26Februari2021

Agenda Daily

” No brother… no.. no you cannot… you cannot .”...

Yang berkacamata hitam tu ialah Chief, bukannya Pak Arab jual tarbus.... di kanan pula Ridhwan Syam. Kami ronda-ronda mencari barangan kulit di Casablanca.  

Catatan terakhir saya dalam ruangan ini terpapar agak lama…. Itupun kerana gara-gara makan juga. Kata doktor saya telah tersalah makan menyebabkan saya ‘tergolek’ selama beberapa hari.

 

Akhirnya saya menemui seorang doktor pakar di sebuah hospital kerajaan. Rumusan yang diberikan oleh doktor berkenaan bukanlah tersalah makan, tetapi tersalah langkah. Pening juga dibuatnya, seorang kata tersalah makan dan seorang lagi kata tersalah langkah.

Selepas soal siasat yang dijalankan oleh doktor pakar berkenaan, saya akur dan setuju dengan pandangannya iaitu saya telah tersalah langkah. Rumusannya agak mudah iaitu terlalu banyak makan durian, tempoyak, lempok dan pelbagai buah-buahan yang lain.

“Nak makan durian boleh, tiga ulas sahaja, bukannya tiga biji. Rambutanpun macam tu… tiga atau lima biji, bukannya tiga kilogram,’’ demikian doktor memberi ingatan. Saya hanya senyum kerana rasanya belum pernah saya makan durian tiga ulas. Kalaupun tidak tiga biji, tiga pangsa dah tentu selesai.

Menyambung catatan terdahulu, saya terkenang peristiwa makan tengahari di Casablanca dalam salah satu lawatan kerja ke luar negara kira-kira 11 tahun lalu. Ketika itu saya bersama beberapa ahli parlimen dan rakan wartawan menyertai rombongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz ke Libya.

Setelah bermalam lima hari di Libya, kami akhirnya pulang tanpa berpeluang menemui pemimpinnya Muammar Ghadafi. Dalam perjalanan pulang, kami singgah bermalam di Casablanca.

Selama lima hari di Libya, kami tidak mendapat makanan seperti yang biasa kita makan di Malaysia. Di sana, mereka tidak makan nasi, sebaliknya macam orang Arab lain, mereka makan roti. Jika adapun nasi, ia adalah sejenis pulut yang ditanak seperti nasi. Lauk pauknya dah tentulah daging kambing dan seiras dan sejenis dengannya.

Kami sampai di Casablanca pada waktu pagi dan selepas ‘check-in’ di hotel, kami ronda-ronda sebagai pelancong. Pada waktu tengahari, Datuk Nazri atau lebih mesra dengan panggilan “chief” bertanya sama ada kami mahu terus makan nasi pulut atau roti arab sahaja.

Sayalah orang pertama mencadangkan agar kami mencari nasi. Turut dalam rombongan itu ialah sahabat karib saya bernama Ridhwan Syam, seorang pengusaha kafeteria yang saya kenali sejak 30 tahun lalu. Kami berdua ditugaskan oleh Chief untuk mencari kedai yang menjual nasi.

Ronda punya ronda, kami terjumpa sebuah restoran di belakang hotel penginapan kami. Dah jumpa, kami lapor pada Chief dan beliau serta rakan-rakan lain setuju. Kamipun berduyun-duyun ke restoran berkenaan dan apabila sampai, kami memesan makanan.

Kami minta nasi putih, ikan goreng, ayam panggang sejenis gulai yang kamipun tak tahu kerana hanya berdasarkan nama pada menu beserta dengan air buah-buahan. Setelah menunggu 45 minit dan air dipesan untuk kali kedua, makanan belum juga tiba. Perut lapar hatipun mulai panas.

Tiba-tiba lalu tiga orang wanita di tepi kami sambil melemparkan senyuman bagaikan tersipu-sipu. Sejuk sedikit hati yang panas... “Jangan-jangan dia orang ni tukang masak untuk kita,” kata Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman, ahli parlimen Sg. Benut, salah seorang anggota delegasi.

Kami hanya tersenyum dan meneruskan sembang-sembang kosong sambil merangka kegiataan selepas makan tengahari tersebut. Lama juga menanti tetapi makanan belum tiba juga. Sudah lebih daripada 75 minit menunggu, tetapi kami cuba memujuk diri agar terus bersabar kerana itu mungkin budaya Pak Arab.

Chief yang dari awal lagi menyejukkan badan dan anginnya dengan memakan buah zaitun pun sudah semacam punya kembung. Ridhwan cuba membawa beberapa lawak sehinggalah tiga orang wanita tadi lalu di sebelah kami sambil sekali lagi melemparkan senyuman.

“La…. Tukang masak dah balik, makanan kita tak sampai juga,’’ Datuk Hamid pula merungut. Belumpun sempat kami memanggil pelayan, hidangan kami sampai. Masih berasap…. tentu sedap apatah lagi perut dah lapar.

Ikan yang kami pesan, udang yang dimasakkan… tak apalah, udang lagi sedap… Tanpa melengah masa, kami mula mengayuh. “Eh Bad….you habiskan nasi ni,’’ kata Chief dengan senyum yang cukup lebar.

Salah satu sessi makan di Libya. Di kiri sekali, mantan Ahli Parlimen Sg. Benut, Abdul Hamid Abdul Rahman.

Rupa-rupany nasi bukan sahaja lembik, tetapi mentah…patutlah Chief patah selera dan beliau terus order roti Arab kerana gulai yang kami pesan tadi rupa-rupanya kuah dal yang macam dal roti canai di Malaysia.

Mentahpun mentahlah… lapar punya fasal, kayuh juga dan apabila dah selesai saya bertanya kepada pelayan siapa yang masak kerana semuanya ‘enak-enak’ belaka.

“Tadi ada tiga orang perempuan yang datang… lalu di sebelah sini. Ha. Merekalah pakar masakan kami khas untuk orang dari Asia Tenggara,’’ kata lelaki itu. Kami hanya saling pandang memandang dan tersenyum simpul. Yang lebih lebar senyumnya ialah Datuk Hamid.

Dengan pengalaman makan tengahari berkenaan, pada sebelah malamnya kami memutuskan untuk makan di hotel sahaja. Selepas waktu maghrib, seperti dijanjikan kami sudah berkumpul di lobi hotel. Chief paling bergaya dengan segala pakaian yang baru dibeli pada waktu siang tadi. Gaya Chief tentulah gaya simple iaitu berkemeja-T dengan seluar jeans, bertongkat dan memakai topi selain beg kulit yang disandang.

Bab makan, memang saya dan Ridhwan yang dahulu. Malam itu kami makan cara buffet. Ada nasi… wah syok, laukpun bermacam-macam. Lepas ikan, kami ambil sayur, ulam, ayam dan segala yng kami teringin. Maklumlah macam-macam yang ada.

Tatkala kami sedang menyenduk daging, seorang pelayan berlari ke arah kami sambil berkata: ” No brother… no.. no you cannot… you cannot .”

Kami sangat hairan dengan larangan lelaki itu. Dia kelihatan beria-ia benar melarang kami lalu saya bertanya kenapa.

“ Haram..haram.. you cannot eat. Pork haram ,” katanya. Kami bertambah hairan kerana hotel di Negara Islam masih menghidangkan daging babi. Terencat kami nak makan malam itu.Kami letakkan pinggan di satu sudut dan ambil makan lain iaitu sayur-sayuran dan ikan sahaja.Daging ayampun tak ambil, takut tak sembelih.

Kata Ridhwan, kami terkena lagi…. Maka Chief terus makan buah zaitun serta roti Arabnya dan kami terpaksa makan sayur sahaja. Makan sayur mana boleh kenyang. Sampai di bilik hotel, kami makan jajan yang dibeli oleh Ridhwan.

Esoknya, kami berada di Tunisia. Tak banyak kerenah mengenai makan di situ. Cuma pengalaman yang tidak lupa ialah perihal terdengar suara Sharifah Aini ketika kami berehat di lobi.

“Sharifah Aini ‘ perform’ kata sini kot,’’ kata Haji (kini Datuk) Mustapha Yaakop, salah seorang lagi peserta delegasi. Sebagai peminat dan pernah berjiran dengan penyanyi itu di Bangsar 35 tahun lalu saya terus bangun dan pergi ke lounge untuk melihat benarkah penyanyi berdarah Melayu-Arab itu berada di sana.

Alangkah terkejutnya saya melihat penyanyi itu. Sah suara Sharifah Aini dan mukanya pun begitu juga, tetapi dia bukan Sharifah Aini. Dia cuma berbaju singkat dan berlengan pendek dan sangat ligat menari. Sharifah Aini tidak begitu.

Saya keluar sekejap menjemput rakan-rakan yang lain tetapi Chief kata kalau bukan Sharifah Aini, tak payahlah…..

Kami tak faham apa maksud Chief, tetapi selepas 20 minit di ruang berkenaan, secebis demi secebis gugur ke lantai…..kamipun meninggalkan lounge berkenaan dengan kegilaan Pak Arab di situ.

Patutlah seorang lelaki Arab yang kelihatan bagaikan seorang jutawan memberitahu, beliau telah mengikuti penyanyi itu dari Thailand lagi. ‘Saya suka tengok dia menyanyi dan menari,’’ kata lelaki itu.

Menurut lelaki itu, selepas mengikuti persembahan di Thailand, beliau juga berkunjung ke Manila di Filipina semata-mata ingin bersama-sama penyanyi itu.Katanya, sebelum balik ke negaranya di Arab Saudi, beliau akan terus mengikuti persembahan penyanyi tersebut.

‘Macam tupun ada kat sini,” komen Ridhwan ketika kami meniti tangga menghala ke bilik. ‘Lebih pada itupun ada agaknya,” beliau menyambung.

Malam itu, kami tidak terus tidur, sebaliknya keluar kembali bersiar-siar melihat keindahan Negara itu pada waktu malam serta pelbagai kegiatan. Yang paling menarik ialah melihat pasar lewat tengah malam seperti mana yang baru diamalkan di negara kita iaitu Up-town.

Dah 11 tahun berlalu…kini kembali sebagai wartawan, masih menunggu dan tertunggu bilakah agaknya Chief nak pelawa sekali lagi menyertai delegasinya ke luar Negara. -26/7/2008

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 371  tetamu dalam talian