13Ogos2020

Agenda Daily

Atai tinggalkan Pos Malaysia untuk teruskan legasi Sudirman...

ataix22 Februari 2014, genap 22 tahun Sudirman Haji Arshad kembali ke pangkuan Ilahi. Seperti biasa mengenangnya dengan alfatihah dan tahlil, tahun ini satu perubahan baru adalah legasi yang ditinggalkan penghibur besar ini bakal diteruskan oleh anak saudaranya, Atai.

Razman Azrai bin Datuk Zainudin telah membuat kejutan dengan mengumumkan dia akan sudah  bersedia untuk meneruskan kerjaya bapa saudaranya dengan melancarkan single "Kul It" yang berlangsung di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, petang Jumaat lalu.

Pada peminat Sudirman, langkah Atai itu adalah hadiah pengubat rindu yang telah lama dinanti-nantikan. Bukan saja kerana persamaan wajah mereka bahkan Sudirman sendiri pernah mengakui Atai memiliki potensi untuk menjadi penghibur sepertinya.
 Bahkan Atai juga pernah merakamkan album berjudul Sahabat pada 1985. Dia juga memiliki single yang popular dengan lagu  "Kau Buat Ku Berpusing".

Namun setelah ketiadaan Sudirman, walaupun diasak berkali-kali untuk mengambil tempat bapa saudaranya setiap kali bertemu dengannya, Atai hanya tersenyum dan mendiamkan diri. Dia mengakui, merasa sedih setiap kali mengenang dan mendengar lagu bapa saudaranya yang mesra dipanggil Cokman.

Dan setelah 22 tahun, barulah dia tampil kereana merasakan ada kekuatan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan. Pada sesetengah kita ada kebimbangan. Reaksi yang dilontarkan berbagai-bagai.

Adakah ini langkah yang wajar? Malahan, ada sesetengah komen nakal menganggap ia mungkin kerana krisis pertengahan umur.

Kerana Atai hari ini bukan Atai yang dulu. Dia adalah bapa dua anak yang pada November ini bakal mencecah usia 42 tahun. Dan lebih mengejutkan, untuk kesemua langkah yang dibuat ini, Atai telah meletakkan jawatannya Januari lalu sebagai Timbalan Presiden Pos Malaysia.

Ertinya, dia sudah cukup selesa dari segi kerjaya dan boleh saja meneruskan kerjaya menyanyi sebagai sampingan.

Tapi itu kata kita. Kita bukan Atai. Namun, tidak sukar untuk kita tahu mengapa.

Jika diimbas kembali kisah silam Sudirman, penghibur ini merupakan seorang perfectionist yang memiliki kesungguhan, dan dedikasi yang tidak berbelah bagi dalam kerja seninya. Dia juga sukakan cabaran. Ketika orang lain meragui dan bimbang dengan beberapa keputusannya (termasuk untuk memakai baju bendera, juga dengan tema-tema album yang tercetus dari ideanya sendiri), Sudirman memang seorang yang suka mencabar diri.

Sebetulnya, jika banyak yang diusahakan oleh Asia's Nombor One Entertainer itu adalah dari keyakinan dan kepercayaannya pada diri sendiri, bahawa tidak ada ang mustahil jika dilakukan dengan sesungguh hati.

 Dan mungkin kita harus memberi ruang dan peluang kepada Atai untuk membuktikan bahawa dia juga mempunyai kekuatan dan kegigihan seperti Sudirman. Bukankah mereka juga dari acuan yang sama, jadi sudah tentunya sedikit sebanyak ciri-ciri yang baik itu, semangat yang tinggi dan kuat itu turut mengalir dalam tubuh Atai. Berilah dia masa.

Langkah yang wajar atau sebaliknya, sudah pasti bapa dua anak ini lebih tahun apa yang dilakukan. Kerana seperti Sudirman, Atai juga cemerlang dalam kerjayanya selama ini kerana dia memiliki MBA dalam jurusan IT dari Staffordshire University United Kingdom dan University Of Rhode Island Amerika Syarikat (Pengurusan Sains dan sistem informasi).

Barangkali kita hanya terkilan kerana untuk kembali meneruskan legasi, Atai telah melepaskan jawatan besar di Pos Malaysia. Sememangnya ia keputusan yang mengejutkan dan sudah pasti tuan punya badan sudah cukup membuat pertimbangan sehalus-halusnya

Kesungguhannya untuk memberikan 100 peratus komitmen pada bidang nyanyian dengan meninggalkan kerja makan gaji. Jika wang yang dikejar, sudah pasti Atai boleh memilih untuk jadi penyanyi sambilan. Dia boleh saja mengisi waktu hujung minggu untuk menyanyi di sana sini, merakamkan album dan terus meraih populariti dan pada waktu yang sama terus kekal dengan jawatan.

Tapi, seperti Sudirman, bukan wang yang dikejar. Dan Atai juga sudah ambil masa tiga tahun untuk membuat keputusan. Jadi sewajarnya dia diberikan kepercayaan. Yang mustahil itu akan jadi tidak mustahil; sepertimana yang telah dibuktikan oleh Sudirman.

Saya memetik kata-kata yang pernah diluahkan oleh Sudirman melalui satu temuramah dengan majalah URTV berkenaan Atai. Katanya, "Sejak kecil saya telah nampak keistimewaannya. Suaranya lunak serak-serak basah, nyaring dan tidak lari.

"Gayanya pun bagus. Dari segi gerak gerinya mahupun air mukanya. Dia berani. Walaupun saya tahu dalam hati kecilnya dia berasa gementar.

"Tapi diberanikan juga. Lakukan atau mati. (do it or die). Dia seperti saya dalam hal ini,"

Semoga berjaya Razman Azrai! -24/2/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 514  tetamu dalam talian