23Februari2020

Agenda Daily

MB Negeri Sembilan diperdaya ibu tunggal....?

ikon-bad-200-latestBARU Oleh kerana Bandar Baru Bangi bersempadan dengan Negeri Sembilan, iaitu melalui daerahnya Nilai, sering juga saya mengikuti siaran Negeri FM melalui gelombang 92.6. Malah, rangkaian 1 radio dalam kereta telah 'setting' gelombang tersebut. Rangakian 2 baharulah 98.3 - stesen yang amat diminati sepertimana yang dicatatkan dalam siri yang lalu.

Sebagai anak Minangkabau, loghat yang digunakan dalam Negeri FM agak bersamaan, memudahkan saya mengikuti celoteh-celoteh para djnya. Krew Pagi Negeri FM menghidupkan suasana pagi, terutamanya Lela dan Shah. Yang lain-lainpun tak kurang hebatnya.

Bukan sahaja dj-dj menggunakan loghat Nogori, para pemimpin juga berkomunikasi sedemikian.  Begitulah halnya seronok dan tertarik setiap kali mendengar rakaman suara atau lintas langsung perbualan Menteri Besar negeri itu iaitu Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ada rakaman yang membuat saya tersenyum sendirian apabila mendengar pendedahan dan pengakuan pemimpin utama negeri itu.  Kata Menteri Besar, ada seorang wanita yang memberikan butiran palsu untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyatnya yang amat memerlukan.

Kata beliau, wanita itu mengaku dalam permohonannya bahawa beliau adalah ibu tunggal.  Bagaimanapun, apabila disiasat lanjut, didapati beliau masih mempunyai suami dan berpendapatan melebihi RM1,500 sebulan. Pendapatan keluarga di bawah RM1,500 adalah salah satu syarat untuk mendapat bantuan tersebut.

Menurut Datuk Seri Mohamad Hassan, selain daripada suaminya yang berpendapatan sedemikian, anak-anaknya juga telah diberi bantuan kebajikan RM400 sebulan.

Alahai Tok Mad... alah tokono YAB yo...! Apo nak dikato (kata Blues Gang). Tersonyum jo Tok...sobab e, dulu lai dah kono. Ibu tunggal gak Tok...

Bukan sekali atau dua tiga kali rakaman tersebut diulang-ulang.  Kita tertanya-tanya juga apakah perasaan wanita berkenaan yang sebenarnya bukan ibu tunggal. Dia tak malu...tak sogan.. dan lain-lain . Nak kata, ibu tunggulpun bukan juga kerana beliau boleh dan berjaya memperdaya orang lain.

Datuk MB telah mendedahkan beberapa perkara lain yang tidak jelas tetapi nyata.  Sebagai Menteri Besar, tidak mungkin Datuk Mohamad mengenali setiap pemohon. Jadi MB tidak boleh dipersalah apabila dia diperdaya.  Nak marahkan 'ibu tunggal' itupun kurang tepat juga.

Kita harus bertanya bagaimana 'kelicikan' wanita tersebut tidak dapat dihidu lebih awal sehinggakan sampai ke tahap MB. Bagaimanakah beliau 'melepasi' tapisan ketua kampung, penghulu atau pegawai-pegawai di peringkat daerah.  Tidakkah ada mana-mana pihak yang mengenali wanita tersebut?

Dia sudah berjaya mendapat bantuan kebajikan untuk anak-anaknya. Siapakah agaknya yang menyokong permohonnya sehingga bantuan diluluskan.  Bagaimanakah institusi di peringkat kampung dan daerah menyemak maklumat-maklumat yang diberikan.  Wanita bersuami boleh mengaku ibu tunggal.

Selepas ini, siapa pula yang hendak diperdaya lagi...?

Samada menjadi Menteri Besar, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri atau apa sahaja jawatan yang kerja hakikinya adalah mewakili rakyat, kita harus lebih berhati-hati dengan membuat pelbagai semakan atau 'check and balance'.  Saya berani menyatakan demikian kerana telah 'terkena' beberapa kali ketika menjadi ahli parlimen dahulu.

Seorang ibu tunggal 'memperdaya' saya mengenai kesukaran hidupnya kerana ketika itu saya hanya mengenalinya sebagai peniaga pasar malam.  Dia memandu van seperti van merah yang pernah saya gunakan semasa menjadi wartawan dahulu. Dia menggambarkan keperitan hidupnya yang bergantung kepada pendapatan berniaga di pasar-pasar malam.

Saya menyokong permohonannya untuk mendapatkan rumah pangsa atas kuota sebagai ibu tunggal.   Dia berjaya mendapatkan seunit.  Beberapa tahun selepas tidak bergelar YB lagi, saya berjumpa kembali wanita berkenaan. Pertemuan itu agak memeranjatkan kerana ketika itu saya memandu Mercedes Benz 220E tetapi wanita berkenaan memandu 230E.

Siasat punya siasat, rupa-rupanya, dia tidaklah sesusah yang digambarkan kerana selain daripada kereta mewah itu, beliau juga ada sebuah rumah teres yang luas. Hai terkena juga.

Melalui FM92.6, Negeri FM juga membawa kisah-kisah menarik pada waktu petang melalui cerita-cerita sedih yang dibawa oleh Tok Ulong dan pasangannya.  Pasangan 'warga emas' ini sering membangkitkan cerita mengenai perhubungan anak-anak mereka yang boleh disifatkan sebagai 'tidak mengenang jasa' terhadap orang tua.

Kisah anak lupakan emak bapa ini sering membuatkan pendengar menitiskan air mata.  Selingkar kisah yang dipaparkan mengingatkan pertemuan saya dengan wanita tua yang hidup bersendirian di sebuah kampung di kawasan parlimen Hulu Langat. Wanita ini saya temui ketika menyampaikan sumbangan daripada kerajaan pusat ketika itu.

Menurut wanita itu, dia tinggal bersendirian di rumah berbentuk kotak itu sejak beberapa tahun dan sudah bertahun-tahun pula anak-anaknya tidak menjenguknya walaupun pada hari raya idulfitri.  Wanita ini jelas sekali menanggung kerinduan terhadap anak-anak kandungnya tetapi malang sekali hajatnya tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia beberapa hari selepas 1 Syawal. Namun, anak-anaknya tidak kunjung tiba juga.

Ketika menyampaikan sumbangan hariraya mengikut senarai nama yang disediakan oleh pihak kampung, saya berhadapan pula dengan penerima-penerima yang bukan kurang keupayaan tetapi kurang kesopanan dan tidak tahu malu. Maaf. saya bukan nak ungkit cerita lama, tetapi jika di rumah mereka ada kereta dan beberapa buah motosikal, seeloknya janganlah ambil peruntukan berkenaan walaupun bergelar ibu tunggal. Biarlah mereka yang benar-benar memerlukan mendapat bantuan.  Walaupun mereka tidak mempunyai kaitan atau hubungan dengan yang menyediakan senarai nama, janganlah pinggirkan mereka. Mereka mungkin terdiri daripada anak-anak yatim dan insaflah apa hukumnya memakan hak anak yatim..!

  1. Bukan FM92.6 sahaja membangkitkan pelbagai kenangan, stesen-stesen lain juga mempunyai peranan yang sama. Kebelakangan ini, saya semakin teruja melekat pada Negeri FM kerana sekali-sekali terdengar pula suaran Zainal Din Zainal di stesen itu.  Siapakah dj yang punyai suara mirip pada ikon RMIK itu.  Dengar dan jawablah sendiri. Kepada Datuk Seri MB...mintak maap yo....-16/11/2011
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 326  tetamu dalam talian