiaran. Sekarang ini, dia pegang jawatan Vice Presiden Unit Melayu di Astro.

Bayangkan, bukan kecik anak. Dengan jawatan itu dia bukan saja jaga TV bahkan stesen radio sekali. Semua pengacara dan bakat-bakat baru yang diambil baik untuk radio atau tv direkrut dan dilatih di bawahnya.

Itu tentang pencapaian ilmu, kerjaya dan bakat yang semua orang boleh nampak. Kalau dibuat graf, kita boleh nampak garisan yang naik dan terus memuncak naik...

Dalam kejayaan besar itu, dia masih sangat sederhana, sempoi dan tidak sombong. Langsung tak bersikap eksklusif. Sesetengah artis kalau nak cakap kena melalui PA (pembantu peribadi). Lepas ditapis oleh PA barulah dapat cakap dengan artis tersebut, semata-mata kerana tidak mahu memberi nombor telefon. Macamlah panggilan kita akan bawa malapetaka dalam hidupnya!

Berbalik pada cerita Paknil.

Apa yang buat saya lebih tertarik dan sangat tersentuh adalah bila dia minta dikeluarkan dari Masterchef Celebrity (MCC) kerana ibunya sakit. Artis lain terkinja-kinja nak kekal, Paknil mintak keluar kerana mahu menjaga ibunya, Norbaiti binti Haji Surur yang berusia 88 tahun. Sudahlah kerja pejabat pagi sampai petang, shooting pulak makan masa yang panjang. Mana ada masa untuk jaga ibu, bawa ibu pergi hospital dan medical check-up?

Mungkin orang boleh soal, in the first place, ngapa masuk? Tapi itulah naluri seorang anak soleh yang mendahulukan orang tua lebih dari segala-galanya.

Buat saya, yang pemenang Masterchef Celebrity sebenarnya adalah Paknil. Memasak bukan saja memerlukan kemahiran bahkan perlukan hati yang ikhlas dan bersih, barulah terbit rasa yang sedap dan enak.

Selepas keluar dari dapur MCC, dia belajar memasak sendiri melalui Youtube. Hasilnya, dia sekarang sudah terror buat red velvet cake dalam tempoh dua bulan. Dan, yang lebih membanggakan, kesedapan kek buatannya itu diiktiraf oleh rakan-rakan yang telah membuat tempahan kek red velvet Paknil sehingga memberikan dia keyakinan untuk memulakan perniagaan kek tersebut.

Saya adalah penggemar red velvet dan saya percaya ramai orang lain seperti saya. Kita sama-sama boleh buat tempahan kek Paknil yang sekarang ini sudah menjenamakan perniagaannya di hujung minggu dengan nama, Cakewhat By Paknil.

So, you see, itulah pasal saya kata, Paknil adalah pemenang MCC sebenarnya. Tahniah Paknil...-8/7/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 233  tetamu dalam talian