26Februari2021

Agenda Daily

Sekadar renungan…

Menjelang berlangsungnya Persidangan Perwakilan Bahagian UMNO tidak lama, terkenang saya peristiwa berkempen yang berkesudahan di Balai Polis Kajang dan dipanggil sebagai saksi oleh Lembaga Disiplin parti kerana ketua bahagian menghadapi tuduhan ‘main duit’.

 

Sebenarnya saya tidak mahu sangat mengingatkan peristiwa yang saya sifatkan sebagai hitam dan pahit bergelumang dalam politik sejak tahun 1982 lagi. Namun, bagi tujuan ingatan kepada rakan-rakan yang masih ‘bergedincak’ dalam kancah berkenaan saya catatkan juga untuk ruangan minggu ini.

Tatkala menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1995, saya hanya berbekalkan jawatan ahli jawatankuasa bahagian dan selepas itu apabila ada pertandingan, saya diminta mengisi jawatan Naib Ketua Bahagian kerana kerusi itu dikosongkan oleh penyandang jawatan, yang melangkah jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Jawatan itu pula kosong kerana penyandangnya melepaskan jawatan kerana faktor usia.

Saya akur bertanding jawatan itu walaupun niat di hati mahukan jawatan Ketua Pemuda kerana mahu merapatkan saf dengan Dato’ Zahid Hamidi yang menjadi ketua di peringkat kebangsaan.

Begitulah dua penggal berlalu sehinggalah penggal ketiga saya tidak dibenarkan lagi ‘menumpang kapal’ ketua bahagian kerana beliau sudah ada panglima-panglima perangnya sendiri. Nak bertahan jawatan Naib Ketua, ada orang yang nak lawan. Mahu tak mahu, daripada orang lawan kita, biarlah kita lawan orang.

Demikianlah cara mudahnya untuk saya membuat keputusan bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian walaupun mengetahui panglima perang nombor satu ketua bahagian sedang menanti dengan bala tenteranya yang cukup besar dan ‘harimau-harimau’ yang menantipun besar juga.

Saya tiada pilihan, terpaksa berlaga juga. Kaki dah terdorong, hanya badan sahaja yang tinggal di belakang. Dengan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semenyih, Ahmad Kurish Mohd Nor merebut jawatan Ketua Bahagian, saya banyak mengekori beliau menyertai kempen-kempen di cawangan-cawangan dalam seluruh Hulu Langat.

Nak dijadikan cerita, pada suatu malam diadakan suatu upacara di rumah ketua wanita cawangan di salah sebuah kampung dalam kawasan Dusun Tua. Entah macam mana, saya yang datang bersama seorang rakan telah sampai lebih awal daripada Ahmad Kurish.

Sesampai di kawasan berkenaan, lorong ke rumah ketua wanita yang terletak di lereng bukit itu, telah disekat dengan beberapa dahan pokok dan pelapah kelapa. Saya undurkan kereta dan meletakkan di tepi jalan dan apabila melalui sebuah rumah saya memberi salam dan disambut oleh seorang lelaki yang lantas memberi arahan jika mahu ke rumah ketua wanita, perlu ikut jalan lain dan beliau menunjukkan jalan itu.

Saya akur dan mengikut jalan berkenaan yang merupakan tebing longkang menghala belakang rumah ketua wanita itu. Sampai di rumahnya, saya dapati kira-kira 15 orang sudah berada di sana. Saya menceritakan perihal apa yang dilalui sebentar tadi.

Kira-kira 20 minit kemudian, terdengar suara seseorang memanggil nama ketua wanita dan juga nama saya, kami keluar mendapatkannya dan diberitahu bahawa Ahmad Kurish tidak dibenarkan melalui mana-mana jalan. Beliau sedang bertikam lidah dengan lelaki yang menyambut salam saya tadi.

Saya pergi mendapatkan Kurish yang ketika itu cuba berunding menyelesaikan masalah. Malangnya, lelaki itu semakin berang dan ada ketikanya mengancam baring di atas lorong jika kenderaan pacuan empat roda Kurish mahu dipandu masuk.

Ahmad Kurish sangat kenal lelaki berkenaan kerana beliau adalah rakan sekolahnya, tetapi malam itu, kerana dia adalah penyokong ketua bahagian yang ditentang, beliau juga menentang Kurish sehingga menyebabkan beliau menghunus parang kearah Kurish, tetapi nyaris-nyaris terkena saya.

Mujur Kurish cekap mengelak dan memujuknya supaya menyarung kembali parang yang ada di tangannya, tetapi beliau terus menghayunnya kearah kami sehingga kami terpaksa berundur dan tiba-tiba kedengaran sahabat saya itu bersuara “ Jangan buat begitu, aku ada pistol ni…..”

Mendengar kata-kata itu, barulah lelaki berkenaan kendur, tetapi tetap tidak mahu membenarkan kami melalui lorong di atas tanah milik isterinya. Halangan-halangan yang dibuat tetap dijaga dengan rapi. Makapun mengikut jalan tepi longkang ke rumah berkenaan sehingga selesai urusan pada malam itu.

Dalam perjalanan pulang, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang ketua cawangan yang lain menyatakan satu laporan polis telah dibuat oleh lelaki itu terhadap Ahmad Kurish kerana mengacukan pistol kepadanya.

Malang betul nasib sahabat saya itu, terpaksa berulang alik ke balai polis entah berapa lama. Nama pula terpampang dalam laporan-laporan akhbar. Sebenarnya saya juga membawa dan mengeluarkan revolver pada malam itu tetapi oleh kerana ia berwarna hitam dan saya pula tidak menyebutnya, maka tiada siapa yang sedar dan tidaklah diadukan oleh lelaki berkenaan!

Tidak disangka langsung pertandingan di peringkat bahagian sahaja boleh berakhir di balai polis dan lebih tidak diduga ialah kumpulan kami iaitu calon ketua bahagian, timbalan dan naib, kesemuanya ‘bungkus’ dalam pertandingan itu walaupun jika mengikut corak dan sokongan, kami bagaikan menang. Rupa-rupanya kami cuma menang sorak dan mendapat sokongan bawa rebah.

Ketua bahagian iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, tetap menang. Kini, saya dan Kurish tidak lagi menjadi ahli dewan selepas bersara pada tahun 2004 dan 2008. Dr. Zainal berehat pada tahun 2004 tetapi kembali bertanding sebagai ahli parlimen di Hulu Selangor pada tahun ini dan beliau menang walaupun beliau keseorangan di sana kerana kesemua orang kuatnya dahulu masih kekal dalam UMNO sedangkan beliau beralih mengikut mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Teingin sangat untuk melihat Dr. Zainal beraksi dan mendengar suaranya di Parlimen.

Menghimbau kempen pemilihan di peringkat bahagian, orang yang biasa dan sering bertanding akan mengetahui dan mahir tentang selok-belok rakan-rakan ketua cawangan dan perwakilan.

Banyak orang percaya, ketua cawangan memainkan peranan yang besar terhadap perwakilan dari cawangannya. Hakikatnya, ini tidak selalunya benar. Kadang-kadang ketua cawangan membawa undinya sendiri sahaja sedangkan anak-anak buahnya yang lain boleh berubah haluan kerana ‘kebocoran’ boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa, hatta 15 minit sebelum pengundian dijalankan.

Calon-calon dari pihak lawan, boleh akses ahli-ahli cawangan dengan mudah. Ahli-ahli ini boleh pula berubah selera pada bila-bila masa jika mereka termakan umpan yang enak. Maklumlah, semasa berkempen, banyak harimau boleh bertukar sangkar atau bertukar tuan.

Mereka yang tidak membela atau tidak ada harimau, melopong sahajalah jawabnya dan bermakna, perwakilan boleh terlepasdirwempat lawan!

Ada ketua cawangan yang mendakwa membawa perwakilan setiap malam, tetapi apabila persidangan cawangan berakhir, tak seorangpun daripada mereka yang lekat menjadi perwakilan ke bahagian. Malah, ketua cawangan itu boleh jadi melekat dengan kita dari hari pertama hinggalah hari terakhir berkempen tetapi selang beberapa jam menjelang pengundian dilangsungkan, beliau boleh menganjurkan program yang dinamakan, ‘kembali ke pangkal jalan’.

Sebagai calon yang berkempen, kita tidak terlepas daripada belanja makan malam sama ada di gerai ataupun di hotel lima bintang – bergantung kepada lokasi bahagian dan kemampuan calon.

Ketua cawangan atau agen-agen akan membawa bakal calon atau calon untuk makan-makan. Yang menjadi masalah, khususnya calon marhain ialah calon-calonpun bawa pengiring mereka sekali. Pengiring pula tidak dapat ‘lesen A’, maka terpaksa pula bawa isteri sekali.

Pada satu malam, ada kemungkinannya terpaksa menghadap dua kumpulan prospek – maksudnya dua kalilah makan malam.

Kini, sudah lama tidak menjadi wakil rakyat, sayapun dah lama tak bertanding. Orang lain, terpaksa berhempas pulas bertanding dahulu di bahagian, kemudiannya jadi wakil rakyat, tetapi saya bertanding selepas menjadi wakil rakyat.

Menurut kawan-kawan yang berpengalaman, bertanding di peringkat bahagian adalah lebih getir daripada pilihanraya umum kerana ia lebih meriah dengan pelbagai kegiatan, termasuk melancong dan melawat sambil belajar.

Semoga pemilihan 2008 akan berubah coraknya. Semoga tsunami 8 Mac memberi kesan kepada pemilihan parti dan semoga ahli-ahli parti sedar dan insaf akan apa yang mereka lalui selama ini. Hendaknya, mereka bersedia membawa perubahan supaya orang lain tidak perlu berubah.- 12/6/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 601  tetamu dalam talian