07Julai2020

Agenda Daily

Meriah apabila boleh kempen….

Keputusan Jawatankuasa Pengurusan UMNO membenarkan kembali ahli-ahlinya berkempen menjelang pemilihan jawatan peringkat atasan dalam Perhimpunan Agungnya pada Disember nanti tentulah meriah.

 

Tokoh-tokoh yang bakal menawarkan diri untuk bertanding, tentu melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan dan ‘lampu hijau’ yang diberikan sekarang, akan menjadi cahaya dalam usaha mereka untuk menonjolkan diri masing-masing.

Semasa menjadi wartawan dan kemudiannya menjadi Ahli Parlimen saya pernah terlibat dengan kempen mereka yang bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi dan juga Naib Presiden parti.

Sebagai wartawan dulu saya banyak membuat liputan dan semasa jadi ahli parlimen saya ada juga tolong kawan-kawan calon yang berkempen.

Masa di Utusan dulu saya selalu buat kerja bersama Rosli Ismail, Ketua Pengarang Agendadaily. Kami sering ke hulu ke hilir bersama-sama semasa kesibukan kempen pemilihan jawatan UMNO.

Kadang-kadang ada seorang lagi sahabat iaitu Abdul Razak Ali yang turut mengekor. Kini, seperti juga dengan saya dan Rosli, Abdul Razakpun dah lama meninggalkan Utusan. Beliau berhenti dari Utusan Melayu ketika bertugas sebagai Ketua Biro di Ipoh, Perak.

Dalam bidang tugas tu kami berpeluang mendekati banyak tokoh politik. Apabila kenal dengan tokoh-tokoh politik ni , mudahlah kami hendak mendapatkan komen atau kenyataan-kenyataan menarik daripada mereka.

Seorang lagi rakan setugas Hanafiah Man pernah jadi Setiausaha Akhbar kepada Datuk Zahid Hamidi masa beliau Ketua Pemuda UMNO Malaysia dulu dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Maklum saja dah pernah jadi orang dalam tentu dia lagi ada berbakul cerita.

Semua ni memberi peluang kepada kami menyelami secara lebih dekat corak dan strategi calon-calon berkempen.Senang cakap adakalanya ‘luar dalam’ kami dapat tengok.

‘Modus operandi’ calon-calon yang mahu memperkenalkan diri ada macam-macamlah.

Yang ada jawatan tu beruntunglah. Mereka biasanya dijemput merasmikan persidangan atas jawatan sebagai Menteri dan sebagainya.

Manakala yang tak ada jawatan tak semestinya gigit jari.Selain dari inisiatif calon-calon sendiri ada saja ‘runner’ yang akan mengaturkan pertemuan dengan para perwakilan G7.

G7 ni bukanlah kumpulan tujuh negara maju tetapi tujuh orang perwakilan dari setiap satu UMNO Bahagian yang tak ada jawatan dalam bahagian.

Lain-lain seperti Ketua UMNO Bahagian,Ketua Pemuda,Wanita dan Puteri otomatik jadi perwakilan dan tak payah bertanding untuk merebut tiket jadi perwakilan masa mesyuarat UMNO Bahagian untuk pergi ke Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur nanti.

Maka calon-calon akan berjumpa dalam satu majlis – yang pastinya majlis makan-makan. Semasa makan-makan dan sembang-sembang ada yang kow team cara mereka tersendiri.

Seronok juga terkenang taktik seorang menteri yang menggunakan kaedah tambahan iaitu menghantar wakil-wakil terlebih dahulu ke bahagian-bahagian yang tertentu. Wakil-wakil ini akan mengambil gambar AJK-AJK bahagian yang dijangka akan dipilih menjadi perwakilan G7.

Gambar-gambar ini diserahkan kepada ‘bos’ yang menjadi calon supaya apabila bosnya turun ke bahagian, beliau boleh menyapa para perwakilan dengan nama seolah-olah mereka sudah bekenalan 10 tahun lamanya.

Al-maklumlah, apabila menteri boleh mengenali ahli-ahli di peringkat bahagian, siapa yang tak bangga dan seronok.Kata orang boleh cerita satu kampong.

Apapun jangan ingat semuanya beres cantik saja.Ada kalanya menteri itu tersalah hafal nama orang.

Itulah yang terjadi kepadanya ketika beliau mengunjungi bahagian UMNO Hulu Langat.

Menteri itu relaks saja menyebut nama Ketua Wanita sedangkan beliau sedang berbual dengan Ketua Penerangan Wanita Bahagian.

Dalam pertemuan makan-makan dan sembang-sembang tu biasanya semua perwakilan pulang tanpa mengetahui dengan dekat pendirian, perjuangan, dasar dan wawasan seorang calon itu.

Semasa menjadi Ahli Parlimen, baru saya sedar, ada juga yang tidak berkesempatan mengunjungi bahagian-bahagian. Maka itu, Ahli-ahli Parlimen diajak berbincang. Mereka dijadikan ‘orang tengah’ di antara calon dan perwakilan di bahagian. Ahli-ahli Parlimenlah yang menjadi perantara untuk apa-apa juga urusan.

Ada juga para perwakilan yang ‘demand’. Kata mereka, dah letih berpusing-pusing di Malaysia, mereka nak tukar angin di Medan atau lebih baik lagi Jakarta. Tak tahulah tertunai atau tidak hajat itu, tetapi menurut cerita kawan-kawan, ada juga yang sempat mengerjakan umrah menjelang berlangsungnya perhimpunan agung parti.

Ini semua kaedah lapuk. Perwakilan ini tidak semudah itu dipujuk. Calon-calon yang turun padang ke bahagian-bahagian tak boleh lagi sambil lewa sahaja. Turun padang mesti tunjuk kehebatan – apa tujuan nak duduk kerusi MT, apa matlamat perjuangan dan apa pembaharuan yang hendak dibawa.

Ini semua tak boleh disampaikan melalui sembang-sembang kosong atau sembang kedai kopi sahaja. Ahli-ahli dan perwakilan kini, khususnya selepas tsunami pilihanraya umum ke-12 pastinya mahu perubahan kaedah.

Longok kedai kopi atau coffee-house di hotel sahaja belum cukup. Mungkin sekurang-`kurangnya diadakan dialog atau soal-jawab. Para perwakilan patut diberi kesempatan mengenali setiap sudut mengenai calon-calon, mungkin termasuk hal-hal peribadi supaya dapat pula ahli-ahli mempertahankan mereka kelak.

Jika dulu-dulu hanya para perwakilan sahaja yang dipelawa berkenalan dengan calon. Kini eloklah semua orang diberi peluang agar UMNO bahagian boleh membuat keputusan dan tidak hanya menyerahkan kepada tujuh perwakilan mencorak barisan kepimpinan di peringkat atasan seperti ahli Majlis Tertinggi atau Naib Presiden.

Apabila semua calon sudah pulang, AJK bahagian bolehlah mengadakan perbincangan atau mesyuarat khas untuk memilih tokoh-tokoh yang sewajarnya. Jika ini dapat dilaksanakan, barulah perwakilan yang nak ke Perhimpunan Agung UMNO membawa suara bahagian dan bukannya suara peribadi.

Jika suara yang dibawa adalah suara peribadi, dikhuatiri perkara-perkara lain boleh terjadi seperti perrebutan menjadi perwakilan G7 menjadi amat sengit dan di situ sahaja sudah boleh berlaku ‘hulur-menghulur’. Apabila sudah menjadi ahli G7, mereka sudah boleh letak nilai masing-masing dan calon pula kena ‘hulur’.

Bermula pada musim pilihanraya lalu, sudah banyak tokoh politik termasuk dari UMNO sendiri yang mendekati internet. Mereka buka blog sendiri. Selepas pilihanraya, apabila ramai yang hilang jawatan, ada pula yang memilih untuk menjadi penulis blog – maklumlah mereka tak sesibuk mana sekarang, maka banyaklah masa untuk menulis.

Dulu-dulu, ada calon yang menerbitkan buku mengenai diri sendiri. Sekarang, sorrylah, kalau buat juga buku, gerenti orang tak baca, sebab semua orang nak baca yang ada di Internet sahaja.

Dulu-dulu, seseorang calon boleh bersarapan pagi di Kangar, makan tengahari di Ipoh dan makan malam di Kota Baharu.

Saya sendiri pernah mengikuti rutin tokoh berkenaan. Bermula pada sebelah malam iaitu selepas balik dari kerja, tidak pula balik ke rumah. Sebaliknya mengikut calon ke Alor Setar dan bermalam di situ. Esoknya ada perjumpaan di Alor Setar dan apabila selesai, kami ke Ipoh.

Di Ipoh banyak orang sudah menunggu tetapi kami lewat sedikit. Namun, matalamat untuk berjumpa tercapai. Dari Ipoh terus ke Lapangan Terbang Subang dan menaiki pesawat ke Kota Kinabalu pula untuk jamuan makan malam pula. Keesokan hari baru balik. Pun tidak balik ke rumah, sebaliknya terus ke Utusan menjalankan tugas hakiki.

Saya masih ingat seorang tokoh yang hingga kini masih memegang jawatan tinggi yang akan pastikan dia dapat menemui setiap orang perwakilan. Mula-mula dia hantar ‘macai’ untuk meninjau dan menyampaikan salam. Pada hari-hari terakhir, dia sendiri akan cari para perwakilan di rumah atau pejabatnya.

Hebat sungguh calon ini, tak hairanlah hingga kini beliau masih berada di barisan atas.

Dulu-dulu, jika calon terdiri daripada menteri atau timbalan menteri, pada musim pemilihan akan sibuk merasmikan pelbagai majlis atau bangunan. Bangunan yang dah 10 tahun siappun dirasmikan juga asalkan di bawah kementeriannya. Selepas itu, adalah sahajalah pihak-pihak kedua dan ketiga yang mengucapkan terima kasih melalui iklan-iklan di akhbar.

Ada juga yang dipanggil untuk merasmikan majlis atau premis yang tidak ada kena-mengena dengan kementerian atau bidang kuasanya.

Begitulah yang terjadi pada seorang tokoh muda yang merasmikan sebuah restoran kari kepala ikan. Gelegatnya menjadi tawa rakan-rakan wartawan. - 11/4/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 421  tetamu dalam talian