Barang kemas isteri Azeez Rahim pun kena rampas...
- Terakhir dikemaskini: 23 Mei 2018
Makin hebat tekanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin UMNO terutamanya yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Terbaru, rumah dan pejabat Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim diserbu dan digeledah oleh pegawai SPRM dalam satu operasi khas di beberapa negeri.
Azeez memberitahu media kira-kira 10 anggota SPRM telah datang ke rumahnya sebelum memaklumkan kepada beliau untuk melakukan penggeledahan petang semalam.
Tambah Azeez, daripada penggeledahan tersebut, pegawai SPRM turut merampas barang kemas milik isterinya serta wang tunai.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah wang tunai yang dirampas oleh SPRM.
Azeez berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika diperlukan.
“Saya sedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam sebarang siasatan.
"Saya tiada apa yang hendak disembunyikan. Sebenarnya saya sudah duga ini akan berlaku memandangkan nama saya memang disebut," katanya.
SPRM pada Selasa melancarkan serbuan serentak di lima lokasi berbeza melibatkan kediaman dan juga pejabat Abdul Azeez.
Serbuan dilakukan di kediaman beliau di Subang, Selangor dan Baling, Kedah.
Selain itu, SPRM turut membuat pemeriksaan di salah sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.-23/5/2018