21April2019

Mengenali kawan dan sahabat...

Catatan di Wad 8B – siri 3

Sepanjang kira-kira dua bulan terlantar di Wad 8B, ratusan saudara dan kenalan yang menziarah ketika sedang uzur. Tatkala terlantar itu, khususnya ketika tenat iaitu beberapa hari selepas keluar dari ICU bermacam-macam yang terpancar dalam fikiran – berkisar kepada penyakit, keluarga, masa depan, hidup dan mati serta pelbagai perkara lagi sama ada yang positif mahupun yang negatif.

 

Selain daripada ZAM yang dicatatkan dalam siri yang lalu, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada dua orang ‘otai’ (old timer) yang turut menziarahi saya. Apa yang lebih membanggakan dan mengejutkan ialah kedua-dua otai berkenaan bukanlah kenalan rapat, malah mungkin saya sahaja yang kenal mereka tetapi mereka tidak kenal saya ketika menjadi wartawan di Utusan.

Namun, sesuai dengan jiwa mereka semasa menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dahulu, Tan Sri Zaleha Ismail dan Tan Sri Abu Hassan Omar turut mengunjungi saya. Kak Leha datang sekali manakala Pak Abu menziarah dua kali. Pak Abu yang juga bekas Menteri Besar Selangor sentiasa diiringi bekas wakil rakyat Morib, Datuk Samad Maharuddin.

Walaupun Datuk atau Abang Samad yang juga bekas wartawan Utusan mengenali saya seawal tahun 1984 lagi, namun perkenalan rasmi saya serta Kak Leha dan Pak Abu hanya bermula tahun 1995 apabila saya menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat.

Kesempatan bertemu di Parlimen dan juga mesyuarat-mesyuarat parti dan urusan kerajaan negeri memungkinankan kami merapatkan silatulrahim. Apabila Pak Abu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Mohd. Taib yang merupakan mentor saya, pertalian kami semakin rapat.

Kak Leha pula mempunyai banyak masa untuk bertemu dengan kawan-kawan selepas tidak lagi menjadi menteri. Di situlah peluang kami saling berkenalan lebih rapat lagi khususnya saya cuba menyelami pengalaman lamanya untuk dijadikan bekal berhadapan dengan rakyat yang diwakili di kawasan dan bagaimana pula menghadapi rakan-rakan pembangkang.

Kak Leha menziarahi saya bukan sekadar berbekalkan doa ikhlasnya. Sebaliknya dia yang datang dengan adik iparnya Aziz Shahrin, juga membawa air minuman yang telah diserikan dengan bacaan 30 juzuq Al-quran. Aziz adalah kawan sekolah yang sama-sama tinggal di Asrama Dr. Latif milik Yayasan Selangor pada awal tahun 1970-an lalu. Kak Leha juga membawa ubat-ubatan alternatif. Begitulah prihatinnya beliau.

Walaupun Pak Abu datang terkemudian daripada Kak Leha, namun ada persamaan ziarah mereka. Mereka bukan sekadar melawat saya tetapi mengaturkan sumbangan khas yang dianjurkan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf dengan kerjasama Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK).

Oleh kerana hanya terlantar di hospital, saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut dan hanya mewakilkan isteri menerima sumbangan yang sangat bermakna itu yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak – ia datang tatkala kantong betul-betul kering dan pihak bank pula datang dari pelbagai sudut. Terima kasih pada Timbalan Perdana Menteri, Pak Abu, Kak Leha, Abang Samad dan juga rakan-rakan anggota Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) yang ‘huluq’ melalui golf amal tersebut.

Juga terima kasih saudara-mara dan rakan-rakan yang turut ‘huluq’ secara peribadi. Hanyalah Allah yang bakal memberi balasannya.

Ucapan terims kasih juga disampaikan kepada pihak-pihak yang memberi sumbangnan lain. Di antaranya ialah seorang lagi ‘otai’ yang saya kenali sejak tahun 1980 lagi tetapi kini kami berjiranan. Pada tahun 1980 saya mengenali dan meminati tokoh ini kerana kekacakannya dan kereta yang dipandunya - bukan Jaguar atau Rolls Royce tetapi Mini Clubman 1100. Saya memang minat kereta mini dan pernah bertukar ganti lima buah kereta tersebut dan sehingga kini masih mengekalkan sebuah.

Otai yang dimaksudkan ialah Tan Sri Professor Dr. Kamal Hassan, mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa. Beliau sampai tepat pada masanya, mungkin itulah gerak yang diberikan oleh Allah SWT. Tan Sri yang memilih untuk dipanggil Prof. sahaja tidak bawa air atau ubat, sebaliknya membawa ‘harapan’ kepada usaha meneruskan hidup yang ketika itu benar-benar dirundung pilu dan sedih.

Saya merasa bagaikan tidak sanggup lagi menerima dugaan dan pembalasan daripada Allah bagi dosa-dosa yang lalu. Terkenang macam-macam kisah lampau, teringat ibu bapa dan ahli keluarga yang telah pergi menemui Allah, kenakalan dan kejahatan lepas.

Tatkala tidak tahan menanggung pelbagai kesakitan di kaki, badan dan hampir seluruh anggota lain, saya pernah menadah tangan dengan doa kepada Allah: “Ya Allah, aku redha dan pasrah akan pembalasan tunai yang Engkau berikan….. aku tidak larat lagi menghadapi dugaanMu ini, jikalah menarik nyawaku adalah lebih baik, aku juga pasrah ya Allah.” Begitulah putus asanya saya ketika itu.

Seperti sudah disuratkan oleh Allah, Prof. Kamal tanpa diberitahu terus memujuk saya untuk bersabar dan sering berisytifar. Beliau bagaikan dapat membaca isi hati saya terus memberikan pelbagai nasihat dan motivasi untuk meneruskan hidup yang tinggal entah beberapa hari sahaja lagi.

Beliau juga kedengaran membaca pelbagai surah sambil menyusap-usap seluruh tubuh yang sakit. Lebih sejam rasanya beliau berbuat demikian dan tanpa disedari air mata terus membasahi pipi…. Sesekali kedengaran beliau membisikkan ‘sabar dan mohon pada Allah.’ Lagilah berlinangan air mata. Maklumlah, sedih pasti terasa apabila terbayangkan ibu bapa yang mengusap-usap sedangkan ibu telah lama pergi dalam usianya 51 tahun dan bapa pula mengikut jejak 10 tahun kemudian.

Selang beberapa minggu kemudian, Prof Kamal datang lagi untuk menyambung motivasinya. Beliau hadir dengan isteri tetapi tetap dengan sifat kebapaannya memberi nasihat dan kata-kata semangat. Kehadiran beliau memang sangat bermakna dan kerana itulah apabila sihat dan ‘kepala tidak pening ‘ lagi saya terus menghubungi beliau untuk mengucapkan penghargaan dan bersyukur kepada Allah

Sudah 30 tahun ibu atau kami panggil ummi meninggalkan kami. Dalam usia 12 tahun iaitu ketika memasuki tingkatan satu di sebuah sekolah terkemuka di ibukota Kuala Lumpur saya terpaksa meninggalkan kampung di Hulu Kalong, mukim Hulu Yam di daerah Hulu Selangor dan berhijrah ke ibukota dan menginap di Asrama Dr. Latif di Pesiaran Gurney.

Di asrama ada seorang penguasa dan timbalannya serta matron sebagai penggerak utama. Matron ini bernama Halimah binti Karnawi dan meminta semua penghuni asrama memanggilnya ibu. Dalam usia yang masih muda, matron 40 tahun inilah sebagai pengganti ibu kerana kami hanya dibenarkan balik kampung sebulan sekali – itupun jika ada wang tambang bas.

Ibu Halimah adalah ibu sejati. Beliau tidak membezakan semua anaknya bahkan anak kandung sendiri ditinggalkan di rumah seawal 5.00 pagi dan hanya kembali ke rumahnya di Ampang jam 10.00 malam nanti. Jika ada anak-anak di asrama yang demam teruk, selain menghantar anak ke hospital, ibu tidak pulang ke rumah walaupun tidak menghadap tujuh orang anak yang masih memerlukannya.

Ketika di Wad 8B dalam usianya 81 tahun dan berkerusi roda, Ibu Halimah tetap jenguk anaknya yang sedang sakit ini. Demikianlah ibu, jika diberitahu, dia pasti akan muncul menziarahi saya. Datangnya dengan bubur yang ditanak sendiri, diiringi linangan atau titisan air mata. Saya tahu bahawa Ibu memang menyayangi saya. Percayalah ibu, saya juga menyanyangi ibu seperti mana saya sayangkan dan rindukan ummi sendiri.

Wad 8B kali ini juga menjadi penghubung silatulrahim di kalangan kawan-kawan di asrama dan semua kenalan… tetapi jika boleh cukuplah…walaupun dah tiga kali dalam masa empat tahun, saya tidak mahu kembali ke wad berkenaan sebagai pesakit….setakat nak ziarah orang lain oklah… -18/10/2010

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 339  tetamu dalam talian