26Februari2021

Agenda Daily

Perihal pisang sedekah dan anak yatim.....

ikon-bad-200-latestWADTK - pelbagai kisah telah dicatatkan dalam ruangan ini semenjak awal tahun 2007 lagi. Ruangan ini wujud hasil daripada cadangan Ketua Pengarang Agendadaily, saudara Rosli Ismail. Rosli yang datang ke rumah kerana menziarahi saya yang ketika itu baharu sahaja keluar dari wad Hospital Serdang menyarankan agar saya jangan duduk diam sahaja. "Lagi hang duduk, lagi hang sakit.... lama-lama otak hangpun sakit," ujarnya. Walaupun beliau berkata secara seloroh, akhirnya saya berfikir panjang dan bersetuju bersama-samanya berjuang dalam Agendadaily. Ketika itu, saya masih boleh berjalan, maka sempatlah melaksanakan beberapa assigment dan menghadiri beberapa majlis.

Bagaimanapun, tahun lalu, saya dimasukkan ke hospital sekali lagi. Kali ini lebih lama dan dua kali digegaskan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Setelah terlantar lebih dua bulan di Hospital Serdang dan disambung selama tiga bulan lagi di rumah, akhirnya saya tidak boleh berjalan sesempurna dahulu lagi. Sokongan tongkat, walking frame dan kerusi roda amat diperlukan.

Kerana hal-hal sedemikianlah kadang-kadang ruangan WADTK tenggelam dan ada kalanya pula timbul.

WADTK bermaksud Wartawan, Ahli Dewan dan Tak Ketahuan. Wartawan - saya ada pengalaman lebih daripada 11 tahun bersama-sama Kumpulan Utusan Melayu. Sebelumnya menjadi wartawan dengan akhbar bulanan Senada, lidah rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia selama 15 bulan. Kini masih bergelar wartawan (tua,,?) bersama Agendadaily. Sebagai Ahli Dewan, saya berpeluang bergelar Ahli Parlimen Hulu Langat selama dua penggal ataupun sembilan tahun. Tak Ketahuan..... semenjak tidak berjawatan... memang dah tak ketahuan, Sampai bila? .... mungkin sampai pindah ke Batu Dua.

Pengalaman sebagai wartawan, ahli dewan dan kemudiannya 'tak ketahuan' menjadi pengisi ruangan ini, tetapi seingat saya, kebanyakan catatan adalah berkaitan dunia kewartawanan dan ahli dewan. Tidak banyak yang menyentuh hal-hal semasa setelah bergelar 'tak ketahuan'.

Walaupun menggelarkan diri sebagai 'tak ketahuan', sebenarnya saya masih tahu apa yang berlaku di sekeliling. Cuma, tidak banyak yang menarik perhatian diri untuk dikongsi bersama pembaca. Bagaimanapun, peristiwa sebelum solat Jumaat lalu, menggerakkan hati saya untuk menulis sesuatu.

Sejak bergelar OKU, saya sering berjemaah Jumaat di sebuah surau yang diberi kebenaran mengerjakan solat Jumaat. Bukan ada yang istimewa sangat mengenai tempat solat itu - cuma saya tertarik, sejak dahulu lagi disediakan kerusi khas untuk orang seperti saya. Adalah dua tiga orang OKU pengunjung tetap ke situ. Surau terletak di tepi jalan dan tempat wuduk sangat hampir dengan tempat solat - amat memudahkan. Walaupun surau ini dikuasai parti pemerintah di Selangor dan khutbahnya sering menyerang tindakan dan keputusan kerajaan pusat, saya tetap ke sana. Khatib juga sering memberi pandangan menyebelahi parti PAS dan tindak tanduk Anwar Ibrahim, tetapi saya tetap ke sana kerana pergi ke masjid mana sekalipun di Selangor ini, sikit lebih kurang sahaja keadaannya.

Sedekah pisang dan solat Jumaat tidak dapat dipisahkan. Sejak berjinak-jinak solat Jumaat di Masjid Negara pada tahun 1971, saya dapati. amalan bersedah pisang adalah budaya yang lazim. Kini, di tempat saya, bukan sahaja pisang yang disedekahkan tetapi sebulan sekali ada yang membawa puluhan bungkus nasi minyak atau nasi beryani.

Bayangakan nasi beryani percuma....hmmm,,,enaknya, selepas makan beryani, boleh cuci mulut dengan pisang berangan atau pisang montel pula.

Walaupun air tidak disediakan, para jemaah boleh membeli di gerai betul-betul di sebelah pintu masuk utama.

Yang mendapat rezeki melimpah-limpah berniaga bersempena solat Jumaat pun bukan main hebat lagi, seperti mana yang dilaporkan khas oleh sebuah stesen tv baru-baru ini.

Sebelum khatib naik ke mimbar membaca khutbah, bilal akan mengingatkan para jemaah agar mendengar khutbah dan jangan bercakap-cakap. Dipesankan saban minggu bahawa bercakap walaupun dengan perkataan 'diam' untuk menyuruh jemaah lain berhenti bercakap, pesanan itu jarang diikuti. Macam mana hendak diam jika khatib berkhutbah, kita masih berjual beli. Masih membeli dan menghirup cendol sambil makan rojak?

Ada juga yang masih berebut-rebut mendapatkan pisang rastali atau pisang berangan. Ada juga yang sedang menunggu giliran mendapatkan buah betik dan nanas. Tidak ketinggalan juga yang masih tawar-menawar atau sedang membayar harga kopiah atau sejadah. Ringkasnya, tatkala khatib berkhutbah, masih ramai yang bercakap-cakap dan mengunyah-ngunyah.

Itu baru kisah yang bercakap-cakap ketika makan dan membeli-belah. Bagaimana pula halnya yang saja-saja sembang ketika khatib berkhutbah. Di tempat saya tu umpamanya, ada tiga sahabat yang pasti datang ketika khutbah dibaca. Sambil menuju ke tempat wuduk mereka bersembang, Kalau ada pisang sedekah, mereka 'pekene' dahulu. Selepas berwuduk mereka duduk sebaris dan bersembang lagi. Walaupun ramai yang menoleh ke arah mereka, masing-masing 'make don't know ' sahaja. Bukan minggu ini sahaja tetapi sejak ternampak, begitulah sifat mereka.

Di kerusi yang disediakan, ada dua orang kanak-kanak. Mereka kelihatan 'stand-by' sahaja untuk terkam pisang yang disedekahkan dalam kotak besar. Sebiji demi sebiji mereka habiskan sehinggalah tiba-tiba salah seorang daripada mereka mengambil sesisir sambil ketawa memberitahu itu adalah bekalan untuk dibawa pulang. Khatib terus berkhutbah, tiga sahabat tadi dan beberapa kumpulan lain masih bercakap-cakap. Yang makan pisang masih meneruskan kegiatan. Begitu juga yang sedang menyuap nasi dan menogak air sirap. Tiba=tiba kanak-kanak itu bangun dan mengambil sesisir lagi. Adil betul kanak-kanak itu. "Nah ni untuk kau,'' katanya kepada rakannya.

Kenangan saya melayang teringatkan kisah seorang sahabat yang sama-sama bertugas di Utusan dahulu. Kawan itu membeli pisang di gerai sebelum masuk ke masjid. Beliau meninggalkan pisang yang dibungkus di suatu sudut ketika hendak mengambil wuduk. Selepas berwuduk, hanya bungkusan dan sisir pisang yang tinggal. Buahnya dah ghaib.

"Aku niat sedekahlah,'' kata kawan itu.

Yang membaca dan menghantar SMSpun ada juga. Begitu juga yang menjawab panggilan telefon bimbit.

Khatib sedang membicarakan perihal kejadian tanah runtuh di Hulu Langat pada bulan lalu. Kata khatib, peristiwa itu telah merungkai pelbagai perkara, antaranya adalah perihal bukan semua anak yang terkorban di rumah kebajikan itu adalah anak yatim. Mereka ke sana kerana ibu bapa berpisah dan kerana desakan lain. Menurut khatib, yang berpandukan laporan akhbar, ada ibu bapa yang tidak pernah menemui atau melawat anak masing-masing untuk sekian lama.

Namun, kata khatib, apabila sumbangan dihulur, orang tua mangsa sedap sahaja menerimanya tanpa segan silu. Kata khatib, eloklah sumbangan itu dikembalikan kepada rumah kebajikan berkenaan yang selama ini telah menjaga kebajikan anak-anak mereka, Untuk rekod, kerajaan pusat memberi sumbangan RM10,000 kepada waris setiap mangsa. Sumbangan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Al-fatihah untuk mereka yang mendahului kita.

Khatib berkhutbah lagi menyatakan rasa amat kesalnya kerana ada pengusaha rumah kebajikan atau rumah anak yatim yang memperguna atau eksploitasi anak-anak yatim. Menurut khatib, pengusaha berkenaan akan mencari anak-anak yatim dari seluruh negara untuk ditempatkan di rumah kebajikan berkenaan. Di sana, anak-anak ini, katanya diberikan kursus khas untuk berdikari atau menjadi usahawan muda.

Anak-anak ini diajar menjual CD mengandungi ceramah agama, nasyid dan seumpamanya untuk meraih simpati para pembeli. Begitu juga dengan penjualan buku-buku agama, katanya. Walaupun sedang mendengar khutbah, kenangan saya melayang ke beberapa buah stesen minyak yang terdapat anak-anak sedemikian. Ada juga yang menjual minyak wangi, minyak angin dan bam di samping pelbagai macam yang lain,

Terbayang juga wajah-wajah 'uztadz' yang menghantar mereka ke stesen berkenaan. Ada yang menaiki pacuan empat roda, kereta mewah berjenama terkemuka di samping pakaian yang tidak menggambarkan mereka itu 'uztadz'. Kanak-kanak berkenaan akan berjemur di situ sehingga lewat petang atau awal malam. Makan dan minum mereka entah macam mana. Mereka pasti tidak akan menggunakan wang hasil jualan!

Minyak wangi, bam dan CD yang dijual, bukan selalunya murah. Ada bam yang dijual RM10 atau RM15 sedangkan biasanya kita membeli dengan harga RM3 sahaja, tetapi kerana simpati dan atas nama anak-anak yatim, kita hulurkan juga sedekah.

Mengenang kembali peristiwa tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Rumah Kebajikan Al-Taqwa di Hulu Langat, menyebabkan air mata berjuraian. Pertamanya, kerana Hulu Langat adalah tempat saya pernah berkhidmat dan tempat kejadian, Sungai Semungkis bukanlah asing bagi saya. Keduanya walaupun masih bersama-sama Jabatan Pertahanan Awam Hulu Langat yang sering memberi bantuan kecemasan, sejak menjadi OKU saya tidak dapat menghulur tangan. Bagaimanapun saya masih berhubung melalui telefon dengan anggota-anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Dan, yang ketiga dan paling menyayat perasaan dan memilu hati, saya dan isteri sebenarnya mempunyai dan membesarkan dua orang cucu yang bergelar anak yatim....5/6/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 317  tetamu dalam talian