14Ogos2020

Agenda Daily

Peristiwa di Mesir menghimbau kenangan...

Catatan perjalanan negeri melalui 30 sekatan dalam perjalanan 30 kilometer tetapi. mengambil masa 150 jam oleh wartawan Agendadaily di Kaherah Mesir membuatkan saya tidak dapat lena awal Sabtu malam lalu.

Catatan Helme Hanafi itu ada ketikanya menaikkan semangat juang, ada ketikanya pula membuak-buak rasa meluat terhadap budaya demonstrasi dan ada kala juga ketikanya mengalirkan air mata.

Hanya mereka, termasuk wartawan macam saya yang pernah melalui pengalaman sedemikian akan merasakan ketiga-tiga situasi berkenaan.

Demonstrasi di Mesir oleh rakyatnya yang mahukan Presiden Hosni Mubarak berundur daripada pucuk pemerintahan turut terikut-ikut oleh pihak lain, termasuk parti dan penyokong pembangkang di negara kita.

Menteri Luar Negara, Datuk Abdullah Ahmad Badawi (kiri sekali) bersama para pegawainya mengadakan perbincangan dengan rakan-rakannya di Phonm Penh

Rakyat Mesir memberontak kerana mereka sudah bosan dengan corak pemerintahan Mubarak sejak puluhan tahun lalu, tetapi yang kita pelik, ada juga orang di Malaysia - bukan rakyat Mesir di sini yang mahu tumpang tui mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Amerika di ibukota Kuala Lumpur, Jumaat. Tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin serta rakyat negara yang lain memilih mengadakan sembahyang hajat selepas solat Jumaat memohon keselamatan warganegara Malaysia di Mesir, pihak PAS lebih gemar menganjurkan demonstrasi berkenaan.

Dalam hati saya berkata-kata sendirian...."Jutaan rakyat di Mesir memberontakpun tidak menjejaskan pendirian Mubarak... inikan pula bersorak-sorak di Kuala Lumpur!

Dah hantar memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika, nak 'goncang' keadaan pula sehingga memaksa pihak FRU meledakkan meriamnya. Nasib baik meriam air je..... Yang terkena sekadar basah.

Rasa benci terhadap demonstrasi meluap-luap kerana sejak dahulu lagi saya memang tidak setuju langsung mengenai tunjuk perasaan jarak jauh - iaitu memekik-mekik bukan pada pihak yang disasarkan. Benci itu berpunca daripada pengalaman melihat sendiri kancah peperangan yang menuju kepada kehancuran..

Demikianlah catatan Helme itu menjuraikan airmata apabila saya terkenang kembali peristiwa berada di bandar Peshawar di Pakistan.

Peshawar adalah kawasan pelarian terdekat dengan sempadan Afghanistan yang diporak-perandakan oleh Russia pada tahun 1980-an. Ditaja oleh Kedutaan Amerika Syarikat, saya bersama wartawan Ali Mamat dari Bernama dan Rehman Rashid dari New Straits Times berada selama 10 hari di bandar pelarian itu, termasuk ke Kabul, Afghanistan.

Di Peshawar, saya benar-benar melihat, menginsafi dan meratapi erti kemanusiaan. Di sana, hidup kanak-kanak iaitu sama ada yatim atau yatim piatu adakalanya lebih dahsyat daripada kehidupan binatang.

Dalam usia semuda sekitar 10 tahun, mereka terpaksa bersendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup. Makanan tidak boleh dipilih-pilih.

Bangunan moden yang tersergam indah di bandaraya Phonm Penh hanya terbina setelah negara itu terkeluar daripada kancah peperangan.


Kalau dapat belalang atau cicak, lagi baik jika mengkarung, itu sudah dikira rezki lumayan.

Jika kurang bernasib baik, mereka terpaksa menggoreng lipas atau apa sahaja yang bergerak... Dalam hidup kanak-kanak itu, tidak wujud istilah pembaziran kerana jika sedikit sama-sama mereka ratah dan kalau lebih sedikit... akan terkejutlah perut ketika itu.

Seperti yang pernah saya catatkan dalam ruangan ini empat tahun lalu, memakan sisa yang berbaki di meja makan di gerai-gerai adalah suasana biasa di Peshawar. Belumpun sempat kita bangun untuk beredar, anak-anak yang kurus kering dan kelaparan sudah berebut-rebut untuk mendapatkan apa sahaja yang boleh dimakan.

Bukan seorang dua yang berebut-rebut, tetapi puluhan. Ada ketikanya, ada yang merasa dan ada ketikanya meleleh air liur sahaja. Kanak-kanak ini akan tunggu sehingga perniagaan ditutup kerana selagi ada pelanggan, selagi itulah mereka mungkin dapat rezeki. Ada juga yang lebih bertuah iaitu yang bekerja dengan pekedai. Mereka mendapat sedikit upah, tetapi mendapat makan pada sebelah malam adalah rahmat yang amat disyukuri kerana esok belum tentu lagi apa yang akan masuk ke dalam perut mereka.

Helme dan rakan-rakan wartawan yang membuat liputan di Kaherah belum berpeluang menyaksikan penderitaan sedemikian di Mesir kerana ia belumpun terjadi. Kerana belum terjadi itulah kerajaan kita cepat-cepat menghantar pesawat MAS dan AirAsia serta Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (juga kapal TLDM) ke Negara kucar-kacir itu untuk membawa lebih daripada 11.300 orang rakyat Malaysia, khususnya pelajar keluar daripada kancah hururara tersebut.

Kerajaan mengharapkan MAS dan Air-Asia akan menjadikan pengangkutan di bawah Operasi Piramid itu sebagai penerbangan ehsan. Begitu juga diharapkan Tabung Haji turut belas ehsan menyediakan premis penginap sebagai tansit sementara di Jeddah. Jika ada kos-kos lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, para ibu bapa tidak perlu menanggungnya kerana akan dibereskan oleh kerajaan.

Bercerita mengenai Peshawar, masih terngiang-ngiang di telinga saya perihal deruman jet pejuang MIG yang terbang terlalu rendah ketika kami dalam perjalanan di padang pasir menuju ke Kabul pada tahun 1987.

Sebelum konvoi bergerak pada pagi berkenaan, petang sebelumnya dua kejadian mendebarkan saya. Pertama perihal seorang wartawan tempatan yang baru pulang dari Kabul setelah cedera di kakinya kerana terkena serpihan roket dari jet pejuang dan tatkala sampai di American Media Researh Centre di Peshawar, wartawan berkenaan terlolong-lolong kesakitan.

Saya, Ali Mamat dan Rehman Rashid saling berpandangan dan terus terbayangkan itulah di antara kemungkinan risiko yang bakal kami lalui. Benar sungguh, apabila sampai di pergunungan di sempadan Khyber Pass deruman jet-jet MIG semakin kerap. Walaupun kami lengkap bersenjata M-16 yang dibeli di lorong-lorong deretan kedai, saya pantas teringat siapalah yang bakal membantu jika ditimpa bencana kelak.

Saya terus teringat kembali satu lagi persitiwa petang sebelumnya perihal seorang lelaki yang maut ditembak oleh seseorang yang lain.

Di kawasan kejadian. ada anggota polis tempatan dan sipenembak terus ditahan. Bagaimanpun, setelah bersalam-salaman, lelaki itu dibebaskan dan beredar dari situ. Polis itu juga kemudiannya beredar menaiki sebuah motosikal. Nyawa tidak berharga dalam negara yang huru-hara.

Gara-gara merakamkan bangunan bank ini di Peshawar, saya ditahan polis kerana disyaki perancang jenayah...... Mujurlah seorang petugas pengiring menjadi penyelamat keadaan.


Yang bernilai hanyalah wang!

Apabila Helme menulis mengenai 30 sekatan jalanraya oleh pihak berkuasa dan yang tidak berkuasa.... terkenang pula perihal di Kemboja. Juga pada tahun 1987. Saya ke sana bersama Menteri Luar, Datuk Abdullah Ahmad Badawi menaiki pesawat sewa khas. Penerbangan itu sendiri sudah menjadi sejarah kerana saya dan Puan (kini Datuk) Nuraina Samad terlewat 10 minit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Subang. Oleh kerana pesawat adalah penerbangan khas, kelewatan kami ditunggu juga. Saya lewat kerana tayar kereta pecah pada awal pagi buta. Nuraina pula tak tahulah apa halnya, tetapi kami kami sama-sama menaiki tangga pesawat.

Di pintu tangga Pak Lah dengan bercekak pinggang berseloroh,"... wah hari ni hangpa lebih besaq daripada menteri ha... menteri pula kena tunggu hangpa." Saya hulur tangan memohon maaf , begitu juga dengan Nuraina dengan alasan masing-masing.

Di Kemboja, khususnya Pnomh Penh melihat kanak-kanak berkeliaran mencari makanan adalah perkara biasa. Malah apabila berkunjung kali terakhir pada tahun 2004, budaya meminta sedekah, mencari makanan di tong sampah dan mengutip apa sahaja yang boleh dimakan adalah lumrah.

Yang lelaki dewasa, banyak sekali yang menggunakan kaki palsu atau berkerusi roda sahaja. Yang kudung sebelah tanganpun biasa juga.

Yang kudung tangan dan kontot kakipun ada juga.

Oleh kerana konflik empat puak di negara yang dipenuhi kancah perperangan itu, Kemboja menjadi sangat mundur. Pertaniannya sangat terkebelakang seperti tanaman padi yang masih setahun sekali kerana tiada sistem pengairan yang moden walaupun mempunyai sungai yang besar. Berternak secara besar-besaran belum ada kerana dua sebab iaitu teknologi masih mundur dan ternakan habis kena sebat.

Konflik empat puak juga menyebabkan sesuatu simpang empat mungkin diawasi oleh empat orang anggota polis atau anggota tentera – seorang dari setiap pasukan. Mereka tersangat taksub berperang sehinggakan sebiji telur pindang (telur ayam yang sudah dimasak) dijual dengan harga kira-kira RM1.50. Telur tersangat mahal kerana mereka tidak sempat menternak ayam. Ternak di belakang rumah adalah...itupun tiga empat ekor sahaja sebab nak beri makan ayampun susah.

Mana tak susahnya, mereka berebut makanan dengan ayam dan itik. Kira siapa dahulu sahaja. Nak cari rakyat Kemboja yang gemuk amat sukar, malah apabila melihat orang lain iaitu pelancung yang berbadan besar, mereka kelihatan pelik. Demikianlah terjadi dalam siri lawatan saya bersama Belia 4B Hulu Langat dan pengerusi-pengerusi surau serta PIBG dalam Hulu Langat pada tahun 2004.

Ketika turun dari bas, sekumpulan anak muda, peniaga dan orangramai di depan hotel kami menginap terpegun dan hairan melihat kami. Kebetulan, yang mula-mula turun adalah saya - yang paling besar badan dalam bas itu, diikuti beberapa orang lagi yang sesaiz atau kurang sedikit. Mata mereka tidak lekang daripada melihat kami. Kami juga tak lekang melihat mereka kerana tertanya-tanya kenapa terjadi sedemikian.

Pemandu bas yang boleh berbahasa Inggeris menerangkan keadaan sebenar dan apabila mengetahui kehairanan mereka melihat orang gemuk, kami semua ketawa.

Namun ketawa kami tidak lama. Melihat kampung mereka seperti Kompong Chomp - hati amat terguris. Umat Islam di sana sudah lama tidak melihat al-Quran. Kali terakhir adalah 1967. Masjid dan surau dalam keadaan yang amat daif. Kedaifan dan kemiskinan membuatkan ada di kalangan mereka yang mempunyai pakaian dua persalinan sahaja.

Kerana itu jugalah, apabila rombongan Pak Lah tiba membawa naskah Al-Quran bernilai RM 1 juta sumbangan pembaca Utusan hasil usaha Rosnah Majid, mantan EXCO Kedah yang ketika itu menjadi wartawan Utusan, juraian airmata menyambut. Saudara-saudara seagama sangat berterima kasih terhadap sumbangan itu dan kemudiannya ramai pula yang mahu ke Malaysia.

Sebenarnya, orang Kemboja memang ramai di negara kita sejak 30 tahun lalu. Mereka berniaga pakaian. Ada juga yang berniaga makanan selain daripada bekerja lain. Namun kehadiran mereka tidak signifikan.

Mungkin tidaklah seramai pendatang dari Indonesia atau Bangladesh,

tetapi mereka tidak pula banyak mencatat sejarah sebagai penjenayah atau menimbulkan banyak masalah.-

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 499  tetamu dalam talian