19November2019

Agenda Daily

Apa ? Usul Seniman minta kebenaran pasang cermin gelap...

ikon-catatan-odah-150xxxSAYA bangga golongan artis berada di barisan depan masa berlangsungnya Festival Barisan Nasional Youth Music 2011 di The Curve. Sedang berasak-asak itu, saya terdengar komen orang sebelah Persatuan Seniman ada tiga usul penting nak disampaikan pada Perdana Menteri.

Wah! Ini sudah bagus. Kata saya dalam hati. Tapi saya tidak tahu apa tiga usul itu, namun yakin ia tentu melibatkan masa depan dan kebaikan yang maha besar untuk artis dan industri hiburan. Maklumlah, peluang keemasan, Perdana Menteri sendiri yang akan terima usul itu. Itu fikir saya.

Begitu membuak-buak rasa ingin tahu. Esoknya, saya pun capai suratkhabar dan membaca : Seniman kemukakan tiga cadangan bagi menjaga kebajikan artis. Pertama, usul  bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kedua perkhidmatan insurans perlindungan kemalangan dan ketiga, usul membenarkan ahli Seniman pasang cermin gelap pada kenderaan masing-masing.

Usul pertama dan kedua memang wajar, tapi saya terkejut dengan usul ketiga. Saya ulang baca, sebab tak percaya itu yang diminta oleh sebuah persatuan artis. Apakah itu yang terbaik/terbijak datang dari Persatuan Seniman untuk ahlinya?

Wah! Idea cerdik siapakah yang mahu ahli Seniman dihalalkan guna cermin kereta gelap? Ikut kata Timbalan Presidennya, Zed Zaidi, ia adalah atas faktor keselamatan golongan artis khususnya artis wanita yang balik lewat malam dari tugasan. Beliau mohon tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

OMG! Apakah sampai macam itu sekali ke artis wanita kita terancam balik malam-malam dari lokasi? Pernah ke berlaku? Banyak ke berlaku? Sebab sejauh ingatan saya, tak pernah pun terbaca di mana-mana tentang artis wanita mati, kemalangan, kena belasah atau kena rompak, samun, culik atau kena cium di tengah jalan, lepas balik dari shooting. Nantilah, saya siasat kat mana-mana balai pasung, kok ada laporan pasal artis wanita kena balun tengah malam lepas balik shooting.

Kalau ada tolonglah bagitau. Tapi, halooo, apakah dengan pakai cermin kenderaan gelap itu dah cukup selamat? Halllo, lu ingat penjenayah takut ke dengan cermin gelap, lagi pakai cermin gelap lagilah mereka curious.

cerminxxSetahu saya, yang boleh pakai cermin gelap adalah menteri-menteri, Ahli Parlimen dan hakim-hakim. Ia betullah untuk keselamatan. Tapi yang saya tak faham, apa pulak tak selamatnya artis sampai nak pakai cermin gelap? Jauh sangatkah bezanya artis dengan masyarakat?

Keselamatan apa yang dimaksudkan? Senario artsi dikejar paparazzi di negara ini pun tidak ada. Begitu juga perkara-perkara yang melibatkan artis dengan kes gambar bogel dan sebagainya, kebanyakannya dirakam sendiri.

Selama ini pun kalau orang kita  jumpa artis di pusat beli belah, lebih-lebih mereka ambil gambar dari jauh guna telefon bimbit atau seorang dua yang berani akan tampil minta otogeraf atau gambar bersama. Belum ada lagi artis yang mati atau pengsan atau koma kerana kena gomol atau dikerumun peminat fanatik. Sebab negara kita dan masyarakat kita ini masyarakat yang bertamadun, kita ada sikap malu dan silu.

Saya bukan nak kata apa, tapi inikah yang diutamakan oleh sebuah persatuan artis untuk ahli mereka? Apakah status pakai cermin gelap itu lebih penting dari soal ilmu dan masa depan ahli? Atau nak pakai cermin gelap supaya boleh rasa gah kerana mereka itu artis? Hebat sangatkah jadi artis sampai nak diri berkasta lebih tinggi dari masyarakat biasa?

Maaflah, saya pun ramai rakan karib artis dan saya tidak fikir mereka ini mahu diri mereka diperlihat seangkuh itu. Malahan mereka tidak mahu pulak dipuja berlebihan, apatah lagi untuk menganggap diri lebih hebat dari masyarakat biasa. Selalunya begitulah kalau yang tulen, mereka sangat sederhana, tapi bakat luarbiasa.

Sebab itu saya tidak nampak apa perlunya bercermin gelap untuk golongan khas ini. Yang nyata, ini usul orang yang malas berfikir dan tak cerdik langsung.K alau nak berlagak pakai kereta mewah dan melaram dengan cermin gelap, tak payahlah jumpa menteri. Buang masa saja.  Biarlah artis  ni nampak cerdik sikit. Saya pun jadi hairan mengapa Haron Salim Bachik dan rakan-rakannya boleh terfikir untuk usul semacam ini?

Kalau betul sayangkan dunia artis, mahukan Persatuan Seniman dihargai dan dipandang tinggi oleh bukan saja 5,000 ahli bahkan akan lebih lagi, adalah dengan memikirkan program jangka panjang. Sepatutnya, kalau mereka betul ikhlas nak majukan ahlinya, Persatuan Seniman mintaklah Kementerian Pengajian Tinggi bagi ruang dan tempat di pusat-pusat pengajian tinggi untuk ahli-ahlinya menimba ilmu atau benda-benda yang lebih mendatangkan faedah lagi. Atau mohonlah skim perubatan terutama bagi kes-kes sakit kronik atau skim pencen tetap yang lebih baik untuk hari tua.

Sepatutnya hal-hal itu yang lebih diperjuangkan. Cermin gelap? Who do you think you are?  - 5/3/2012 - OLEH SAODAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1389  tetamu dalam talian