08Disember2019

Agenda Daily

Terdengar suara bayi menangis di lokasi kemalangan….

Suatu petang, wartawan kanan di meja jenayah, HajI Sirajuddin Mokthar (kini Allahyarham) atau lebih dikenali dengan nama penanya HC Raj meminta bantuan saya agar mengambil gambar lokasi kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur Seremban berhampiran Bangi.

 

HC Raj meminta bantuan sedemikian kerana saya tinggal di Bandar Baharu Bangi tidak jauh dari lokasi kemalangan yang meragut empat nyawa dalam kelamangan yang berlaku beberapa ketika sebelum waktu berbuka puasa pada hari berkenaan.

Menurut HC Raj, beliau sudah mendapat segala maklumat mengenai kemalangan itu dan gambar diperlukan untuk ‘follow-up’ atau laporan susulan pada hari berikutnya. Menurut HC Raj, jika saya boleh merakamkan gambar berkenaan, tidak perlulah beliau menghantar jurugambar ke lokasi kerana kebetulan ketika itu para jurugambar sebelah malam sudah ada tugasan masing-masing.

Seperti yang dipinta, dalam perjalanan pulang, saya terus ke lokasi kemalangan berkenaan. Lokasi itu lebih terkedepan daripada Tol Bangi yang menghala ke rumah saya. Saya teruskan perjalanan dan kira-kira lima minit kemudian, sampailah ke lokasi tersebut.

Di sana kelihatan para pekerja Propel dan PLUS membersihkan kawasan kemalangan. Kereta yang nahas masih ada di sana. Saya turun dari kereta untuk melihat keadaan. Beberapa meter dari kenderaan berkenaan kelihatan kereta sorong kanak-kanak. Tidak jauh dari situ, ada pula, patung dan botol susu. Saya rakamkan gambar-gambar berkenaan untuk tujuan rekod dan untuk susulan hari berikutnya.

Tiba-tiba sahaja beberapa orang yang berada di lokasi menjadi riuh. Kononnya mereka mendengar tangisan seorang bayi. Masing-masing tertanya-tanya adakah masih terdapat mangsa di kawasan berkenaan sedangkan kemaoangan telah berlaku beberapa jam sebelah siang.

Semua tercari-cari dari manakah bunyi suara budak menangis itu. Sebagai wartawan, kamera di tangan sentiasa siap sedia untuk merakamkan apa-apa kemungkinan. Saya sudah terbayang kembali hasrat HC Raj yang hanya mahu gambar lokasi. Saya sudah terbayang akan mendapat gambar yang lebih menarik.

Hampir sejam kami meninjau-ninjau di kawasan berkenaan hinggakan kawasan semak yang dipenuhi lalang di tepi jalan itu menjadi terang, tetapi tidak ada apa-apa yang dijumpai.

Fikiran saya mulai melayang jauh ke sepanjang jalan berkenaan. Terkenang juga perisitiwa kira-kira lima kilometer dari kawasan lokasi berkenaan mengenai seorang rakan di Universiti Kebangsaan Malaysia yang maut beberapa jam sebelum beliau diijabkabulkan.

Rakan tersebut seorang pengawal keselamatan yang bakal mendirikan rumah tangga selepas kematian isterinya. Persiapan telah dibuat dengan penuh rapi, tetapi pada kira-kira pada kira-kira pukul 2.00 petang hari berkenaan, rakan tersebut menemui ajal di lebuhraya itu - kira-kira enam jam sebelum beliau dijadualkan dijabkabulkan.

Hajatnya tidak kesampaian kerana beliau maut di lebuhraya itu setelah dirempuh oleh sebuah lori dari arah yang sama. Majlis akad nikah yang dijadualkan bertukar menjadi majlis tahlil. Al-Fatihah untuk sahabat berkenaan.

Di lokasi yang hampir sama juga iaitu kira-kira satu kilometer sebelum lokasi yang meragut nyawa rakan itu, saya juga pernah melalui tiga peristiwa aneh. Pertamanya, tatkala pulang dari pejabat kira-kira pada pukul 10 malam, saya ternampak mayat seorang lelaki berkecai di atas lebuhraya berkenaan.

Tanpa perasaan gentar, saya terus memandu ke Balai Polis Bandar Baharu Bangi. Kebetulan dapat pula berjumpa dengan Ketua Polis Balai iaitu Sarjan Osman. Saya menceritakan pengalaman tersebut kepada beliau. Sarjan itu meminta saya menunjukkan lokasi dan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda polis, yang dipandu sendiri oleh sarjan berkenaan kami bergerak ke lokasi tersebut.

Sampai di sana, bukan sahaja tiada mayat yang berkecai, malah kesan-kesan kemalangan seperti tumpahan darahpun tiada. Sarjan berkenaan tersenyum pada saya dan lantas bertanya; ”Apa yang you nampak tadi,? Sukar untuk saya menjawab apatah lagi memberi penjelasan.

Kami pulang ke balai polis sambil tok sarjan berkenaan memberitahu sebenarnya beliau telah mendengar beberapa cerita mengenai perkara itu sebelum ini. Sampai di balai polis, seorang konstabel memberitahu bahawa ada panggilan telefon untuk sarjan berkenaan.

Menurut sarjan Osman, seorang pemanggil memberitahu ada melihat mayat yang hancur di lokasi yang baru sahaja kami lawati itu. Tok sarjan tersenyum lebar tetapi tidak menunjukkan reaksi beliau mahu pergi ke sana.

Satu lagi pengalaman di sebelah jalan menghala ke Kuala Lumpur di lokasi yang sama ialah perihal sebuah kereta di depan saya yang tiba-tiba membelok ke kiri dan terus memanjat bukit di tepi jalan. Saya tergamam melihatnya sehinggalah kenderaan tersebut bergesel dengan tembok jambatan dan turun kembali ke lebuhraya sebelum terhenti.

Saya memberhentikan kereta. Begitu juga dengan beberapa buah kenderaan yang lain dan kami bergegas cuba membantu pemandu yang tersepit di dalam keretanya. Mujurlah tidak ada apa-apa yang serius. Saya terus tanyakan kenapa beliau membelok ke kiri sedangkan jalan itu lurus.

Katanya, pada pandangan beliau jalan itu membelok dan beliau hanya mengikut belok itu hinggalah tersedar setelah keretanya menggesel jambatan di atas jalan.

Pengalaman ketiga di lokasi yang hampir sama adalah kira-kira pukul 9.00 malam. Waktu itu hujan gerimis dan hari Khamis tetapi bukan dalam bulan Ramadhan. Di tepi jalan, ada seorang wanita berpakaian serba putih sambil memegang payung yang juga berwarna putih. Dia kelihatan seolah-olah mahu menumpang kenderaan, tetapi saya sempat berfikir dari mana datangnya beliau kerana di situ tidak ada kenderaan rosak, tidak ada rumah dan tidak ada sebab untuk manusia berada di situ.

Saya hanya memperlahankan kenderaan dan berhenti kira-kira 100 meter setelah melepasi wanita itu. Saya dapat melihat sebuah van bergerak perlahan, pemandunya memberhentikan kenderaan dan mempelawa wanita itu naik. Saya nampak wanita itu naik melalui pintu sisi, tetapi apabila van itu melintasi kenderaan saya, saya lihat hanya ada seorang pemandu dalam van itu.

Saya terus pulang dan tidak menoleh ke belakang lagi. Sejak itu, jika tidak berteman dari pejabat, saya tidak akan melalui jalan itu pada waktu malam.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian