14Ogos2020

Agenda Daily

Ahmad Dhani jadi pengetua AF...satu penghinaan pada industri


BILA Ahmad Dhani diumum sebagai Pengetua AF, yang terlintas di kepala adalah, apakah Astro begitu terdesak? Kerana sudah pasti ia mengundang kontroversi; semua orang akan bercakap mengenainya; media, karyawan dan orang awam. Ia akan menjadi polemik dan itulah yang dimahukan oleh penganjur (Astro).

 

Tapi buat saya ini adalah idea yang sangat terdesak dan tak ada kelas langsung. Apakah kutipan wang sms dari AF yang lalu tidak mencukupi hingga terpaksa pula usahakan cara lain kali ini. Yang pasti, kali ini Astro nak tarik mat dan minah indon dari rumah-rumah kongsi untuk sama-sama mengundi. Jadi, setiap rumah kongsi nanti akan pasang Astro, sebab mereka rasa AF itu dekat dengan mereka. “Ahmad Dhani, guwe bangga sama lorrr.”

Begitulah serampang dua mata, pelanggan dapat, sms pun masuk. Lumayan, memang lumayan jika dihitung berapa banyak rumah kongsi yang ada di negara kita ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Bagi saya, orang yang membuat keputusan mengambil Ahmad Dhani jadi Pengetua telah menghina karyawan muzik tanahair dan seniman-seniman terdahulu yang selama ini telah menghidupkan irama dan lagu hingga menjadi industri. Bagi saya juga, orang yang membuat keputusan ini ini telah mengkhianati bangsanya dan tidak sensitive langsung tentang semangat patriotik.

Apakah sudah tidak ada lagi pemuzik, seniman yang baik dalam negara ini? Apakah dahsyat sangat Ahmad Dhani itu yang tidak boleh ditandingi oleh seniman kita sendiri sehingga Astro terpaksa mengimport dia masuk jadi Pengetua.

Ini bukan soal anti Indon. Memang ada seniman Indon yang hebat seperti Teguh Karya yang mana ada orang kita pergi berguru dan belajar dengannya. Tapi kalau setakat Ahmad Dhani, taklah sehebat mana. Dia jadi macam hebat kerana kita asyik balun lagu dia siang malam pagi petang dalam radio. Tak adalah ‘terror” mana kalau nak dibandingkan dengan seniman kita seperti M Nasir, Datuk Ahmad Nawab, Manan Ngah, Roslan Aziz, Ajai .dan ramai lagi yang telah lahirkan ramai penyanyi-penyanyi muda berbakat.

Saya ingin tahu apakah pendirian persatuan-persatuan yang ada dalam industri ini tentang hal-hal yang tak patriotik macam ni. Perkara ini serius bahkan inilah yang dulu diperjuangkan oleh seniman dalam industri dari zaman Tan Sri P Ramlee lagi.

Kita juga nak berpesan pada stesen Astro ni, patriotiklah sikit kok iyapun nak berniaga, kita pun faham tentang untung dan rugi. Janganlah main sedap je nak letak sesiapa, kenalah fikir konsekuensesnya. Tak perlulah gadai seluar dalam sampai tak ada maruah langsung. Nanti kena boikot…susah…

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 302  tetamu dalam talian