22Februari2020

Agenda Daily

Profesor China martabatkan Bahasa Melayu, orang Melayu perlekeh bahasa sendiri...

ikon-bad-200-latestBARU Pada bulan Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan hasratnya agar penggunaan bahasa Melayu diperluas hingga menjadi bahasa pengantar antarabangsa.  Minggu lalu, beliau bersuara lagi mahu bahasa itu atau rasminya disebut sebagai bahasa kebangaaan digunakan secara meluas oleh jabatan-jabatan kerajaan dalam semua majlis.

Majlis-majlis termasuklah mesyuarat, persidangan, urusan pejabat dengan orang awam dan apa juga yang berkaitan dengan urusan dalam negeri.  Pejuang-pejuang dan pendokong bahasa Melayu tentu bangga dan menyokong penuh hasrat Timbalan Perdana Menteri.

Minggu lalu juga tokoh Bahasa Melayu di China dinobatkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa. Pengarah Pusat Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing (BFSU) Profesor Wu Zongyu menerima penganugerahan gah itu kerana bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa Melayu di China sejak 50 tahun lalu.

Tan Sri Muhyiddin sendiri menyampaikan Watikah Penghargaan Negara itu sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di Melaka, pada 13 Oktober. Profesor berkenaan turut menerima RM50,000 dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Profesor berusia 72 tahun itu dihargai dan diiktiraf sebagai tokoh yang mengembangkan bahasa Melayu di luar rumpun dunia Melayu meliputi bidang penyelidikan, penerbitan dan promosi.  Kemunculan Zongyu tentunya mengembalikan kenangan terhadap Laksamana Cheng Ho pada zaman kegemilangan Melaka lebih daripada 500 tahun lalu.  Laksamana Cheng Ho dikenang kerana penglibatannya menghubungkan China dan Melaka dari segi perdagangan dan juga pengembangan Islam.

Kali ini, Zongyu mencatat sejarah lagi dengan peranannya memartabatkan bahasa Melayu di sebuah negara besar yang tidak menutur bahasa Melayu. Sebagai kenang-kenangan, Zongyu turut diberi gelaran Laksamana Cheng Ho ke-2.

Tokoh yang mempelajari Bahasa Melayu melalui pengajian di Indonesia itu menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di BFSU seawal 1962 dan dari situ terus berkembang sehingga berjaya bertapak di tujuh buah universiti di negara itu.  Beliau tidak pernah merungut, sebaliknya semakin tertarik mendalami bahasa Melayu kerana menegaskan;" Saya belajar Bahasa Melayu dan mendekati jiwa bangsa Melayu kerana minat dengan keunikan budaya dan tamadun itu sendiri."

Katanya lagi, jika bahasa Melayu boleh merapatkan dua negara seperti Indonesia dan Malaysia, ia juga berupaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum.

Itu kata Zongyu... Lain pula halnya dengan orang Melayu sendiri. Seorang pengusaha produk wanita Malaysia memberitahu pihak tv9 yang memberi beliau peluang ke udara  bahawa 'ada halangan' apabila beliau mengunjungi Jakarta kerana menjalankan perniagaan. Usahawan ini dengan tenang dan selamba memberitahu kononnya sukar berhubungan dengan rakan niaga dan pelanggannya di negara jiran itu kerana perbezaan bahasa.

Pelek bukan...? Kalau dia memberitahu ada perbezaan kerana dialek, semua orang faham, tetapi jika dikatakan halangan bertutur kerana perbezaan bahasa, saya rasa, eloklah beliau cepat-cepat mengembangkan perniagannya dan cubalah berniaga di Arab Saudi, Vietnam, Jepun atau Pakistan.  Di sana, baharulah dia tahu menilai penguasaan bahasa Inggerisnya yang sebenarnya tidaklah bermakna sangat.

Usaha Tan Sri Muhyiddin memartabatkan Bahasa Melayu tidak mungkin dapat dicapai dengan mudah jika beliau sahaja yang mahukannya.  Pihak lain, termasuk kerajaan sendiri terus meminggirkan bahasa Melayu. Dahulu kita pernah dikejutkan dengan penukaran sebutan pangkat dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penolong Penguasa Polis yang sudah sebati, ditukar menjadi Asisten Superintenden Polis. Begitu juga dengan Cif Inspektor menggantikan Ketua Inspektor.

Kini, kita tidak terkejut lagi apabila lebih banyak istilah Melayu dinyahkan dan digantikan dengan bahasa antarabangsa. Kita kini disogokkan dengan MOE, MOHE, MOH dan sebagainya. MOE adalah singkatan kepada Ministry of Education manakala MOHE pula bagi Ministry of Higher Education dan MOH pula Ministry of Health. Di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sudah terserlah nama Jabatan Veterinar walaupun orang kampung lebih mengetahui Jabatan Haiwan. Jika dahulu, ada institusi perbankan dinamakan Bank Pertanian, kemudiannya telah diantarabangsakan menjadi Agro Bank.

Di hospital-hospital, pusat pemulihan anggota tidak disebut lagi kerana sesuai dengan nama antarabangsanya kini disebut sebagai pusat rehabilitasi.  Di Kementerian Kesihatan, penggunaan bahasa Melayu memang sudah lama dipinggirkan. Ini bukan dakwaan tetapi kenyataan. Jika dahulu kita sering mendengar penyakit kencing manis, sekarang sudah tiada. Perkataan atau nama 'barah' juga tiada. Semuanya ditukar menjadi diabetis dan kanser. Begitu juga dengan hilangnya perkataan pelalian (imunisasi) dan batuk kering.

Satu iklan kementerian itu di tv menyebut perihal seseorang yang mengalami obesiti terdedah kepada hipertensen dan diabetis. Orang kampung manalah tahu mengenai obesiti - jika Cik Siti mereka tahulah. Begitu juga dengan hipertensen dan diabetis. 'Dia' dan 'betis' mereka pasti faham, tetapi asing sekali perkataan diabetis bagi mereka.

Dalam salah satu siaran tv yang membincangkan mengenai kegagalan anak-anak Melayu menguasai matapelajaran Bahasa Melayu, dirumuskan bahawa salah satu daripada puncanya adalah kerana penggunaan ejaan ringkas melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) yang kemudiannya menjadi ikutan dalam sebutan harian.  Di samping itu guru-guru pakar menyatakan pelajar Melayu tidak bersungguh-sungguh jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang bukan keturunan Melayu.

Saya amat setuju kerana pelajar Melayu tidak menganggap Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia sebagai matapelajaran. Mereka menganggap Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang mudah kerana sejak kecil lagi mereka bertutur bahasa Melayu.  Inilah yang menjadi masalah kerana kebanyakan kita tidak tahu yang mana betul dan yang mana pula yang salah.

Umpamanya, perkataan graduate dalam bahasa Inngeris telah disalahterjemahkan menjadi graduan. Ini disebut oleh menteri, timbalan menteri, tokoh akademik, pihak media dan sebagainya sehingga anak-anak kecil yang kurang asas, percaya itulah terjemahan yang betul. Perkataan siswazah yang cukup indah adalah terjemahan yang wajar, tetapi semua orang sukakan graduan. Kenapa terjadi begini?  Jawapannya mudah..iaitu sudah biasa. Apabila sudah biasa, yang salahpun jadi betul.

Bersempena sambutan Bulan Bahasa yang sedang berlangsung sekarang, tertarik juga saya mendengar kempennya di radio yang berbunyi 'Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul".  Inilah masanya untuk membetulkan yang biasa.  Seperti rancangan tv yang disebut tadi, seorang pendidik berkelulusan PhD dan mengajar Bahasa Melayu menyebut :" Ramai orang"..... yang sepatutnya disebut "Banyak orang" kerana ramai bukannya penjodoh bilangan

"Rakan sejawatan" masih disebut sebagai "rakan sejawat" dan "kedua-dua" masih tidak dapat dibezakan dengan "kedua".  Yang
peleknya, apabila berbahasa Inggeris, dapat pula dibezakan both (kedua-dua) dan second (kedua).  Kembali ke Bahasa Melayu, akan terjumpalah ayat seperti ini:

1. Rumah kedua ibubapa Sudin di Kedah
2. Rumah kedua isteri bapa Sudin di Johor.

Dalam contoh pertama ayat berkenaan menerangkan ibubapa Sudin mempunyai lebih daripada satu rumah dan rumah kedua mereka adalah di Kedah.  Sekiranya, 'kedua-dua' digunakan dalam ayat yang sama menggantikan kedua, ia bermaksud rumah ibubapa Sudin hanya satu iaitu di Kedah.

Dalam ayat 2 pula bapa Sudin mempunyai seorang isteri sahaja tetapi mempunyai dua buah rumah dan salah satu daripadanya di Johor. Bagaimanapun sekiranya 'kedua-dua' digunakan, menjadi Rumah kedua-dua isterinya.....bapanya sebenanya mempunyai dua orang isteri tetapi rumah mereka adalah di Johor.

Semoga Tan Sri Muhyiddin mendapat sokongan kali ini. Isterinya Puan Sri Norainee, juga seorang pendidik. Teruskanlah..-18/10/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 518  tetamu dalam talian