20November2019

Agenda Daily

Insiden kecoh di pemilihan PKR di Merbok dan Jerai sengaja dirancang - Johari

Insiden kekecohan yang berlaku pada proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di cabang Merbok dan Jerai Sabtu,semalam dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sememangnya dirancang lebih awal dan membabitkan pemimpin tempatan.
 
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul berkata ia berdasarkan kepada insiden yang berlaku berturut sebelum itu yang pada mulanya di Sungai Petani diikuti Merbok dan Jerai selepas itu.
 
"Mereka dipercayai individu sama yang seramai lebih 50 orang dan terdapatnya beberapa pemimpin parti tempatan yang membuat kecoh di Sungai Petani dan kemudiannya di dua tempat itu.
 
"Saya sendiri melihat kejadian itu ketika melawat pusat pemilihan cabang Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choong Hwa di Gurun apabila sekumpulan individu datang merempuh dewan dan bertindak ganas secara tiba-tiba," katanya dalam sidang akhbar di Sungai Petani Ahad.
 
Polis telah menahan 10 lagi lelaki yang dipercayai terlibat menimbulkan kekecohan semasa pemilihan PKR Cabang Merbok sehingga menyebabkan kecederaan dekat sini semalam.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata tangkapan itu sekali gus menjadikan keseluruhan 14 lelaki berumur lingkungan 20 hingga 50-an ditahan polis untuk membantu siasatan kes itu.
 
Berikutan itu pada lewat malam tadi, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan proses pengundian bagi pemilihan PKR 2018 di lima negeri – Kedah, Perak, Perlis, Melaka dan Johor – ditangguh manakala keputusan pengundian di Pulau Pinang diterima.
 
Ekoran itu keputusan enam cabang di Kedah dibatalkan semuanya berikutan beberapa isu berbangkit di pusat-pusat mengundi.
 
Johari yang juga Anggota Parlimen Sungai Petani dan turut bertanding bagi jawatan Naib Presiden bagi pemilihan ini kesal dan menyifatkan keadaan itu sepatutnya tidak berlaku dan mengharapkan JPP bersedia lebih awal untuk tarikh pemilihan baharu.
 
Beliau turut mencadangkan agar pemilihan secara manual boleh digunakan sekiranya sistem e-undi mengalami masalah.
 
"Bersedia lebih awal dengan menggunakan dewan yang besar dan sesuai, anggota keselamatan yang mencukupi dan pelan tindakan sekiranya berlaku masalah sistem," katanya.
 
Johari juga turut memohon maaf kepada anggota parti yang masih terkejut dengan keadaan itu dan berharap rakyat tidak membuat tuduhan terhadap parti berhubung isu itu.
 
"Biarlah polis membuat siasatan terhadap insiden berlaku dan semoga ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya.- 23/9/2018
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 230  tetamu dalam talian