25Mei2020

Agenda Daily

Orang beli seluar sebelum hariraya... saya tempah selepas itu

ikon-bad-200-latest Sudah lima kali Ramadhan saya menulis mengenai kenangan-kenangan lama sebagai wartawan, ahli dewan dan kini menghabiskan sisa-sisa hidup sebagai warga yang berstatus tidak ketahuan. Ini bermakna sudah banyak pengalaman sepanjang bulan puasa yang dikongsi bersama dengan pembaca.

Saya telah tulis perihal makan nasi bungkus di Utusan Melayu. Dicatatkan juga kakitangan bukan Melayu yang 'ikut berpuasa' kerana kantin serta gerai-gerai sekitar pejabat ditutup. Telah dipaparkan juga pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan iaitu membeli mi goreng daripada penjual cina ketika sangkut dalam kesesakan lalulintas kerana banjir.

Perihal menemuramah anak-anak yatim menyambut Ramadhan dan Idulfitripun sudah disiarkan oleh Agendadaily. Minggu lepas tulis fasal makan. Kali ini nak cerita mengenai makan juga yang menyebabkan ukuran lilit pinggang meningkat lebih 10 inci dalam tempuh sembilan tahun menjadi Ahli Parlimen. Secara puratanya naik seinci setiap kali berada dalam bulan Ramadhan.

Saya terlintas untuk menulis mengenai perkara ini selepas membaca titah Raja Muda Perlis jangan menganggap Ramadhan bulan untuk berdiet seperti yang dilaporkan oleh pihak media, Selasa.

Sebagai seorang yang merasai sendiri kesan bulan puasa bukanlah untuk merampingkan pinggang, titah ucapan baginda pada suatu majlis itu sangat bernas. Titah baginda, jangan hentikan kegiatan fizikal harian, jangan mengambil makan yang banyak ketika bersahur atau ketika berbuka puasa.

Hari ini, ketika bersahur pada kira-kira 5.00 pagi bersama isteri dan anak, saya mengambil tomyam mihun. Tak tahulah nak kata berselera atau tidak, habis semangkuk besar, selamba je! Semalam berbukapun habis sepinggan besarpun selambe juga.

Begitulah yang saya lalui setiap tahun dalam bulan Ramadhan, kecuali tahun lalu. Tahun lalu saya berada di Hospital Serdang tatkala umat Islam menyambut Ramadhan. Saya masih terlantar di hospital ketika itu dan seharipun tidak dapat menunaikan ibadat puasa.

Ha...tahun ini kenalah bayar. Itu sebabnya orang lain puasa sunat Rejab, saya berpuasa qada' wajib
Seperti yang pernah dinyatakan, saya hanya berbuka puasa pada hari pertama dan terakhir di rumah. Yang lain-lain pastinya di surau atau masjid di kawasan Hulu Langat dan diselang-seli dengan jemputan pihak istana dan juga para pemimpin negara dan negeri.

Kalau sekadar hadir untuk berbuka tak apalah juga. Masalahnya ialah, selepas berbuka dan solat magrib, makan nasi yang lauknya dah tentu bermacam-macam. Apabila masuk waktu Isyak, solat berjemaah diikuti dengan berjemaah sunat tarawikh pula. Kadang-kadang saya buat juga 20 rakaat, tetapi selalunya tekan brek pada rakaat ke lapan dan terus berhenti.
 
Jemaah lain sambung lagi 12 rakaat tetapi kami yang ambil 'short service' cari tiang atau dinding untuk bersandar. Kadang-kadang tu, terlalu selesa bersandar terus terlelap. Apabila selesai 20 rakaat tarawikh, saya akan sambung kembali berjemaah witir pula. Selepas mengaminkan doa panjang yang dibaca oleh imam, jemaah bersalam-salaman.

Sebagai ahli parlimen, kedatangan saya (saya percaya ahli parlimen lainpun begitu juga) membawa erti yang besar kepada ahli-ahli qariah. Namun, sudah menjadi kebiasaan saya tidak membuat perancangan awal atau tidak memaklumkan kepada jemaah masjid akan kehadiran untuk berjemaah tarawikh. Saya hanya buat persiapan untuk majlis berbuka puasa yang selalunya dijadikan juga sebagai 'acara turun padang' untuk berjumpa penduduk-penduduk kampung. Untuk bersembahyang tarawikh, saya akan 'redah' mana-mana masjid atau surau yang sempat sahaja.

Meredah tanpa makluman awal ada sebab-sebab tertentu. Kadangkala sempat berpindah ke masjid berdekatan dan kadangkala 'tersekat' pula di masjid berbuka tadi kerana memenuhi hajat jemaah dan kadangkala ada sesuatu majlis berkenaan. Kadang-kadang, ada juga sebab-sebab lain seperti sakit perut dan masalah memerut.

Apabila YB selesai berjemaah tarawikh, imam dan ahli jawatankuasa pasti mempelawa ke majlis moreh pula. Macam-macam yang mereka hidangkan. Bolehkah kalau tolak pelawaan mereka...? Orang lain mungkin boleh, tetapi sebagai YB, terpaksalah pekena lagi. Kalau tak makan bimbang dikatakan tidak sudi pula. Namun, sebab sebenarnya ialah memang berselera sahaja untuk makan.

Semasa makan nasi selepas maghrib menjelang Isyak, waktunya agak singkat dan tak boleh tekan banyak sangat sebab nak selesaikan lapan rakaatpun tak larat nanti. Selepas tarawikh dan witir, ada banyak masa untuk isi perut. Al-maklumlah, ada bubur kacang, ada kuih-muih dan buah-buahan. Kalau musim durian, ada pulut dan lempuk durian pula. Baham-baham sehinggakan ikatan kain sarung boleh longgar.

Di masjid-masjid tertentu, ada menu yang lebih hangat lagi seperti sup tulang atau sup ekor dimakan dengan roti. Bolehkah ditolak..? Boleh, tapi tolak ke dalam perut..!

Paling awal, sampai ke rumah kira-kira 12.00 malam. Sampai di rumah...isteri pula bertanya nak makan atau tidak. Siisteri ni pula kadangkala tak makan nasi lagi kerana mahu makan bersama suaminya. Beliau sekadar lapik perut ketika berbuka dengan memakan kuih atau mi goreng atau bubur lambok. Hati isteri mesti mahu jaga... apa lagi... makan lagilah jawabnya. Begitu begini pukul 1.00 pagi baharulah selesai.

Pukul 4.45 pagi dah kena bangun lagi kerana hendak bersahur. Bukan nak makan sangat sebab perut dah kenyang. Namun kena bangun juga kerana nak temankan anak-anak pula bersahur. Dahlah berbuka tanpa kehadiran abah, sahur kenalah bersama. Alang-alang bangun dan temankan anak-anak, akhirnya melayang juga sepinggan makanan ke dalam perut.. Ehmm.. makan lagi. Begitulah rutin makan saya setiap tahun selama dua penggal bergelar YB, Waktu siang tidak ada banyak kegiatan.

Pada sebelah pagi, selalunya buat 'over time' tidur kerana pergi pejabatpun tidak ada rakyat yang datang. Namun, jadual-jadual mesyuarat, khususnya di peringkat daerah dan negeri berjalan macam biasa.

Rutin makan yang berulang-ulang kali, apatah lagi pada waktu malam itu, membuatkan saya menghadapi masalah selepas menyambut hari raya Idulfitri. Malah, pada 1 Syawal lagipun masalah dah timbul iaitu baju Melayu sepersalinan yang baharu ditempah tiba-tiba menjadi sendat. Takkan baju mengecil - dah tentulah badan yang membesar.

Orang lain tempah baju dan seluar baharu sebelum Idulftri, tetapi hampir setiap kali selepas Idulfitri, saya akan menempah seluar baharu kerana yang lama dah ketat. Tukang jahit pun dah maklum mengenai perkara ini sehingga pernah dia berkata;" "YB.. itu seluar lama boleh repair lah..saya boleh buka itu jahit, kasi besar sikit dua inci bolehlah." OKlah, boleh repair tetapi takkan tahun depan boleh repair lagi...

Akhirnya, dua tahun sekali terpaksa tempah yang baharu juga. Nasib baik untuk baju, walaupun bersaiz besar, mudah didapati di Reject Shop.

Kini, selepas berehat di hospital tahun lalu, diikuti dengan tersadai kira-kira sembilan bulan lagi di rumah, saya tak perlu tempah seluar lagi. Akibat sakit yang teruk, termasuk tersadai di ICU selama lima hari, pada keseluruhannya berat badan telah berkurangan sebanyak 24 kilogram. Doktor pakar pengurusan berat badan di Hospital Serdang pernah berkata, dua tahun lamanya dia menguruskan berat badan saya, baharu menurun tiga kilogram sahaja. "Duduk wad...sekarang dah turun 24 kilogram,'' ujarnya.

Kini saya boleh sarung kemeja-T dan seluar lama yang tersimpan dalam almari. Inilah nikmat yang Allah berikan, hilang 24 kilogram tetapi dapat gunakan pakaian lama.

Cuma diri sendiri yang ketakutan sekarang. Takut tak dapat kawal selera. Nak makan sahaja, tetapi saya dah janji pada doktor yang mengawasi saya untuk terus turunkan sekitar dua kilogram sebulan. Itu janji saya.

Sekarang dah tak ada pengundi untuk dijaga hati mereka. Isteripun tahu..kalau saya makan sehari sekalipun dia tak kisah. Anak-anak dah besar panjang. Jika boleh, saya tak mahu lagi berehat di hospital..! Itu janji saya pada ahli terapi yang berusaha kuat memulihkan keyakinan dan kekuatan saya.-3/8/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 289  tetamu dalam talian