14Ogos2020

Agenda Daily

Terkenang peristiwa menggoreng pisang di wad….

Pada suatu petang, sedang hujan turun dengan lebatnya, teringin sangat nak menggoreng pisang. Kebetulan ada pisang nipah yang sudah kekuning-kuningan. Apa lagi - gorenglah. Walaupun berkerusi roda sejak sakit pertengahan tahun lalu, setakat menggoreng tu boleh lagi.

Minum pula dengan kopi o panas….huahhhh enaknya. Kedinginan hujan petang tidak terasa kerana yang terasa adalah kopi dan goreng pisang panas. Sedang menikmati keenakan itu, fikiran tiba-tiba melayang kepada pengalaman menjadi pemastautin di hospital kira-kira tiga bulan lamanya……..

Walaupun dimasukkan ke wad pada tanggal 15 Jun 2010, saya hanya sedar pada hari kelima. Tiga hari pertama tidak sedar sepenuhnya dan dua hari kemudian mungkin boleh diistilahkan sebagai separuh sedar.

Apabila sedar, saya yang mulanya berada di wad tujuh dipindahkan ke wad 8 kerana tidak perlu perhatian sepenuh masa daripada doktor. Di wad 8, memadai dengan para jururawat yang sungguh tinggi nilai dan mutu kerja mereka.

Masuk sahaja ke wad 8 saya telah menggigil keseujukan kerana sistem hawa dinginnya. Masuk ke dalam bilik, saya minta suis pendingin udara ditutup. Setelah ditutup saya masih kesejukan sehinggakan jururawat memberikan tiga helai selimut di samping sebotol air panas untuk diulit ke badan.

Lega jugalah sedikit diulit air panas….. Entah pukul berapa dapatlah juga lena pada malam itu. Sudah menjadi lumrah bagi saya apabila bertukar tempat tidur, susahlah jawabnya untuk lena. Bagaimanapun, pada pukul 2.00 pagi saya terjaga dari tidur. Pelik tetapi sukar dipercayai kenapa saya terbangun ketika itu.

Sedang dibuai kelenaan, saya dikejutkan oleh bunyi orang sedang memasak. Saya menoleh ke hujung katil dan ternampak beberapa orang iaitu lima atau enam orang sedang menghadap dapur dan menggoreng sesuatu. Orangnya kerdil sahaja, macam kanak-kanak saiznya.

Mereka sedang leka menggoreng pisang…. Saya terus memerhatikan tanpa berkata apa-apa. Makhluk-makhluk berkenaan juga tidak mempedulikan saya. Saya baca sahaja apa-apa ayat suci yang mudah. Mereka ghaib. Lama juga saya bermenung sambil dalam hati berkata-kata sendiri: “Aku ni mengigau kut...” Macam-macam andaian yang terlintas tetapi saya terus membaca surah ai-ikhlas beberapa kali sehinggalah lelap kembali.

Esoknya saya bercerita pengalaman misteri itu kepada ahli-ahli keluarga. Hampir semua, termasuk rakan-rakan yang berziarah mengatakan saya bermimpi atau mengingau. Saya senyum sahaja kerana mungkin juga benar kata mereka itu.

Malam kedua… kira-kira pukul 2.00 pagi juga saya terjaga lagi. Kali ini bukan kerana ada orang menggoreng pisang, tetapi ada yang menepis jari kaki dengan kuat membuatkan saya terkejut. Saya bingkas bangun kerana menjangkakan ada jururawat yang masuk untuk memberi ubat atau membuat pemeriksaan.

Berdasarkan pengalaman, para jururawat memberi salam dan memasang lampu utama setiap kali masuk ke bilik. Pada pagi itu selepas pasti tiada jururawat yang masuk, saya kejutkan isteri yang setia menemani saya sekiranya dia yang kejutkan saya. Panggil punya panggil beberapa kali, nyata sekali isteri saya sangat letih dan tak bangun.

Sayapun membuat kesimpulan jika nak bangunpun susah, tak mungkin dia boleh tepis kaki tadi. Saya tunggu juga beberapa minit ‘kot-kot’ ada yang nak usik lagi. Jelas tiada, maka sayapun pejamkan mata.

Esoknya saya menelefon seorang abang angkat menceritakan dua penglaman pelik dan peristiwa misteri itu. Saya meminta beliau membawa seorang anak buah Datuk Dr. Harun Din dari Pusat Rawatan Darul Syifa’. Tidak lama kemudian mereka tiba.

Saya menceritakan sekalli lagi apa yang terjadi dalam masa dua malam lepas. Oleh kerana anak buah Dr. Harun Din itu adalah kenalan semasa kami sama-sama bekerja di UKM dahulu, cukup mudah untuk kami berkomunikasi. Beliau meneruskan usahanya.

Beberapa hari kemudian saya menceritakan pengalaman-pengalaman misteri itu kepada dua orang jururawat yang datang untuk mengemas katil saya. Salah seorang daripadanya dengan senyum membeirtahu, ’’Bilik ni memang macam tu…. Dah lama dah tapi kami buat tak tahu sahaja.”

Pada sebelah malam, saya bercerita kepada seorang petugas yang lain. Dia senyum dengan lebih lebar.

Apabila ditanya mengenai cerita seorang rakannya yang lain bahawa beliau ada merakamkan gambar mahluk asing, petugas itu mengakui:"Gambar toyol…..saya rakamkan pada waktu menjelang magrib .’’ Kami ketawa sendirian. Setelah lebih sebulan tinggal dalam bilik berkenaan, saya keluar seketika berehat di rumah tetapi tidak berapa hari kemudian terpaksa dikejarkan kembali ke hospital pada jam 11.00 malam.


Pada petang berkenaan, badan saya tiba-tiba terasa lemah dan kira-kira jam 8.00 malam, saya tumbang….. Setelah berada tiga jam di wad kecemasan, saya dipindahkan sekali lagi ke wad 8B - kali ini ke bilik nombor 10 - bukan lagi bilik yang dahulu.

Makan durian punya hal…..

Apabila menziarahi orang sakit, membawa buah-buahan atau makanan istimewa tertentu adalah perkara biasa. Inilah kisah seorang sahabat karib yang mengetahui saya memang ‘hantu durian’. Datanglah kawan berkenaan pada waktu tengahari.

“Ini isteri saya masak istimewa untuk Tuan,’’ kata sahabat berkenaan, seorang pegawai yang sama-sama berkhidmat dengan saya dalam pasukan Pertahanan Awam. Dia menyerahkan pulut dan lempuk durian…… Saya ucapkan terima kasih dan dia mengangguk. Selepas berbual-bual seketika, pegawai itu pulang dan saya melemparkan senyuman kepadanya.

Senyum ada makna…bukannya senyum kosong. Saya senyum kerana pegawai berkenaan tidak maklum bahawa tahun lepas saya tersadai di bilik nombor 9 wad yang sama selama seminggu gara-gara makan durian seperti yang saya ceritakan dalam siri yang lalu.

Dia tidak tahu kini saya bukan lagi ‘hantu durian’.

Pemberian daripada sahabat berkenaan bagaimanapun tetap dihargai dan tidak disia-siakan. Ini kerana, pulut dan durian itu akhirnya menjadi habuan isteri saya.-30/1/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 361  tetamu dalam talian