28Mei2020

Agenda Daily

Tunggu keputusan...duduk di restoran berhawa dinginpun berpeluh

Sabtu malam 8 Mac – banyak orang tak tidur. Semuanya menunggu dan menunggu keputusan rasmi Pilihanraya Umum ke-12.

 

Para pengundi, ahli dan penyokong Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang berhimpun di pusat-pusat pengiraan undi – kot-kot mendapat perkhabaran awal mengenai keputusan rasmi. Kemudian, mereka berpindah ke pusat-pusat penjumlahan undi. Saya juga berada di salah sebuah pusat penjumlahan undi iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang untuk mendengar keputusan kerusi Parlimen Hulu Langat dan tiga kawasan negeri iaitu Kajang, Dusun Tua serta Semenyih.

Saya tidak hadir di dewan itu sebagai seorang ahli atau penyokong parti, tetapi sebagai petugas iaitu pemantau dan penyelamat. Saya hadir sebagai pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bersama sembilan lagi anggota.

Kami ditugaskan oleh jabatan untuk memantau perjalanan pilihanraya mulai 8.00 pagi lagi. Kami tiba pada kira-kira 9.00 malam. Ketika itu, jalan menuju ke dewan pengiraan undi telahpun ditutup. Hanya ada kira-kira 100 orang di depan dewan. Apabila jumlahnya meningkat, pihak polis mengarahkan mereka masuk ke dalam Stadium Kajang iaitu kira-kira 50 meter dari dewan berkenaan.

Para penyokong BN diarahkan berkumpul di sebelah kanan stadium manakala penyokong parti pembangkang diminta berada di sebelah kiri pula. Tengah-tengah ada para anggota polis dari pelbagai unit.

Dari pukul 9.00 hingga 12.00 malam, kami hanya menyaksikan pergerakan orang ramai memasuki stadium. Kebanyakannya masuk ke sebelah kiri. Sekali-sekala kelihatan pegawai polis membawa pembesar suara meminta orangramai yang berada di dewan dewan agar bergerak dan berkumpul di dalam stadium. Biasalah, 10 minit kemudian, pegawai itu muncul lagi kerana orang ramai semakin menderu-deru datang.

Setelah ada yang tertidur dalam van dan ditemani nyamuk, tiba-tiba dari dalam dewan, muncul seorang lelaki berkopiah putih melaungkan, ‘kita dah menang’ sebanyak tiga kali.

Lelaki berkenaan terus meneriakkan laungan ‘takbir’ disambut oleh beberapa orang India yang dipercayai penyokong PKR. Pihak polis kemudiannya mengarahkan lelaki berkenaan memasuki perkarangan stadium dan dari stadium itulah bergemanya laungan takbir.

Lima belas minit kemudian, ratusan daripada penyokong berkenaan keluar dari dewan untuk berarak, tetapi pihak polis yang telah bersiap sedia, tidak membenarkan mereka berarak melalui dewan penjumlahan undi, sebaliknya mengarahkan mereka ke arah jalan yang bertentangan.

Jam di tangan menunjukkan pukul 1.15 pagi. Perut amat lapar sebab kami belum makan malam lagi – cuma jam 5.00 petang kami ada mengalas perut dengan sedikit makanan. Keputusan masih belum ada tanda-tanda untuk diumumkan dan saya memutuskan untuk kami beredar sebentar untuk mencari makan malam.

Kira-kira 2.15 pagi kami selesai makan. Dalam perjalanan ke dewan, kami terpandang kearah stadium dari sisi belakang. Kami dapati tidak ada lagi orang ramai di situ. Yang ada hanya puluhan anggota polis yang sentiasa bersiap sedia.

“La…. Dia orang dah tak da, jadi kita ni pantau dan tunggu apa,’’ saya berkata disambut dengan gelak ketawa oleh anggota-anggota yang lengkap berpakaian seragam.

Rupa-rupanya, sudah tiada penyokong di dalam stadium. Mereka sudah pulang rupa-rupanya sedangkan kami menyangka masih ramai di situ. Lantaran itu, oleh kerana keputusan masih belum diumumkan, kami kembali ke gilik gerakan.

Anggota kembali ke bilik gerakan, tetapi oleh kerana terlalu letih, saya terus pulang ke rumah. Setelah mandi dan solat, saya berbaring untuk tidur, tetapi fikiran dan ingatan pergi jauh melayang.

Saya terkenang kembali dua orang sahabat iaitu Ismail Sani calon BN yang bertanding di DUN Dusun Tua dan Johan Aziz di DUN Semenyih.

Walaupun keputusan rasmi masih belum diumumkan sehingga jam 2.30 pagi, namun yang tidak rasmi, sudah meluas tersebar. Berdasarkan maklumat tidak rasmi tetapi amat dipercayai itu, teringat kembali perbualan telefon tatkala saya mengucapkan tahniah kepada Ismail Sani jam 12 malam.

“Tahniahlah Mail kerana dah bergelar YB….. tapi malangnya jadi YB pembangkang,” begitu saya berbual dengan Ismail

Mail pula menjawab sambil berjenaka: “Kalau dua penggal dulu sedaplah…” katanya sambil ketawa.

Dalam termenung itu, saya teringat kembali pada pilihanraya ke-10 pada tahun 1999.

Keadaan ketika itu lebih kurang macam tahun ini juga.Isu mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup panas.

Saya bersama kakitangan dan juga keluarga menghadapi saat-saat yang amat getir dan mencemaskan. Masing-masing tertanya-tanya, menang atau kalah. Rasa cemas, memang cukup ketara. Duduk di restoran berhawa dinginpun berpeluh. Maklumlah, ketika penggal pertama, sambil senyum-senyum je boleh menang dengan majoriti lebih daripada 37,000.

Pada penggal kedua, kalau ‘bungkus’, alangkah malunya… Macam-macam yang terbayang. Masa itulah teringat, usia baru 40 tahun…. Kalau tewas ke mana nak pergi? Jawatan Penolong Ketua Penyunting Kumpulan Utusan telah dilepaskan lebih empat tahun yang lalu.

Tentulah sukar hendak melamar pekerjaan baru. Siapa nak beri kerja kepada bekas YB? YB hanya dipandang ketika dalam jawatan. Apabila YB sudah membawa maksud, Yang Bersara, tidak ada orang lagi yang mahu pandang, kecuali rakan setia.

Anak-anak masih bersekolah. Kawan-kawan setia yang berada di belakang masih ramai. Harapan para penyokong masih menggunung, tetapi fikiran saya sudah mulai celaru.

Kejatuhan beberapa kerusi kepada pihak pembangkang seperti yang disalurkan melalui radio dan tv, mencemaskan lagi keadaan.

Lebih kurang jam 12.00 malam, pembantu peribadi saya, Mohd. Jazlee menerjah pintu restoran menyebabkan semua mata terarah kepadanya. Sambil memegang sehelai kertas, Jazlee juga membuatkan keadaan lebih tegang. Perkhabaran apakah yang dibawanya.

Ketika saya bertanya apakah perkembangan mengenai keputusan, Jazlee dengan selamba sahaja memanggil pelayan untuk memesan air teh-o-ais bersama roti bakar. Panasnya hati saya ketika itu lebih daripada roti bakar yang dipesan.

“OK Bang,….. esok kita boleh terus buka pejabat Ahli Parlimen,’’ demikian ringkasnya Jazlee membuat pengumuman. Rakan-rakan dan penyokong sudah mengerumuninya. Seperti lagak mengadakan sidang akhbar, Jazlee memberitahu bahawa saya telah melepasi ‘garisan seksa’ kerana dengan dua kali pengiraan, BN telah mengatasi pencabar dari parti pembangkang.

Setelah Jazlee berjaya menyakinkan kami dengan keputusan tidak rasmi itu, barulah perut terasa lapar. Jika beliau memesan dua set roti bakar, saya pesan empat set. Kawan-kawan yang lainpun pesan nasi atau mi goreng. Memang dari pukul 8.00 malam lagi, kami asyik minum air sahaja. Dah menang baru lapar!

Mata masih sukar untuk dilelapkan. Wajah YB Ismail Sani dan YB Johan Aziz masih terbayang. Kedua-duanya pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Hulu Langat.

Ketika Ismail cuba merebut jawatan, beliau mendapat restu dan sokongan daripada Ketua Bahagian iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, Timbalan Menteri Besar Selangor yang kini bertanding dan menang atas tiket PKR di Hulu Selangor.

Semasa memegang jawatan, Ismail ditentang oleh Johan. Entah macam mana, ketika menenta ng Ismail, Johan sudah berpihak kepada Ketua Bahagian pula dan tewaslah Ismail terkontang-kanting.

Itu dulu, kini mereka bersahabat baik. Johan Ketua Pemuda dan Ismail Setiausaha Bahagian. Lebih menyeronokkan ialah kedua-dua mereka bergelar YB – cuma malangnya kedua-dua mereka menjadi pembangkang di bumi Selangor yang bertuah ini.

Entah pukul berapa saya tidur pagi Ahad, saya sendiri tak pasti, tetapi dalam mimpi subuh itu saya telah lihat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berada di Parlimen. Terlintas juga wajah Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad yang kini bergelar YB Parit Sulong.

Namun, apabila terkejut dari tidur, terbayang pula wajah Dr. Tan Seng Giaw di Kepong, Chew Mei Fun di Petaling Jaya Utara dan Donald Lim di Pealing Jaya Selatan. Seng Giaw diingati kerana dia satu-satunya YB dari DAP yang saya hormati manakala dua orang lagi itu pernah duduk di kiri dan kanan saya suatu ketika dahulu. - 11/3/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 302  tetamu dalam talian