27Februari2021

Agenda Daily

Menjala ikan di Parlimen Malaysia…

Hanya tinggal kenangan.... di coffee house inilah saya pernah menjala ikan kap Jepun dan tongsan sisik kasar sebelum bangunan Parlimen diubahsuai pada tahun 2004. Kini ruang ini adalah tempat makan-minum dan rehat YB-YB.

Sidang Parlimen masih berlangsung dengan saban hari ada sahaja pertikaman lidah yang belaku. Jika seminggu lalu, pertikaman lidah ini menjadi tarikan untuk ahli-ahli parlimen tidak mengsongkan tempat duduk masing-masing, kini mereka sekadar menjenguk di kaca tv di ruang rehat yang disediakan.

 

Ahli-ahli parlimen ‘veteran’ atau senior dalam dewan sudah lazim dengan kerenah rakan-rakan mereka yang pakar dalam mengemukakan ‘standing order’. Bagi mereka, jika ada pihak lawan yang membangkitkan peraturan mesyuarat, ia adalah isyarat untuk ‘tembak-menembak’.

Peraturan mesyuarat sangat jelas iaitu diadakan untuk mengawal dan melicinkan perjalanan persidangan, namun ada juga ahli-ahli ‘nakal’ yang membangkitkan persoalan-persoalan yang remeh-temeh. Apabila sesuatu peraturan dibangkitkan, sama ada ia menjadi bahan ketawa ataupun bahan sorakan sahaja.

Ada yang bangkitkan perkara seperti ahli-ahli yang tidak menghadap Yang diPertua ketika berucap, bangkitkan soal ahli yang membaca akhbar di dalam dewan dan beberapa perkara lain yang sebenarnya hanya mahu menganggu pihak yang ditujukan.

Perkarangan Parlimen masih sesak. Jika ke kantin terasa macam ke pasar borong. Banyak orang yang datang untuk mengikuti persidangan dari dekat. Bukan semua yang hadir akan dibenarkan masuk ke galeri awam untuk mengikuti persidangan.

Hanya mereka yang memohon lebih awal sebagai pelawat rasmi akan diberi kebenaran khas itu. Mereka yang bukan pelawat rasmi, terpaksalah ‘tersadai’ di kantin kerana di situ ada CCTV. Di samping mengikuti perjalanan mesyuarat, mulutpun jalan juga – sama ada kerana makan minum ataupn mengendalikan 'parlimen mini' dalam kantin itu. Ada sahaja yang hendak dikomenkan.

YB patut cakap begini dan bukannya begitu. Apalah YB tu, tak cakappun yang ini dan yang itu… maka mereka berbahas pula di luar persidangan. Perbualan akan menjadi lebih rancak lagi apabila ada YB-YB yang turut bersidai di kantin walaupun ada kafeteria sendiri untuk ahli-ahli dewan di bahagian depan lobi Parlimen.

Ha…. Ruang kafeteria inilah yang hendak saya ceritakan pada minggu ini. Bagi YB-

YB yang sudah berada sekurang-kurangnya untuk penggal ketiga kali ini, mereka tentu masih ingat bahawa suatu ketika dahulu sebahagian daripada ruang berkenaan adalah kolam ikan.

Di dalam kolam itu ada ratusan ikan kap-Jepun. Saiznya cukup besar iaitu jika dibeli di kedai ikan perhiasan, harganya mencecah RM200 seekor. Selain daripada kap Jepun ada juga kap-China (tongsan) dan kap-tempatan (Koi). Kesemua ikan ini sudah lama menjadi sebagahaian daripada penghuni Parlimen. Seingat saya, sejak mula menjejak kaki ke bangunan itu, sebagai wartawan pada tahun 1985, kolam ikan itu sudah ada di situ.

Di sebelah bawah pejabat Yang diPertua Dewan, ada satu lagi kolam kecil yang digabungkan dengan taman indah yang dihuni oleh pelbagai spesies terbang termasuk ayam hutan dan ayam katek.

Setakat yang saya tahu, bekas YDP, Allahyarham Tun Mohd. Zahir Ismail sangat mengambil berat mengenai ternakan-ternakan tersebut. Bukan itu sahaja, kawasan laman Parlimen yang begitu luas, tidak disia-siakan. DI kawasan berpagar itu, ratusan ekor rusa pelbagai jenis pula dibela.

Di sebelah parkir, disediakan zoo mini menempatkan pelbagai jenis burung di dalamnya. Malangnya, hamper semua ini tinggal kenangan sahaja bersempena kembalinya Allahyarham kepada Ilahi, penentu segala yang terjadi.

Rusa tinggal beberapa ekor sahaja kerana yang lain telah dihantar ke zoo. Zoo mini di perkarangan Parlimen kini sudah menjadi padang letak kereta. Jika Tun Zahir masih ada….beliau tentu sedih melihat peninggalannya itu.

Itulah juga yang terjadi kepada kolam ikan di tingkat satu bangunan Parlimen itu. Oleh kerana kafeteria YB-YB perlu dibesarkan, sebagai persediaan untuk menghadapi ahli-ahli yang meningkat jumlahnya dalam pilihanraya ke-11 pada 2004, kolam terpaksa ditutup.

Maka, ketika itu, akhir sesi Parlimen ke-10, bersempena dengan pengubahsuaian bangunan Parlimen, Tun Zahir ‘melelong’ ikan-ikan kap yang ada kepada semua warga Parlimen. Bagi kakitangan Parlimen, mereka boleh beli ikan berkenaan dengan harga RM5 seekor manakala bagi YB-YB pula harganya RM10 seekor.

Maka ramailah yang ‘menangguk’ peluang itu, tetapi saya tak tahu pula berapa orang YB termasuk menteri yang menyedari ‘offer’ yang diadakan itu. Kata rakan-rakan kakitangan Parlimen, ada juga YB yang berminat tetapi tak tahu cara nak bawa pulang ikan-ikan berkenaan.

Saya ada cara tersendiri. Hari terakhir persidangan adalah hari Khamis , tetapi saya kembali pada hari Jumaat. Kawan-kawan dah tunggu. Saya datang dengan memandu van. Bawa sekali tong besar dan alat pernafasaran oksigen untuk ikan, dan yang terpenting yang dibawa oleh seorang rakan kakitangan iaitu jala!

Maka menjalalah kami pada hari itu… di tingkat satu bangunan Parlimen dan yang dijala pula ikan kap-Jepun yang bernilai RM200 seekor. Saya bawa balik 10 ekor dan beri beberapa ekor lagi pada kawan-kawan yang turut seronok melihat kami menjala di Parlimen.

Pulang ke rumah…. baru saya teringat.. kalaulah pengundi tahu.. nahas saya kerana takut nanti mereka akan kata: “Apalah YB kami ni…suruh jadi wakil rakyat, dia pergi menjala di Parlimen…..”

Simpan di rumah… kolam tak cukup besar dan cetek pula. Sehari mati seekor, dua hari…tiga hari.. mati juga. Rupa-rupanya air panas kerana di Parlimen, ikan-ikan itupun berhawa dingin juga.

Sebelum yang lain mati, saya ambil keputusan masakkan sahaja kap berkenaan. Timbul pula pertanyaan daripada seorang rakan yang saya jamu dengan ikan berkenaan yang bertanya sama ada boleh makan atau tidak ikan berkenaan.

Saya jawab: “Sama ada sanggup bayar RM200 seekor atau tidak. Ikan tetap ikan, boleh makan. Cuma selama hari ini kita simpan dalam kolam atau akuarium.’’

Kawan itu pula memberitahu, kalau udang boleh dibayar RM150 seekor, kenapa pula ikan tak boleh.. makan je.

Memang sedap dan enak apabila kap dimasak masam-manis.

Seminggu kemudian saya kembali ke Parlimen untuk menjala lagi…. Malangnya, ikan sudah tiada. Ada syarikat dari luar dah sebat habis.. Yang tinggal hanyalah ikan tilapia di kolam besar yang mengelilingi menara Parlimen.

Tilapia tak mainlah… sebab kawan-kawan di Hulu Semenyih ada banyak kolam ikan tilapia..

Kini, apabila berada di kafeteria atau coffee-house ahli parlimen, saya terkenang ikan kap yang berenang berkawan-kawan. Sekali-sekala terlintas juga senyuman Allahyarham Tun Zahir yang cukup gemar makan Sate Kajang yang dibawa ke jamuan-jamuan tertentu.

Semoga apa yang ada dapat dikekalkan… - 13/5/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 359  tetamu dalam talian