27Februari2021

Agenda Daily

Rita dapat anak lagi……

Pada suatu hari saya dikejutkan dengan sapaan oleh seorang wanita. Ketika itu saya dan seorang lagi rakan sedang berada di sebuah 'supermarket' di Chow Kit, Kuala Lumpur.

 

Saya menjawab salamnya dengan terpinga-pinga. Wanita itu memakai seluar jeans warna biru dan kemeja-T berlengan panjang. Dia melemparkan senyuman meleret sambil mengusap-usap kepala seorang bayi yang disorong. Sesekali beliau membetulkan tudung di kepala.

"Encik apa khabar…? Apa buat kat sini, shopping raya ke?" wanita itu bertanya. Memang ketika itu orang ramai tengah sibuk shopping raya kerana berada dalam pertengahan Ramadan. Bagaimanapun saya dan rakan jurugambar masuk ke supermarket itu kerana hendak mendapatkan hawa dingin setelah penat membuat tinjauan sebelumnya.

Saya masih belum dapat mengagak siapa wanita yang menegur itu. Badan letih dan berpuasa membuatkan komputer otak kurang berfungsi.

"Ini anak saya yang kecil…dah dua dah,'' beliau meneruskan ceritanya membuatkan saya menjadi lebih bingung memikir dan mengagak siapalah siibu muda itu.

"Nampak macam tak ingat je… cuba Encik ingat betul-betul. Takkan lupa kot,'' katanya lagi. Saya pula menjawab," Cik Puan ni tersalah orang tak…"

"Hai Encik Badrul… you ni pelupa betullah, baru empat tahun tak jumpa dah lupa. Agaknya you dah lupakan I terus,'' kata wanita itu, tetapi saya macam biasa mendengar suaranya yang mendayu-dayu itu.

"Ya…saya Badrul… tetapi Cik Puan..,'' belum sempat menghabiskan ayat itu, wanita itu terus menghulurkan tangan untuk bersalaman lalu berkata:

"Terima kasih kerana apa yang telah Encik lakukan. Saya Rita…. Rita nombor 19,'' katanya seraya raut mukanya berubah. Walaupun mulutnya tersenyum, tetapi air matanya mula mengalir. Sayapun tergamam. Rita empat tahun lalu dan Rita di depan mata saya sudah berbeza. Hajatnya sudah kesampaian.

Jurugambar Utusan hanya tercegat melihat dan mendengar perbualan kami, beliau tidak faham apa yang sedang berlaku dan apa yang diperkatakan.

Saya mempelawa Rita ke restoran berdekatan untuk membasahkan tekak sambil bercerita, tetapi Rita menolak pelawaan itu dengan penuh sopan.

"Kan kita puasa....Suami saya menunggu di kereta, nanti terlambat sangat.'' katanya sambil menunjukkan ke arah sebuah kereta Toyota berwarna putih.

Rita memberitahu bahawa beliau telah diselamatkan melalui serbuan pada malam berkenaan dan selesai proses tindakan undang-undang, beliau telah dilamar oleh salah seorang anggota penguatkuasa yang bertindak pada malam itu.

Anggota berpangkat koperal itu menjadikan Rita (bukan nama sebenarnya) sebagai isteri kedua dan menyediakan sebuah rumah yang sederhana di pinggir ibukota untuk beliau.

Mengikut cerita Rita, suaminya sangat penyayang dan amat mengambil berat terhadap dirinya

"Dia cukup penyanyang Encik..sekarang kami dah ada dua orang anak. Dia sayang betul pada anak-anak kami. Syukur ya Allah… Terima kasih Encik.. Kawan Encik yang dulu (maksudnya Pok Me) apa khabar. Kirim salam kat dia. Cakap terima kasih juga," kata Rita. Dia lantas menghulur tangan yang lembut sekali lagi sambil mengucapkan salam dan selamat tinggal.

"Nanti saya telefon lagi," kata Rita terus berjalan tanpa menoleh lagi ke belakang. Langkahnya agak laju, tetapi laju lagi degupan jantung saya menginsafi kebesaran Ilahi. Allah telah memberi petunjuk kepada sahabat singkat saya yang pada mulanya hanya dikenali sebagai Nombor 19.

Saya terus tercegat dan jurugambar yang tercegat lebih awal terus menepuk bahu saya dan berkata;"Jumpa cinta lama nampak…., Beliau tersilap sangka kerana tidak mengetahui hujung dan pangkal perkenalan kami. Rita oh Rita…..

Perpisahan pada tengahari itu benar-benar mengusik jiwa. Hasrat Rita untuk kembali ke pangkal jalan sudah dimakbuli Ilahi. Ingatan saya terus melayang kepada pertemuan awal kami empat tahun lalu dan pertemuan terakhir pada malam tempat kerjanya diserbu

Pulang ke pejabat pada petanng itu benar-benar menganggu ketenteraman saya. Wajah Rita yang kini bertudung, terus terbayang. Terbayang juga ibunya di kampung yang tidak pernah saya kenali. Begitu juga dengan dua orang anaknya yang ditinggalkan di kampung.

Terimbas kenangan lama bersama-sama Rita. Menghantar Rita pulang pada malam itu bukanlah pertemuan terakhir kami. Malah, komunikasi melalui telefon berjalan lebih kerap. Jika tidak saya yang menelefon, Ritalah yang akan berbuat demikian. Perbincangan dan komunikasi kami bukan berbentuk sketsa cinta.

Sebaliknya, Rita betul-betul berharap dapat keluar dari kancah kehinaan itu. Saya dapat menghidu keikhlasannya kerana walaupun dicap melakukan kerja yang tidak baik, Rita tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai orang Islam dan tidak pernah merelakan dirinya ke kancah itu. Hanya keadaan dan dua orang anak yang ditinggalkan di kampung yang memaksanya berada di situ.

Ibunya di kampung tidak mengetahui langsung apa yang dilakukannya di ibukota untuk menyara dua orang anak yang masih kecil. Walaupun ibunya sering bertanya di mana dia bekerja dan di mana pula rumahnya, Rita tetap memberikan pelbagai alasan dan mengelak daripada menjawab secara jujur.

"Biarlah Rita sahaja yang menanggung semua ini, ibu tak perlu tahu. Cukuplah deritanya selama ini, janganlah kerana Rita, ibu bertambah derita," demikian beliau memberitahu saya dalam suatu perbualan. Saya mencadangkan supaya Rita kembali ke pangkal jalan dan kembali bekerja di kilang seperti mana wanita-wanita lain.

Menurut Rita, beliau memang mahu kembali ke pangkal jalan, tetapi dengan berbekalkan Sijil Rendah Pelajaran, apalah yang boleh beliau lakukan sedangkan anak-anak terus memerlukan perbelanjaan. Namun beliau terus berdoa agar Allah akan mengampuni dan menyanginya.

Operasi atau serbuan oleh pihak berkuasa pada malam itu diadakan kira-kira lima minggu setelah kami berkenalan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya dan Pok Me hanya menyaksikan dari jauh serbuan tersebut tanpa membuat liputan.

Salah seorang yang diberkas pada malam itu adalah seorang wanita cantik berbaju kurung berwarna hijau. Dia berambut pendek tetapi matanya bersinar-sinar. Wanita itu melangkah dengan selamba menuju ke sebuah van biru yang sedang menunggu. Beberapa orang penguatkuasa mengiringi wanita pertengahan dua puluhan itu beserta wanita-wanita lain.

Wanita yang dimaksudkan adalah Rita yang saya dan Pok Me kenali. Beliau tidak kelihatan gabra atau takut. Walaupun jauh, kami lihat bagaikan ada sinar kebahagiaan padanya. Begitulah harapan saya sebenarnya.

Walaupun Rita pernah berkata akan menelefon kembali ketika perpisahan di supermarket berkenaan,beliau tidak pernah berbuat demikian dan sehingga kini kami tidak pernah berjumpa lagi. Semoga rumahtangganya berkekalan dan hidup bahagia di samping keluarga. Saya tumpang gembira atas kegembiraan Rita. Rita oh Rita.- 29/10/2008

---------------------------

Rupa-rupanya Rita jiranku……

Bertugas pada syif malam sebagai wartawan di Utusan Melayu, jika tiada tugasan amat membosankan. Mula bekerja pada jam 5.00 petang, tugas pertama ialah mengambil tajuk berita utama dari siaran berita radio RTM.

Ini diikuti dengan siaran berita selanjutnya termasuklah Berita Perdana di TV1 RTM. Sekiranya tiada tugasan atau 'assingment' maka terperoklah kami di pejabat sehingga 12.00 tengah malam (kemudiannya dilanjutkan sehingga 3.00 pagi bagi liputan muktahir untuk cetakan edisi Kuala Lumpur kira-kira jam 5.00 pagi.

Kebosanan ini ada hadnya jika ada kawan-kawan dari bahagian lain iaitu sukan dan jenayah yang sama-sama tidak mempunyai tugasan pada malam berkenaan. Yang agak kurang menyenangkan adalah rakan-rakan yang bertugas di bahagian atau meja jenayah kerana 'assingment' mereka adalah kejadian-kejadian yang tidak diduga seperti kemalangan jalanraya, tanah runtuh, pesawat terhempas dan juga rompakan serta pembunuhan.

Ada juga tugasan mereka yang lebih menarik iaitu apabila pihak polis mengadakan pelbagai operasi pada waktu malam. Operasi cegah maksiat dan cegah judi haram adalah di antara yang menarik untuk diliputi kerana ada 'trill' dan 'action' dalam operasi tersebut.

Dalam operasi cegah maksiat umpamanya, ada pelacur dan tukang urut yang mempelawa perkhidmatan percuma asalkan mereka tidak diberkas dan dikenakan tindakan. Oleh kerana anggota-anggota polis bertindak dalam operasi dan para wartawan hanya memerhati, kami seringkali disalahsangka sebagai pegawai polis yang memberi arahan.

'Tuan….. Tuan boleh datang kemudian…, free ma.. Bila-bilapun boleh, angkat kawanpun ok.,'' begitulah lebih kurang tawaran yang sering kami dengar daripada pelaku-pelaku maksiat berkenaan. Kami hanya menyambut dengan senyuman.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sering juga mempelawa kami mengikuti operasi-operasi yang mereka adakan. Malah, pejabat Mufti Istana Negara (kini Pegawai Agama) juga turut mengadakan operasi yang sama di beberapa lokasi tertentu di sekitar Kuala Lumpur.

Operasi cegah maksiat oleh Pejabat Mufti Istana Negara selalunya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para wartawan. Datuk Abu Hassan Din sendiri mengetuai operasi berkenaan dan beliau lebih fokus untuk 'cekup' pasangan beragama Islam sahaja.

Beliau sudah mempunyai senarai hotel atau pusat-pusat hiburan yang tertentu untuk diserbu. Apabila pihak akhbar mendapat pelawaan iaitu selalunya beberapa jam sahaja sebelum operasi dijalankan, rakan-rakan yang sepatutnya sudah pulang ke rumahpun menawarkan diri untuk ikut serta. Kadang-kadang yang bukan wartawanpun tumpang sekaki.

Demikianlah yang terjadi pada suatu malam apabila 'wakil' dari Kumpulan Utusan Melayu didapati melebehi jumlah yang lazim. Maka, Datuk Hassanpun bertanya seorang demi seorang wakil dari media mana. Semuanya sudah bersiap sedia dengan jawapan. Dua orang (seorang pemberita dan seorang jurugambar) dari Utusan Melayu, dua orang dari Utusan Malaysia dan dua orang lagi dari Mingguan Malaysia. Kami cemas apabila seorang lagi rakan belum disoal oleh Datuk Hassan.

Namun, apabila disoal, dengan berbekalkan pengalaman, selamba sahaja rakan itu menjawab,"Saya wakil Utusan Pelajar…" Dalam hati kami, cemas bertukar menjadi lawak kerana Utusan Pelajar tidak mempunyai ruangan untuk liputan sedemikian, tetapi rakan itu 'terlepas' pada malam berkenaan.

Mengikuti operasi pejabat agama Istana Negara memang menarik kerana fokusnya bukanlah untuk memberkas pesalah-pesalah sahaja tetapi diberikan kaunseling atau teguran 'on the spot' Umpamanya, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, seorang pemuda berada dalam bilik bersama-sama kekasihnya.

Apabila beliau membuka pintu setelah beberapa kali diketuk, Datuk Hassan berisytifar panjang kerana remaja itu memakai baju melayu dan berkain sarung. "Hah… bukan ke dengan baju Melayu ni juga awak sembahyang Jumaat siang tadi…..?,;; tanya Datuk Hassan Din. Dengan segan silu remaja itu mengangguk mengakui telahan pegawai agama itu.

Sambil kakitangan lain mengambil keterangan, kaunseling dimulakan dan tiba-tiba sahaja rakan remaja itu, gadis dalam lingkungan belasan tahun menitiskan air mata. Nyata sekali beliau menyesal dan memarahi pasangannya yang memaksanya mengikuti ke bilik hotel berkenaan.

Apabila menyerbu sebuah pusat hiburan pula, tiga lelaki sedang meminum minuman keras. Apabila diminta kad pengenalan dirinya, sah mereka beragama Islam dan apabila ditanya kenapa meminum air haram itu, salah seorang memberitahu mereka hanya meneguk air jenama Coca-cola.

Para petugas merampas air berkenaan dan disalin ke dalam plastik untuk tindakan selanjutnya.

Ada seribu satu kenangan apabila mengingatkan kembali serbuan demi serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Pada suatu malam, saya turut mengikuti satu operasi oleh pihak polis. Turut sama ialah rakan sekerja dari meja jenayah iaitu Kamaruzaman Mohamad, kini editor yang masih lekat di Utusan.

Kami menyaksikan dari jauh sahaja pekerja-pekerja tukang urut yang 'diusung' seorang demi seorang oleh pihak berkuasa. Kami tidak mengambil gambar dan tidak membuat liputan kerana ada 'kes' istimewa.

Kisah bermula apabila beberapa minggu sebelumnya, saudara Kamaruzaman @ Pok Me memberikan telefon kepada saya kerana ada seorang wanita yang hendak bercakap.

"Bad…. Nah nombor 19 nak cakap,'' kata Pok Me. Oleh kerana ketika itu keadaan agak membosankan juga, saya menjawab panggilan berkenaan. Berkali-kali saya bertanya siapa kah dia, wanita itu hanya mahu dikenali sebagai nombor 19 walaupun beliau tidak keberatan memberikan nombor telefon tempat dia bekerja. Dia masuk kerja pukul 6.00 petang dan balik sekitar 2.00 pagi.

Perbualan telefon pada malam itu diikuti dengan perbualan pada malam-malam berikutnya, tetapi saya tidak pula pelawa Pok Me. Entah macam mana, pada suatu malam, si Nombor 19 bersetuju untuk berjumpa selepas pukul 10.00 malam kerana dia bekerja 'half-day'.

Dengan memberanikan diri dan berpegang kepada prinsip profesional kerjaya seorang wartawan, saya menemui nombor 19 di restoran sebuah hotel di ibukota. Kami makan nasi goreng kampung di restoran berkenaan.

Jika selama ini hanya suara lunak nombor 19 yang didengar, pada malam itu, saya dapat melihat kecantikan paras dan fizikalnya. Kami bersembang beberapa perkara untuk 15 minit sehinggalah saya bertanya apakah yang hendak disampaikan sangat kepada saya. Pada mulanya dia nak jumpa Pok Me, tetapi sahabat yang seorang ini kurang berani….!

Pada malam itu, Nombor 19 memperkenalkan dirinya sebagai Rita. Dia terus bercerita asal usulnya dari Johor Baharu dan sudah mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Menurut Rita, anak-anaknya ditinggalkan bersama-sama ibunya di kampung. Beliau menghantar kira-kira RM450 sebulan untuk perbelanjaan anak-anaknya itu.

Suaminya (kemudiannya bercerai melalui proses mahkamah) sedang merengkok di penjara kerana kes dadah. Perkahwinan mereka adalah atas dasar cinta suka sama suka tetapi tidak mendapat restu keluarga suaminya. Apabila suami menetap di bilik berpagar besi, dengan rasa malu dan kesal, beliau terpaksa kembali kepada ibunya. Dua orang anak ditinggalkan kerana beliau mahu mencari rezeki halal di ibukota Kuala Lumpur.

Rita mencerita, beliau mengikuti seorang lelaki kenalan baru yang cukup berbudi bahasa dan lemah-lembut orangnya. Maka pergilah beliau ke ibukota, tetapi mereka singgah di Seremban.

Di seremban, Rita diperkenalkan kepada seorang lelaki lain yang lebih mesra. Kenalan pertama rupa-rupanya telah lesap dan Rita ditinggalkan di situ bersama lelaki mesra berkenaan.

Pada sebelah malamnya baharulah Rita sedar bahawa dia telah 'dijual' kepada seorang tauke Cina dan bermulalah episod hitam dalam sejarah hidupnya pada malam itu. Menurut Rita, walaupun tidak berpengalaman langsung, beliau dipaksa menjadi tukang urut di hotel itu.

Beliau dan beberapa orang lain menerima nasib yang sama dikawal rapi oleh beberapa orang pekerja tauke berkenaan.

Menurut Rita, tiga bulan kemudian baharulah beliau dapat melarikan diri walaupun pendapatan yang diperolehi adalah lumayan. Beliau berjaya keluar dari neraka dunia itu dengan bantuan seorang pelanggan yang simpati dengan nasibnya. Pelanggan itu membawa Rita keluar dan beliau terus ke ibukota mencuba nasib, tetapi nasib belum menyebelahinya.

Selang beberapa hari di Kuala Lumpur, Rita berjaya dijejaki tauke berkenaan dan beliau diseret kembali ke Seremban menyambung kerja sebelumnya. Rita terus berdoa dan meminta bantuan daripada pihak pelanggan hinggalah kali kedua berjaya memboloskan diri.

Lepaslah beliau daripada cengkaman harimau Seremban, tetapi tanpa disedari, rupa-rupanya Rita masuk ke dalam mulut buaya pula. Beliau dibawa ke Kuala Lumpur untuk diserahkan kepada tauke baharu dan berkhidmat di sebuah hotel yang lebih ternama. Di restoran hotel itulah saya menemui Rita.

Panjang sungguh cerita perjalanan hidup Rita. Saya catatkan segala-galanya dalam buku catatan dan juga pita rakaman. Jam di tangan menunjukkan waktu sudah 12.30 pagi - bermakna kami makan nasi goreng selama 90 minit.

Walaupun mengikut Rita biasanya beliau akan pulang ke rumah menaiki teksi, malam itu saya menawarkan diri untuk menghantarnya. Walaupun pada mulanya agak keberatan kerana mungkin segan atau tak biasa, akhirnya beliau setuju.

Hampir 25 minit,perjalanan, sampailah ke rumahnya iaitu di Bandar Baharu Wangsa Maju, dekat Setapak. Saya menghantarnya ke Blok 8, dan kata Rita beliau tinggal di tingkat 2 sambil menunjukkan rumahnya. Hati saya cukup berderau kerana rupa-rupanya dia tinggal di unit bertul-betul di atas rumah saya. Cuma saya tidak tinggal di situ, sebaliknya adik-adik yang menghuni rumah berkenaan.

Rita turun dari kereta dan mengucapkan selamat malam. Saya melambaikan tangan dan tiba-tiba terkejut besar apabila terdengar suara kasar daripada seorang lelaki yang memberi salam. Lelaki itu adalah adik saya yang masih belum tidur….. 21/10/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 361  tetamu dalam talian