23Februari2020

Agenda Daily

Rima diraba anu.com yang tercapai....

ikon-bad-200-latestBARU Sejak zaman bersekolah lagi iaitu sekitar tahun 1970-an saya amat gemar mendengar siaran radio di gelombang FM97.2 iaitu stesen khas untuk anak-anak Kuala Lumpur atau kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya.  Dahulu, rangkaian ini disebut sebagai Radio Malaysia Ibukota atau ringasnya RMIK. Siapa lagi DJ terkemukanya jika bukan Zainal Din Zainal.

Bertukar peneraju di Kementerian Penerangan atau di Angkasapuri (kerana di bangunan itulah berpusatnya kementerian), bertukar pulalah nama rangkaian-rangkaian radio dan juga tv.  Namun, FM97.2 tetap menjadi pilihan saya sehinggalah Datuk Mohamad Rahmat ( kemudiannya Tan Sri dan kini Allahyarham) kembali ke Angkasapuri setelah direhatkan sebagai Duta Besar bertaraf Menteri ke Indonesia.

Tok Mat, sebagai 'orang lama' memahami selera otai-otai di negara ini. Dengan mengambilkira 'selera' mereka, Tok Mat memperkenalkan saluran baharu iaitu RIMA singkatan kepada Radio Irama Melayu Asli melalui gelombang FM93.9 Mhtz. RIMA memaparkan lagu-lagu asli lama khususnya yang dirakam sekitar 1950-an hingga 1960-an.  Namun, lagu-lagu Pop Yeh-yeh 60-an menyegarkan stesen otai ini.

Balik  dari bekerja pada waktu malam, saluran ini pasti menjadi pilihan. Entah macam mana...pada suatu tengah malam, sambil memandu, tangan sebelah kiri meraba-raba radio untuk mencari FM93.9 tetapi entah macam mana tercapai pula FM99.3. Ewah-ewah, mendengar celoteh djnya sedang bersembang dengan pemanggil yang 'phone-in' atau melintas langsung menggunakan telefon saya 'terpukau' sejenak dan jari yang meraba-raba tadi tidak berbuat demikian lagi, sebaliknya berpindah ke butang lain meninggikan suara radio.

Dj berkenaan sedang galak bersembang dengan pemanggilnya yang berkongsi pengalaman selepas menggunakan suatu produk berkaitan dengan kacip fatimah.  Kata pemanggil berkenaan, selepas menggunakannya, suaminya terus 'terkacip' di rumah dan tidak lagi mencari makan di luar.  Selambe je dia bersembang....

Pemanggil dan dj menggunakan istilah tersirat dot com untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan kacip fatimah itu.  Saya pula semakin galak mendengar perbualan mereka dan tidak lagi mencari FM93.9 kerana terpukau mendengar kegalakan dan kerancakan mengenai dot com itu.

Seorang pemanggil lain berkongsikan pengalaman mengenai suaminya yang sering balik awal sejak dia menggunakan kacip fatimah itu.  Katanya, mereka semakin bahagia kerana sering bersama.  Saya tak pasti sama ada pemanggil yang mengambil bahagian itu adalah pengguna yang sebenarnya ataupun wakil syarikat yang membuat promosi mengenai produk berkenaan. Macam-macam yang mereka sembangkan berkaitan kacip fatimah dan dot com.

Apapun, beberapa hari kemudian, apabila berpeluang berbahas di Dewan Rakyat, saya bangkitkan perkara tersebut dan bertanyakan kepada Kementerian Penerangan mengenai tahap kawalan terhadap stesen radio dan tv swasta.

Tidak kurang daripada 15 minit saya mendengar perbualan tersebut dan dan semuanya saya bawa dalam perbahasan di Parlimen.  Tujuan saya adalah untuk mendapat pandangan Kementerian Penerangan mengenai kawalan kerajaan terhadap stesen-stesen radio dan tv swasta dan kenapa perbualan-perbualan lucah boleh diucapkan..  Walaupun tidak membuat sebarang catatan terhadap apa yang didengar melalui saluran radio berkenaan, saya dapat menghafal hampir satu persatu perbualan mereka.

Saya bertanya kepada menteri berkenaan, bagaimanakah pemantauan dan penapisan dibuat terhadap program-program siaran langsung. Lazimnya saya dapat berucap dengan biasa dan selamba mengenai apa juga perkara yang dibangkitkan.  Bagaimanapun pada hari itu, saya agak berpeluh kerana hampir semua yang hadir di dewan ketika itu termasuk para menteri dan timbalan menteri beralih pandangan kepada saya.

Dewan persidangan yang sebelumnya hiruk-pikuk kerana para pembahas membangkitkan hal-hal politik yang mengundang perbalahan, tiba-tiba menjadi hening. Lagilah terasa gabra kerana semua orang termasuk Yang diPertua Dewan khusyuk mendengar persoalan yang saya bawa itu.

Tidak ada seorangpun yang bertanya atau istilah di Parlimen disebut mencelah, kerana mereka bagaikan mahu terus mendengar. Oleh kerana mereka mahu terus mendengar, saya terus sahaja menyambung ucapan.

Esoknya, persoalan mengenai dot com mendapat liputan dalam akhbar dan agak memeranjatkan apabila Utusan Malaysia memaparkan kisah itu di halaman utamanya. Ruangan Bisik-bisik kelolaan Awang Selamat akhbar itu juga membuat komen dan memberi gelaran YB dot com kepada saya......

Seorang rakan dari Berita Harian dalam komentar mingguannya mempersoalkan setakat mana benarnya cerita yang saya bawa ke Parlimen itu.  Dia macam tak percaya mengenai apa yang saya sebutkan itu. Sebenarnya banyak orang tidak percaya apa yang dipaparkan itu betul-betul tersiar di radio.

Beberapa hari kemudian, apabila sampai giliran Kementrian Penerangan menggulung perbahasan, timbalan menterinya memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap siaran radio dan sudahpun mendengar kembali pita rakaman perbualan tersebut..... Saya hanya tersenyum...

Bagaimanapun pihak radio berkenaan tentu sekali tidak larat tersenyum jauh sekali untuk ketawa terbahak-bahak seperti pada waktu produk kacip fatimah dan perkara dot com diperkatakan.

Mana nak senyum, dj berkenaan telah diminta 'mencari jalan keluar' manakala lesen radio berkenaan digantung....... begitu tegas Kementerian Penerangan ketika itu walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia belum berperanan lagi. Bagaimanapun operasi radio berkenaan dibenarkan kembali dengan nama dan imej lain.  Bagaimanapun saya jarang-jarang mengikutinya kerana sasarannya adalah para pemandu di lebuhraya.

Sekali-sekali dengar juga..tetapi taklah selalu macam berpaut pada RIMA.  Apabila peneraju kementerian bertukar, nama stesen radiopun turut bertukar. Maka hilanglah nama RIMA dan ditukar kepada Klasik sahaja dan kemudiannya Klasik Nasional dan salurannya dipindahkan ke Rangkaian Nasional melalui gelombang FM98.3. Pengisiannya tidak ditukar...cuma nama berlainan kerana nama menteripun dah lain.

Kini, khabarnya Rangkaian Nasional nak dikembalikan dan semoga RIMA juga disegarkan kembali...-5/11/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 349  tetamu dalam talian