30Mei2020

Agenda Daily

Makan pisang rasa telur...?

ikon-bad-200-latest DALAM siri lalu, saya telah menyebut perihal pisang sedekah ketika khatib sedang membaca khutbah Jumaat. Minggu ini saya tidak mahu sambung lagi mengenai kisah pisang, sebaliknya beralih kepada cerita mengenai telur pula. Walaupun banyak orang mengaitkan telur dengan pisang, saya sebenarnya hanya mahu bercerita mengenai telur sahaja iaitu telur ayam.

Kebetulan dua minggu lalu cuti persekolahan - yang bermakna banyaklah berlangsungnya majlis perkahwinan. Banyak orang menamatkan zaman bujang masing-masing walaupun ada juga yang membuka atau menambah cawangan baharu. Salih Yaakob terkecuali kerana kuotanya sudah dipenuhi.

Memberi bunga telur sudah menjadi amalan turun-temurun budaya Melayu. Memberi bunga telur bukan sahaja sebagai tanda terima kasih di atas kehadiran tetamu ke majlis kenduri majlis perkahwinan. Bunga telur itu sendiri, bagi tetamu adalah bukti mereka telah menghadiri majlis berkenaan kerana tidak banyak majlis yang diakhiri dengan pemberian bunga telur.

Sejak sekian lama, bunga telur adalah telur ayam yang direbus dan dihiasi bunga. Bunga itu pula diperbuat daripada tangkai besi atau buluh yang diraut kecil dan kemudiannya dibalut dengan kertas atau plastik. Bagi yang mahukan ringkas dan murah, telur rebus dimasukkan ke dalam bakul diperbuat daripada kertas. Senang cerita, ikut kemampuan... kalau mampu, bunganya lebih cantik.

Itu kisah dahulu. Kini, bunga telur ada macam-macam. Sejak 20 tahun lalu, ada ketikanya, bunga telur hanya tinggal nama kerana telur sudah tidak menjadi tanda hati kehadiran tetamu lagi. Orang kita sudah semakin berkemampuan. Telur ayam yang berharga 30 sen sebiji sudah digantikan dengan buah epal, limau dan pernah juga saya jumpa dan terima telur itik yang dimasinkan.

Yang menggantikan telur ayam dengan telur puyuh pun ada juga. Walaupun saiznya kecil, telur puyuh lebih mahal. Yang lebih berkemampuan memberikan 'telur emas' iaitu telur plastik bersadur warna emas yang di dalamnya ada beberapa biji gula-gula. Telur plastik tidak bersadur, ada juga.

Mengendalikan majlis kenduri perkahwinan lazimnya diadakan di rumah orang tua. Sebelum kenduri besar, tuan rumah membuat persiapan secara gotong-royong dengan penduduk kampung bukan sahaja dari segi masak-memasak, tetapi juga menyiapkan pangkin pinggan-mangkuk, khemah dan sebagainya.

Peredaran zaman menyaksikan kemampuan orang Melayu juga telah meningkat dari segi ekonomi. Mereka juga telah mampu mengadakan majlis-majlis hebat di hotel-hotel terkemuka atau dewan-dewan tertentu. Peralihan lokasi majlis dari rumah ke dewan juga telah mengalih beberapa budaya Melayu mengikut budaya di hotel-hotel yang diwarisi daripada orang asing.

Di hotel-hotel, bunga telur sekadar perhiasan di pelamin manakala tetamu biasanya diberikan 'door gifts' untuk dibawa pulang. Cenderamata ini biasanya diisi dalam bakul dihias indah. Di dalamnya ada jeli, gula-gula, kek atau kuih bahulu (nasib baik kuih ini masih menarik hati) ataupun buah-buahan. Telur rebus, jarang-jarang sekali disisipkan.

Budaya mengadakan kenduri di dewan orang ramai bagi mereka yang kurang berkemampuan di hotel turut menjadi pilihan masa kini. 'Door gifts' nya mungkin tidak sehebat majlis di hotel, tetapi tetap ada dan bunga telur tetap dilupakan.

Kenapa bunga telur dilupakan...? Entahlah. Saya hanya boleh membuat andaian bahawa kebanyakan daripada kita kurang memahami kenapa bunga kertas dan telur ayam dijadikan cenderamata majlis perkahwinan. Lebih 15 tahun lalu saya pernah menulis mengenai perkara ini dalam sebuah akhbar. Kenapa telur dan bunga, apa kaitan kedua-duanya? Ada kemungkinan kerana telur ayam mudah didapati. Orang kampung tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan telur. Selain daripada ayam ternakan sendiri, sudah lumrah bagi penduduk kampung memberi telur kepada tuan rumah yang berkenduri.

Jika tidak cukup, boleh dibeli sahaja kerana harganya murah. Selain daripada bersedah telur, sudah lumrah juga bagi orang kampung untuk bersedekah beras, gula, garam, kelapa dan sebagainya mengikut kemampuan masing-masing. Malah mereka juga meminjamkan periuk tanak, pinggan mangkuk dan segala macam yang diperlukan. Inilah budaya Melayu tradisional.

Lain hulu. lain parang. Lain dahulu, lain sekarang. Budaya bergotong-royong sudah hampir pupus dan digantikan dengan budaya katering. Jika dahulu, makanan dihidangkan dan anak-anak muda kampung bertungkus-lumus menghidang dan mengemas, kini semuanya bertukar dengan kaedah 'self-service'. Memanglah kecenderungan ini menjadi pilihan kerana sudah tidak ada anak muda yang mahu menjadi 'penanggah'. Sudah tidak banyak anak muda yang mahu terlibat mengemas hidangan dan mencuci pinggan mangkuk - maka pekerja-pekerja syarikat katering yang perlu mengambilalih.

Minggu lalu, dengan bertongkat, saya memenuhi undangan kawan lama sejak kami masih bujang lagi. Bukan dia yang berkahwin, tetapi anaknya. Kenduri dibuat di rumah walaupun saya yakin beliau dan keluarganya mampu mengendalikan majlis di dewan-dewan besar. Yang menarik untuk menjadi catatan saya ialah perihal dalam beg cenderamatanya terdapat telur rebus yang diisi dalam cawan tanah liat yang cantik dan menarik.

Walaupun tidak ada bunga, namun telur tetap ada. Saya terfikir, sahabat ini masih memahami simbolik pada telur yang menggambarkan zuriat. Bunga pula menggambarkan keindahan dan kebaikan. Jadi bunga telur disimbolikkan sebagai zuriat yang baik. Namun sahabat saya ini menggunakan cawan.... mungkin dia berfikir bahawa cawan itu lebih kukuh untuk menatang telur dengan lebih baik.

Setidak-tidaknya cawan itu boleh dijadikan perhiasan ataupun digunakan dalam kehidupan seharian. Lagipun, selalunya, telur rebus diberikan kepada anak-anak sahaja apabila sampai di rumah manakala bunganya dibuang begitu sahaja.

Dalam satu jamuan di hotel tidak berapa lama dahulu, saya mendapat hadiah yang jarang-jarang sekali dilakukan. Cendermatanya adalah surah yassin. Walaupun surah yassin seringnya dikaitkan dengan tahlil atau kematian, kini, ia sudah mulai mendapat tempat di majlis-majlis perkahwinan.

Elok juga tu... beri surah yassin.. mudah-mudahan kita semakin sedar bahawa surah itu diperlukan pada bila-bila masa sahaja. Maklumlah, kita sering bertemu dalam tiga majlis yang lazim iaitu menyambut kelahiran bayi, menghadiri majlis kenduri perkahwinan dan yang terakhir, mengucapkan selamat jalan dengan ziarah dan doa di majlis kematian.

Mengakhiri catatan minggu ini, saya teringat kisah perihal makan pisang rasa telur. Kisah berlaku pada tahun 1996 tatkala menghadiri majlis minum petang bersempena mesyuarat agung Gerakan Belia 4B di Kuantan, Pahang. Di hotel berkenaan, kami dihidangkan dengan pengat pisang yang telah disejukkan. Emmm.. enak sekali. Saya makan dengan banyak sekali dan tiba-tiba ditegur oleh seorang rakan perwakilan yang mengikuti rombongan. Zolkarnain nama rakan berkenaan yang menyebut," Bang.. nampak sedap betul bang... itukan pisang je.."

Sayapun mengiyakan kenyataannya dan menambah..." Makan pisang rasa telur Zol...". Sahabat tadi agak hairan dan tercengang-cengang. ' Macam mana tu bang.. makan pisang rasa telur lak,'" tanya Zol.

Saya suruh Zol menghirup pengat pisang dengan sebelah tangannya memegang sudu manakala sebelah lagi memegang telur. Nasib ada telur yang dihidang bersama mi rebus... jika tidak, tentu sukar menjelaskan kepada Zol!-16/6/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 413  tetamu dalam talian