30Mei2020

Agenda Daily

'Open house' untuk siapa...?

ikon-bad-200-latestBARU: Rabu depan hari terakhir bulan Syawal.  Ini bererti berakhirlah sambutan hariraya idulfitri mengikut kelaziman. Benarkah syawal berakhir selepas 30 hari kita merayakannya?  Inilah persoalan yang menjadi bahan ketawa umum dan bahan ceramah para uztadz di forum-forum tertentu termasuk di radio dan tv.

Tanggal 1 Oktober, masih ada pihak yang mengadakan majlis rumah terbuka atau 'open house'.  "Betul ke," begitu saya berkata dengan agak terkejut apabila diberitahu oleh seorang rakan karib mengenai ada pihak yang akan mengadakan majlis rumah terbuka pada Sabtu ini, 3 hari terlajak dari bulan Syawal.

Lebih memeranjatkan ialah majlis yang diadakan di ruang terbuka yang amat besar itu adalah anjuran agensi kerajaan negeri. Tak menjadi masalah siapa dan di manapun majlis hendak diadakan.  Cuma saya tertarik untuk mengetahui adakah perlu sangat mengadakan rumah terbuka bersempena hariraya sehinggakan terlajak di luar syawal?

Namapun rumah terbuka, tetapi diadakan pula di luar rumah. Jadi sebenarnya rumah tidak terbuka, yang terbuka hanyalah ruang.

Dua persoalan nak ditimbulkan mengenai majlis rumah terbuka. Pertama ialah mestikah ia diadakan dan kedua, siapa sewajarnya mengadakan majlis tersebut.

Mengikut konsep Islam, idulfitri wajar dimeriahkan dengan acara kunjung mengunjungi.  Dalam masa yang sama, mengambil kesempatan memohon kemaafan, walaupun memohon maaf itu sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Tidaklah pula diketahui bila bermulanya majlis-majlis rumah terbuka di negara ini dan kurang pasti juga perayaan apakah yang memulakannya.Yang pasti, semua perayaan di negara ini disambut dengan rumah-rumah terbuka.

Siapakah yang mengadakannya? Lazimnya diadakan oleh pembesar-pembesar negara dan negeri. Malah, istana juga dibuka untuk rakyat jelata menghadiri majlis dan bersua muka dengan Yang diPertuan Agong atau sultan dan raja di negeri-negeri.  Perdana Menteri dan timbalan serta para menteri dan timbalan menteri yang lain juga menganjurkannya.


Begitu juga dengan parti-parti politik dan persatuan-persatuan tertentu yang berebut-rebut mencari tarikh untuk mengadakan rumah terbuka.

Tujuannya ialah untuk memberi kesempatan berhariraya bersama-sama kerana sebagai organisasi besar dan individu yang mempunyai masa yang sangat terhad, adalah mustahil untuk mengunjungi rumah mereka saban hari.

Nak jumpa Perdana Menteri di pejabatpun susah, inikan pula nak berkunjung ke rumahnya berhariraya... Sebenarnya, orang kenamaan ada ketikanya berada beberapa hari sahaja di rumah dan selebihnya berada di luar kerana menjalankan tugas.

Begitu jugalah halnya dengan para wakil rakyat, apatah lagi yang tidak tinggal di kawasan masing-masing, sebaliknya berada di Kuala Lumpur. Mereka terpaksa meluangkan masa dan perbelanjaan yang besar untuk menganjurkan rumah terbuka bagi membolehkan orangramai mengunjungi mereka pada tarikh yang telah ditetapkan.

Dahulu, sayapun ada anjurkan majlis yang sama. Sekarang rumah saya terbuka sepanjang masa. Bukan bulan syawalpun boleh dikunjungi.

Molekkah semua orang mengadakan majlis rumah terbuka?  Banyak uztadz telah memperkatakannya saban tahun. Pada dasarnya, kata mereka, nak buat-buatlah, asalkan jangan melanggar kelaziman dan hukum-hakam.Namun, kata mereka, amalan yang dianjurkan oleh Islam ialah kunjung berkunjung dan tidak pula ditetapkan masanya.

Persoalannya, apabila kita telah mengadakan majlis  rumah terbuka, ada saudara atau rakan yang terasa segan nak berkunjung walaupun mereka tidak hadir ke rumah terbuka. Tanggapan mereka, kalau rumah terbuka sudah berlalu, maka yang tinggal adalah rumah tertutup.

Kecenderungan ini pasti akan membawa kepada matinya budaya kunjung-mengunjungi yang menjadi tradisi sejak sekian lama itu.Pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, budaya berkunjung dari rumah ke rumah amat galak. 

Sebaik selesai berjemaah di masjid, para jemaah berkunjungan dari rumah ke rumah bermula di rumah imam atau nazir masjid mengikut jarak kediaman masing-masing.  Jika jemaahnya ramai, dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Itu dahulu, zaman tv bergambar hitam-putih, tetapi sejak gambar berwarna, budaya itu telah hilang. Berkunjung atau manisnya disebut takbir hariraya dari rumah ke rumah dilakukan pada malam sebelum hariraya. Tatkala persiapan galak dilakukan, ketika itulah rombongan takbir berkunjung.

Oleh kerana banyak rumah yang hendak dikunjungi sebelum jam 12.00 malam, maka takbir dan doa selamat diadakan secara ringkas sahaja.Walaupun tuan rumah menyediakan pelbagai juadah untuk dimakan, adakalanya yang hadir sekadar meneguk air sahaja atau mencubit sedikitkuih atau apa juga juadah yang dihidangkan. Ringkasnya tak berbaloi membuat persiapan.

Kenapa tak berkunjung pada hariraya...sama ada hari pertama, kedua atau ketiga? Jawapannya ada pada TV1, TV2 dan TV3. Astro, TV 7,8,9 pun ada jawapannya.  Rancangan-rancangan mereka amat menarik. Dari petang hingga ke petang. Dari pagi hingga ke pagi. Hariraya disambut dengan pelbagai jenis hiburan.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat kecewa kerana Ops Sikap yang diadakan kali ini membuktikan jumlah kemalangan dan maut telah meningkat. Mungkinkah salah satu daripada sebabnya adalah kerana mahu mengejar program menarik ataupun terlalu mengantuk kerana banyaksangat menonton?

Walau apapun, ada beberapa hari lagi sebelum berakhirnya syawal.Maksudnya masih ada majlis rumah terbuka.. eloklah tu...dompetpun dah lama terbuka. Kuih-kuih yang adapun perlu dihabiskan. Maka teruslahberhariraya..termasuklah yang terlajak tu!-23/9/2011


 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 404  tetamu dalam talian