15Ogos2020

Agenda Daily

Memartabat Bahasa Melayu...jangan biar TPM keseorangan

ikon-bad-200-latestPengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai langkah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pelbagai acara antarabangsa di negara ini kelak, kurang mendapat 'sambutan'. 

Dikatakan 'kurang sambutan' kerana tidak banyak pihak yang menyambut idea tersebut.  Jika sambutan menggalakkan, tentulah banyak pihak dan cendekiawan serta pejuang bahasa dan bangsa memberikan pandangan dan tindak balas masing-masing.
 Pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran itu boleh dianggap berlalu begitu sahaja ditiup angin yang sepoi-sepoi.

Dalam masa yang sama, akhbar arus perdana, Utusan Malaysia terus mewar-warkan perihal iklan dan papan kenyataan yang meminggirkan Bahasa Melayu. Laporan demi laporan akhbar tersebut jelas menunjukkan Bahasa Melayu memang dikesampingkan sahaja.

Benarkah demikian dan siapa pula yang merendahkan martabat bahasa bukan sahaja pusaka Melayu tetapi juga kebanggaan negara itu?  Menurut paparan Utusan Malaysia. mereka yang mendewakan dan mengutamakan bahasa inggeris dan cina itu adalah para pengiklan kerana sasaran laporannya adalah papan-papan iklan dan pemidang yang bertaburan di seluruh negara yang telah begitu lama menobatkan Bahasa Melayu atau banyak pihak  lebih gemar menyebut Bahasa Malaysia sebagai bahasa  rasmi negara.

Jika kita berani mengakui kebenaran, bukan pihak pengiklan sahaja yang 'buta hati' dan sanggup mengenepikan Bahasa Melayu. Ada juga penggiat utama jabatan, agensi dan syarikat kerajaan atau yang berkaitan dengan kerajaan yang terlepas pandang perkara ini. 

Ada orang utama jabatan kerajaan, umpamanya yang namanya Melayu tetapi jiwa dan bahasanya tidak. Dalam laporan tv dapat kita saksikan betapa beliau tidak pernah bertutur betul dalam bahasa Melayu. Tokoh bergelar Tan Sri itu amat kekok dan sukar setiap kali cuba mengungkapkan kata-kata dalam Bahasa Melayu.

Pernah suatu ketika dahulu, ketika angin perubahan menggunakan Bahasa Melayu bertiup kencang, kerajaan memutuskan agar RTM tidak menyiarkan pertuturan selain daripada Bahasa Melayu kecuali sekiranya acara berlangsung adalah di peringkat antarabangsa. 

Kini, menteri dan timbalan menteri kelihatan cukup 'cair' menggunakan bahasa Inggeris walaupun ditemubicara dalam Bahasa Melayu.  Dan, yang lebih mengecewakan adalah menteri atau timbalan menteri itu sendiri adalah Melayu.

Apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri bersuara mengenai hasrat murni itu, pihak-pihak lain harus terus menyokong dengan tindakan tanpa paksaan.  Sudah berapa lama kita mendengar mengenai pejabat-pejabat kerajaan yang 'berkokok' mahu menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam pentadbirannya. Pernah terjadi jabatan kerajaan yang memulangkan surat yang berbahasa Inggeris, tetapi kini apa sudah jadi...?

Lihatlah di Putrajaya umpamanya. Perkataan asing seperti presint dan parcel yang dijanjikan untuk ditukar oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, masih digunakan dengan gahnya. Perdana Menteri bertukar, pengggunaan istilah 'mat saleh' itu kekal!

Di Kementerian Kesihatan pula, orang ramai sudah lupa menyebut barah kerana pihak kerajaan sendiri mahukan kanser. Diabetik menggantikan kencing manis dan kegemukan diganti dengan obesiti.

Dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), walaupun sudah lebih daripada setengah abad menggunakan pangkat Ketua Inspektor, Penolong Penguasa Polis, Penolong Pesuruhjaya Polis dan Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, pihak berkuasa lebih gemar menggunakan Cif Inspektor, Asisten Superintendan Polis, Asisten Komisiner Polis dan Senior Komisiner Polis.  Bagi PDRM tidak salah menggunakan pangkat-pangkat sebutan bahasa inggeris itu kerana tentera juga selesa dengan Leftenan, Kapten, Mejar, Leftenan Kolonel, Brigediar Jeneral dan sebagainya.

Wajar sekali kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada TV3 yang sanggup mendengar keluhan penonton yang tidak gemar dengan bahasa rojak. Maka itu syarikat penyiaran tersohor itu sanggup menukarkan Sure Heboh menjadi Jom Heboh. Syarikat tv itu juga sanggup mengorbankan sebutan TV Three menjadi TV Tiga, menukar nama rancangan 360 daripada Three Sixty kepada Tiga Ratus Enam Puluh.

Begitu juga dengan RTM yang menukarkan cogan kata Radio Klasik Nasional daripada Segalanya di sini menggamit memori menjadi Segalanya di sini menggamit kenangan.  RTM juga sudah sering membetulkan kesilapannya menggunakan 'rakan sejawat' menjadi 'rakan sejawatan; walaupun kadangkala ada juga penyampai yang tersasul.

Pun begitu, masih banyak penyiar yang tersilap menggunakan 'ramai' sebagai penjodoh bilangan.  Ramai tidak pernah diiktiraf sebagai penjodoh bilangan untuk menggambarkan jamak. Untuk menggambarkan orang yang jamak, kita gunakan penjodoh banyak menjadi banyak orang.Daripada banyak orang inilah terbit kebanyakan orang dan tidak pula disebut keramaian orang.

Masih banyak ruang bagi stesyen radio dan tv untuk membentuk jiwa masyarakat supaya sayang dan mengutamakan Bahasa Melayu.

Bagaimanakah pula peranan pihak lain? Saya masih teringat perihal Ahli Parlimen Kepong yang sering buat gawat di Parlimen sejak 20 tahun lalu setiap kali isu mengenai kedaulatan Bahasa Melayu dibahaskan di  Parlimen selaku institusi pembuat dasar itu.

Dr. Tan Seng Giaw berulang-ulang kali meminta penjelasan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, pihak berkuasa (benarkah ada kuasa?) yang bertanggungjawab mengenai urusan bahasa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku pihak berkuasa tempatan yang mengawalselia pemasangan papan tanda dan pemidang.  Ahli Parlimen itu ingin tahu ejaan manakah yang betul sama ada  ersiaran atau pesiaran?

Menurutnya, kedua-dua ejaan itu terdapat di beberapa tempat dan mahu diganti dengan yang betul.

Apakah yang tersirat di hati Tan Sri Muhyiddin apabila mengutarakan cadangan  mengantarabangsakan penggunaan Bahasa Melayu? Bukan menjadi keutamaan untuk mencari apa yang tersirat.  L:ebih baiklah semua pihak berpegang kepada hasrat yang tersurat sahaja iaitu untuk memartabatkan Bahasa Melayu yang penuturnya bukan sedikit, malah terdapat di seluruh dunia.

Apabila kita menganjurkan pertandingan pidato Bahasa Melayu seperti yang berlangsung bulan lalu, penyertaan bukan bersifat 'jaguh kampung' kerana peserta datang dari seluruh pelosok dunia - termasuk dari negara-negara yang tidak menuturkan langsung Bahasa Melayu.  Bahasa Melayu di negara-negara berkenaan sekadar diajar di peringkat universiti sahaja, tetapi tetap mendapat tempat.

Cadangan Timbalan Perdana Menteri untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam majlis-majlis antarabangsa di Malaysia sebenarnya tidak sukar untuk dilaksanakan. Jika di majlis-majlis di negara yang Bahasa Inggeris bukan bahasa pengantar, pun semua pihak masih boleh melontarkan pandangan (melalui terjemahan), apa sangatlah pula untuk menterjemahkan Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris atau apa bahasa sekalipun.  Bukankah kita mempunyai banyak pakar berbahasa Inggeris?

Apabila seorang Timbalan Perdana Menteri melontarkan pandangan, bermakna beliau bukan sekadar 'omong-omong kosong'. Pandangan dan cadangannya harus dilihat sebagai arahan dan pandangan itu wajib diterjemahkan kepada pelaksanaan agar apa yang dicita-citakan itu bukan sahaja menjadi kejayaan beliau, tetapi kemenangan bagi semua pihak yang mahu menobat dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan pusaka bangsa yang berkekalan.

Jangan biarkan Tan Sri Muhyiddin keseorangan...! -18/5/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 389  tetamu dalam talian