22Januari2020

Agenda Daily

Selamat datang Khir Toyo, Shahidan Kassim…

Hari pertama lapor diri di Kementerian Penerangan, Menterinya yang baru, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegaskan, beliau akan menemui para penulis blog dalam masa terdekat. Tentulah langkah ini bukan sahaja untuk bermesra, tetapi juga mencari persefahaman.

Bukan semua penulis blog menulis yang merapu-rapu kerana ada di kalangan mereka pernah menjadi pengarang kanan akhbar-akhbar arus perdana terkemuka yang meletak jawatan kerana merasa tidak sehaluan dengan pihak-pihak tertentu dalam organisasi mereka.

Mereka ini ,sebenarnya meneruskan kerjaya mereka sebagai wartawan. Ada yang menulis blog tersendiri, ada juga yng bergerak dalam bentuk organisasi iaitu membentuk akhbar portal atau disebut juga akhbar dalam internet.

Bekas-bekas wakil rakyatpun berminat juga menjadi penulis blog untuk memberikan buah fikiran atau kadang-kadang melepaskan geram masing-masing. Yang masih berkhidmatpun ada juga yang mempunyai ruangan sendiri – masing-masing dengan tujuan tertentu.

Sehari kemudiannya, Datuk Ismail Sabri yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan juga memberi pandangan tinggi terhadap para penulis blog. Katanya, peranan penulis-penulis ini besar dan sebahagian daripada anak muda menjadi pengikut.

Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendapat watikah perlantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi tidak mendapat restu Raja Perlis untuk menjadi Menteri Besar, akhirnya mengumumkan langkahnya untuk bertukar kerjaya.

Setelah tidak lagi menjadi Menteri Besar, beliau mahu menjadi penulis blog dengan memberi fokus kepada kemelut politik yang sedang berlaku di Indera Kayangan itu.

Belumpun sempat Shahidan menulis apa-apa lagi, mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo telahpun mula menulis dalam blognya sendiri.

Mula-mula Agendadaily melaporkan Shahidan bakal menjadi mantan menteri besar pertama menjadi penulis blog tetapi keesokannya terpaksa membuat pembetulan kerana yang pertama adalah doktor pergigian itu.

Saya mengucapkan selamat datang dan selamat menulis kepada kedua-dua bekas menteri besar ini.

Tak sangka betul boleh sama-sama menulis dengan YB Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo….. maklumlah dulu dia MB saya cuma MP sahaja.

Tak kisahlah apa MPun, yang penting, life must goes on . Hidup dan perjuangan mesti diteruskan. Dahulu, sebagai wartawan, penulisan saya bukan sekadar laporan berita atau membawa perkhabaran sahaja tetapi diniatkan juga sebagai perjuangan politik dalam hal dan kes-kes tertentu.

Cuma sekadar bertanya, mantan menteri besar, menteri dan timbalan menteri persekutuan, termasuk Datuk Seri Idris Jusoh tak minat nak join ke?

Semasa menjadi MP, saya masih dan terus menulis. Selepas bergelar YBB (YB yang bersara), saya juga kembali menulis. Memang menulis itulah sahaja kerja yang boleh saya buat agaknya.

Pernah juga cuba-cuba berniaga, tetapi lingkup macam empat negeri di bawah Barisan Nasional dahulu, kini dikuasai pembangkang. Apa nak kata, tak boleh nak salahkan orang.

Minggu lalu, membaca kenyataan Pak Lah mengenai media alternatif, agak menarik juga. Kata Perdana Menteri, kerajaan dan BN telah tersalah congak apabila berpuas hati dengan peranan media arus perdana sedangkan media pilihan ramai bukan itu.

Katanya, BN telah tidak memperdulikan impak internet dan SMS kerana menyangka memadai menggunakan akhbar yang ada.

“Kami ingat ia tidak penting….. rupa-rupanya kami silap besar,’’ kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Malaysia Invest di Kuala Lumpur pada 25 Mac lalu.

Syukurlah sudah ada pegangan sedemikian – tidak memandang remeh tehadap apa yang orang lain lakukan. Kita rupa-rupanya tidak boleh berpuas hati sangat dengan apa yang kita miliki kerana orang lainpun ada sesuatu juga.

Pernah suatu ketika dahulu, saya bertanya soalan kepada Pak Lah dalam sidang akhbarnya di Ipoh mengenai satu laporan blog yang menyatakan akan berlaku krisis perlembagaan di negara ini akibat masalah hubungan kerajaan dengan pihak istana.

Jawab Pak Lah: “ I don’t react to bloggers . Selepas sidang akhbar itu, Pak Lah turun dari pentas dan menemui saya sambil bersalam dan berkata pula; “Maaf, bukan tak mau jawab pertanyaan you, tetapi tak mau jawab khabar angin.”

Lega mendengar penjelasan Pak Lah itu dan kini lebih lega apabila beliau mengakui peranan yang dimainkan melalui media alternatif ini.

Apabila mendapati semakin banyak orang yang bakal menjadi penulis blog, rakan-rakan yang lainpun tumpang seronok juga. Maklumlah, dahulu, bloggers dan wartawan menulis mengenai pemimpin-pemimpin, tetapi kini mereka sendiri akan menulis. 

Tentu ramai yang tertunggu-tunggu apa agaknya yang akan dicoretkan dalam ruangan masing-masing.

Sebelum adanya zaman internet, industri surat layang berkembang dengan cepat sekali dan mendapat tempat. Perkembangannya semakin hebat apabila ada sebarang pertandingan dalam parti.

Di peringkat bahagian dan kemudiannya ke Majlis Tertinggi UMNO, ada orang membuat banyak duit haram melalui surat-surat layang.

Sekarang, semua orang dah boleh menulis melalui blog masing-masing – maknanya penulis-pemulis upahan susahlah nak cari makan kerana tulisan-tulisan tidak bertanggungjawab mereka boleh dihentam kembali melalui blog.

Silap-silap hari bulan, yang membalas hentaman mendapat kredit. Kita tengoklah nanti, siapa berani hentam siapa!

Bagaimanapun, hentam menghentam bukanlah tujuan sebenar penulis blog atau wartawan siber. Mereka berhasrat menyampaikan pandangan atau ulasan – cuma kadang-kadang tu terbabas dan tersasul. Jika sesuatu blog sengaja diadakan untuk hentam menghentam pihak lain, terpulanglah kepada kebijaksanaan pembaca memilih.

Tulisan blog samalah macam drama di tv, jika kita suka, kita tonton, jika tidak, pilih sahaja saluran lain. Kalau kita sukakan sesuatu drama tv, ia tidaklah bermakna kita percayakan drama itu sepenuhnya. Begitu jugalah sebaliknya. Jika tidak setuju dengan drama itu, orang lain mungkin sukakannya.

Akhirnya, yang nak menentukan baik atau tidaknya sesuatu drama itu ialah hati kita sendiri. Sekali lagi, selamat datang dan selamat menulis wahai ‘penulis-penulis VIP’- 2/4/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 202  tetamu dalam talian