27Februari2021

Agenda Daily

Lagi fasal makan…awas ’ikan terbang’

Catatan kali ini diteruskan lagi dengan hal-hal berkaitan dengan makan, tetapi percayalah, ini adalah catatan terakhir khusus mengenai makan. Dalam masa kurang sedikit daripada empat minggu lagi, kita akan berpuasa Ramadhan – tak makan waktu siang tapi banyak makan pada waktu malam.

 

Minggu ini saya teringat kisah makan di Pattaya, Thailand bersama-sama dua orang lagi sahabat wartawan yang seselera dan sesaiz dengan saya. Pendek kata, kami bertiga punyai saiz XXXL.

Sahabat-sahabat itu ialah Yong Soo Heong, kini Ketua Pengarang Bernama dan Zulkifli Talib dahulunya bersama The Star tetapi hari ini saya tak tahu di mana dia. Kami sebenarnya bukan bertiga sahaja, sebaliknya ramai lagi rakan media yang turut sama ke Pattaya ketika itu.

Namun apabila bab makan, kami bertigalah menjadi fokus. Ketika itu kami membuat liputan Mesyuarat Sempadan Malaysia-Thailand yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed.

Pada siang hari, kami tidak mempunyai masa untuk ronda-ronda sekeliling Pattaya, kota hiburan 24 jam itu. Siang sibuk membuat liputan mesyuarat berkenaan dan pada sebelah malam, selepas laporan dihantar ke Kuala Lumpur, barulah kami menarik nafas lega.

Sesiapa yang pernah membuat liputan acara Dr. Mahathir di luar negeri, fahamlah apa yang dimaksudkan dengan lega kerana program beliau penuh dari pagi hingga malam – bukan hingga petang.

Selalunya, selepas jam 10.00 malam, barulah kami menikmati hidangan makan malam. Restoran yang dipilih sudah tentulah yqng menghidangkan masakan laut atau tom yam. Kedua-dua menu ini menjadi pilihan kerana hanya Soo Heong sahaja yang bukan Islam di kalangan kami. Memilih makanan laut dan tom yam diharapkan adalah ‘selamat’.

Setiap malam kami ke restoran makanan laut. Enam hari di sana, empat restoran menjadi lokasi pilihan kami. Memang enak makanan lautnya. Ketamnya besar, udangnya segar, ikannya lembut dan segala macam yang menarik.

Ada satu restoran tu memberi kami layanan yang cukup istimewa. Melihat Zul, Yong dan saya sudah berpeluh kerana kepanasan memakan tomyam dan ikan panggang, penyelianya mengarahkan seorang pekerja menurunkan kipas dari dinding. Maka terpaksalah pekerja itu memegang kipas berdekatan dengan kami kerana kipas berdiri semuanya telah digunakan.

Kata Soo Heong, inilah kali pertama beliau mendapat layanan seperti itu. Zul yang ketika itu sudah kuyup bajunya kerana berpeluh juga menyatakan perkara yang sama. Sayapun begitu juga. Rakan-rakan wartawan yang lain, sudah ada yang surrender awal tetapi kami bertiga tidak mahu membazir – makan tetap makan maklumlah XXXL.

“ Now over here ,’’ kata Soo Heong kerana kipas lebih banyak dihalakan kepada Zul. Sipekerja tadi hanya akur dan berpusing pula ke arah Soo Heong. Saya beruntung kerana duduk di antara Zul dan Soo Heong, ke manapun kipas dihalakan, saya dapat tempiasnya – maka bertambah seronoknya mengopek ketam yang cukup enak.

Selepas makan nasi berlaukkan makanan laut, kami dihidangkan pula dengan buah kelapa laut/ Siam iaitu yang bersaiz kecil tetapi airnya sangat manis. Kata orang Thailand, kelapa itu ibarat ubat yang boleh menyejukkan badan. Sebiji seorang dah tentu tak cukup kerana saiznya besar sedikit daripada buah epal sahaja. Tiga atau empat biji, baru puas dan terasa sejuknya.

Berada di Pattaya macam tidak ada malamnya. Lagi malam lagi meriah. Lampu kelip dan tidak berkelip membuatkan kota tepi pantai itu bagaikan siang sepanjang hari. Ia terang di mana-mana. Banyak orang di pusat tari-menari, banyak juga yang berenang di laut dan darat di samping mundar-mandir menghirup udara di tepi pantai.

Life music berada di mana-mana sahaja. Tak perlu ke disko kerana pondok-pondok di tepi jalanpun ada muzik seperti itu. Nampaknya lagi meriah kerana ramai yang mengerumuninya. Pemuzik jalanan ini akan menadah kotak dari masa ke masa sebagai sumber rezeki mereka.

Menyewa kereta atau motosikal si sana cukup murah. Kami cuma sewa pada waktu malam dan sewapun atas sewa – lagilah jimat.

Selepas tiga hari ke restoran lain, kami kembali ke restoran yang pertama tadi. Memang terbukti masakannya lebih sedap daripada yang lain. Pada malam itu, kami tanyakan yang lebih istimewa.

Kami dicadangkan mencuba sup ikan terbang. Kata pelayan itu dalam ‘broken English’ ikan terbang sangat manis. Mendengar cadangan itu, kami setuju. Nak rasa juga ikan terbang Siam kerana ikan terbang di Danau Toba dah rasa. Yang di Danau Toba tu takdalah hebat sangat rasanya.

Kami semua setuju dengan menu sup ikan terbang di samping ketam, udang, ikan dan cendawan yang dimasak pelbagai rasa, Seperti kehadiran kami kali pertama dahulu, hidangannya memang istimewa. Penyelia pula mempelawa kami ke meja lebih besar yang siap kipas di atasnya serta satu lagi kipas berdiri untuk pastikan kami tidak kepanasan.

Malam itu kami makan dengan penuh berselera. Ikan terbang memang manis. Tiada tulang kerana isinya telah dihancurkan seperti sup sirip ikan yu. Tak ada siapapun yang makan nasi sepinggan malam itu, semua bertambah.

Sup ikan terbang perlu ditambah kerana yang dihidangkan hanyalah dalam mangkuk yang kecil. Setelah hampir selesai makan nasi, baru sup ikan terbang sampai. Kami hirup macam biasa. Habis juga.

Malam itu, giliran Zulkipli Talib untuk membayar hidangan. Beliau kelihatan cukup puas. Selepas makan dan pekena asap sebentar, kami beredar. Dalam perjalanan keluar, saya bertanya kepada pelayan bolehkah dia tunjukkan ikan terbang yang sedap itu.

“ Yes,…can… I show you here, ” katanya sambil menunjukkan satu sangkar yang mengandungi katak air. Loya rasanya, macam nak muntahpun ada… Soo Heong sambil ketawa berkata, “Sudah selesai ma…”

Saya meninggi suara kepada pelayan kenapa hidangkan katak sedangkan restoran itu restoran makanan laut? Dia kata, katak itupun dari laut juga. Hmm….

Pada malam-malam berikutnya kami lebih berhati-hati supaya tidak lagi terkena ikan terbang atau di Malaysia dikenali juga sebagai ikan terbang-duduk.

Ada satu lagi assignment di luar negara bersama Yong Soo Heong. Kali ini kami ke Amerika Syarikat kerana menghadiri pelancaran Jeep Grand Cherokee. Seronok juga ronda-ronda ke kilang Jeep di samping melihat kilang-kilang kenderaan lain.

Yang agak tidak seronok ialah apabila tiba bab makan. Jika di Pattaya, hanya Soo Heong seorang bukan beragama Islam, kali ini, saya seorang sahaja yang beragama Islam. Jika dihidangkan dengan ayam, daging dan pelbagai ternakan lain, saya terpaksa tolak pada Soo Heong.

Sahabat ini sering berkata,” kita adik beradik mesti tolong menolong” Beliau berkata demikian kerana beliau pula terpaksa tolak udang dan ikan pada saya. Kalau ikan tak ada, saya akan makan sayur sahaja.

Setiap kali sebelum makan, Soo Heong akan kata, ‘Adik, tunggu dulu abang periksa…. Kalau lulus piawaian, adik boleh makan…” Namun ada ketikanya saya terpaksa makan bawang goreng sahaja. Sesekali beliau berlawak juga dengan jenakanya; “Bawang ok… tapi itu minyak goreng tak sempat nak periksa. Mungkin minyak sayuran.”

Menu salad adalah makanan yang amat tidak saya sukai, tetapi seminggu di Negara Mat Saleh berkenaan, mahu tak mahu telan jugalah. Pada hari pelancaran Grand Cherokee di Florida, barulah mendapat makanan yang cukup menyelerakan. Ikan salmon segar dipanggang dan dihidang dengan sos lada hitam. Ada nasi macam di Malaysia pula.

Kali ini Soo Heongpun tak perlu siasat dulu sebab semuanya jenis ikan sahaja. Ikan laut dan juga ikan tasek di samping udang yang turut dipanggang. Makan udang panggang dan mentah (diperam dalam ais) macam tak ada penyakit. Selepas makan, dihidangkan jagung pula… uhh memang cantiklah.

Pada sebelah malamnya, kaki tiba-tiba terasa berat dan berdenyut-denyut… alamak sahabat bernama gout sudah tiba. Nasib baiklah saya ada membawa bekalan iaitu pain killer yang terpaksa disuntik sendiri.

Terima kasih kepada dua orang lagi sahabat iaitu Dr. Zaharuddin Abdullah dan Dr.Yusof Kassim yang sering membekalkan ubat-ubatan yang diperlukan. Makan oh makan.- 6/8/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 349  tetamu dalam talian