23Februari2020

Agenda Daily

Kisah roti canai banjir percuma, ayam dan rojak diskaun, sikit punya hallah.....

ikon-bad-200-latestBARU "Bang nanti Deepavali marilah rumah... abang sama kakak mesti datang," begitu pelawa seorang wanita penjual ayam kepada saya ketika membeli tiga ekor ayam daripadanya minggu lalu. Wanita ini beria-ia mengingatkan saya agar tidak menghampa keluarganya ketika menyambut perayaan pesta cahaya itu. "Ya.. mesti mau datang, mari semua...anak cucu semua mari." begitu pula bapanya mencelah.

Pada hariraya idulfitri yang lalu, sibapa ini datang ke rumah bersama-sama anak dan cucu-cucunya. Inilah kali pertama beliau hadir kerana sebelum ini, saya tidak kenalpun dia, seorang bekas penjual pacang putih dan meruku. Saya hanya kenalnya dua tahun lalu apabila berkunjung ke rumahnya meraikan Deepavali.

Keluarga ini agak 'rapat' dengan saya kerana sejak tidak bergelar YB lagi iaitu pada tahun 2004 saya sering ke kedai mereka untuk mendapatkan bekalan ayam, khususnya ayam tua atau disebut juga ayam pencen. Pada awal-awal kedatangan, suami wanita tersebut sering enggan mengambil wang daripada saya.

Malu-alah dibuatnya khususnya kerana ada orang lain ketika saya mahu membayar. Oleh kerana dia tidak mahu mengambil wang, saya tinggalkan sahaja bayaran di atas meja dan terus beredar.  Suatu hari, ketikatidak ada pelanggan lain, saya 'sound' peniaga tersebut kerana tidak mahu menerima bayaran.

"Jangan macam inilah bro... nanti orang tanya apa fasal saya tak perlu bayar. Jangan sampai dia orang ingat saya ada 'share'  sini. Malulah saya,,,,,,,," kata saya kepada peniaga itu

"Bang...ini sikit punya hallah bang.. Dulu abang YB punya jam.. sudah tolong sama saya, sampai sekarang boleh berniaga,'' dia cuba menerangkan . Saya tangkis alasannya dengan menyatakan apa juga yang saya lakukan adalah atas sifat saya sebagai wakil rakyat dan tidak perlukan sebarang pembalasan.

Saya terangkan kepadanya bahawa saya dibayar elaun  oleh kerajaan melaksanakan tugas, termasuklah memudahkan urusan membolehkannya berniaga di tapak berkenaan.  Saya terangkan lagi, saya datang membeli di kedainya kerana kami sudah menjadi kawan.  Daripada membeli daripada orang yang tak dikenali, eloklah berurusan dengan kawan sendiri.

Peniaga ini masih kurang puas hati dengan penjelasan itu dan dia selalu memberikan diskaun atau meletakkan harga 'cincai'. Umpamanya, peniaga lain menjual ayam pencen dengan harga RM7.00 seekor, dia memberi saya RM5.00 sahaja iaitu modal sahaja. Ayam daging pula tak perlu timbang..ambil purata sahaja iaitu RM10.00 seekor.  Oleh kerana tidak mahu bertelagah lagi, terima sahajalah.

Suatu pagi, saya bersama seorang anak, bersarapan di sebuah gerai di kawasan perumahan kami. Macam biasa, walaupun dinasihatkan oleh doktor jangan sering sangat memakan roti canai, saya tetap memesan makanan itu. Setakat sekeping tak mainlah..dua keping barulah kira 'standard'.

Lagi cantik apabila ditabur dengan kuah banjir.umhhhh... kalau tak kerana malu, mahu tiga keping! Anak saya memilih untuk makan nasi lemak berlauk sotong dan kerang.

Selepas makan, anak saya bangun untuk membayar... tiba-tiba pemilik gerai memegang tangannya. "Tak payah.... hari ni pakcik belanja...." pemilik tersebut tidak membenarkan anak saya membayar juadah yang kami makan.

"Ini betul-betul pakcik belanja. Bukan apa-apa. Bukan bodek, bukan apa-apa. Gerai ini dulu, ayah kau yang tolong.  Dulu pakcik sewa daripada orang lain. Ayah kau tolong dan sampai sekarang pakcik masih boleh berniaga," kata lelaki berusia lebih 60 tahun itu yang pernah menjadi jiran saya pada tahun 1980, ketika saya masih menuntut di Bangi.

Sebenanrya saya langsung tak ingat bagaimana saya pernah terlibat membantunya mendapatkan gerai berkenaan.  Saya tak pernah simpan rekod siapa juga yang datang memohon pertolongan kerana menghulur bantuan dan kerjasama memang tugas dan tanggungjawab wakil rakyat. Cuma tumpang bangga apabila bekas jiran itu juga kini sudah memiliki restoran yang lebih besar hanya beberapa ratus meter sahaja dari rumah saya.

Isteri saya memilik sebuah kereta nasional iaitu Poton Saga. Suatu hari saya membawa kereta itu untuk diselenggara di pusat servis Proton kerana sudah sampai masanya untuk diselenggara. Pada waktu yang sama, saya minta mentol lampu undur ditukar kerana sudah terbakar dan alangkah terkejutnya saya kerana dibilkan RM42.60 untuk mentol berkenaan.  Saya tidak puas hati dan apabila ditanya,kerani pembilan menerangkan: "Ini yang original Encik."

Tak lama kemudian mentol yang original itu terbakar lagi. Maaflah...tak hantar lagi ke pusat servis berkenaan. Kali ini hantar ke bengkel tepi pokok je. Menurut anak lelaki saya, mentol berkenaan selalunya berharga RM6.00 sahaja tetapi mekanik pendawai berkenaan tidak mahu mengambil wang. "Lain kali... ini sikit punya hal.''  Saya kurang pasti kenapa dia tidak mahu mengambil bayaran dan terus tertanya-tanya kenapa dia juga memberi pelbagai diskaun setiap kali saya membaiki kereta di bengkelnya.

Seingat saya, pemuda ini pernah meminta bantuan untuk menukarkan sekolah anaknya dari sekolah yang terlalu jauh daripada rumahnya ke sekolah yang lebih dekat, tetapi itu cerita lebih daripada 12 tahun yang lalu.

Seorang lagi rakan pemilik bengkel akan bergegas datang ke rumah apabila saya menghubunginya untuk membuat temujanji untuk membaiki kereta yang meragam. Kadang-kadang hanya perlu menukar bateri atau perlu dicaj semula, namun dia akan sampai dalam masa 15 minit sahaja. Kalau baiki perkara-perkara kecil sahaja, dia juga tidak mahu ambil upah. Kalau melibatkan pertukaran alat ganti kecil, dia ambil modal sahaja.

Kalau 'repair' melibatkan belanja yang agak besar, dia terus beritahu boleh bayar secara ansur atau bila-bila ada wang. Sampai sekarang, saya masih terhutang kepadanya kerana membaiki kereta Mini Cooper tahun 1971.  Bukan tak mahu bayar...dia yang suruh tangguh!

Seingat saya, semasa bapanya masih hidup dahulu, saya pernah pergi ke rumahnya menghulur bantuan apabila kediaman mereka dilanda banjir besar. Sejak daripada itu, kami berkawan dan persamaan kami adalah suka berburu serta makan durian. Seperti juga saya, rakan ini suka makan durian daun iaitu durian di hutan yang durinya panjang dan lembut seperti kulit rambutan.

Seorang peniaga cendol terkemuka di Kajang yang saya kenali sejak tahun 1979 lagi mempunyai cerita yang menarik. Cendolnya memang sedap. Begitu juga rojak dan mi rebusnya yang walaupun dijual dengan harga tinggi sedikit, tetap menjadi rebutan. Sahabat ini mewarisi perniagaan tersebut daripada arwah bapanya.

Pada majlis-majlis jamuan hariraya ketika menjadi ali parlimen dahulu, saban tahun saya memesan cendolnya.  Bukan seratus atau seribu mangkuk, tetapi mencecah 5,000 dan !0,000 mengikut kemampuan dan keperluan. Begitu hebatnya cendol kawan berkenaan yang dapat menyaingi sate enak di Kajang.

Lantaran itu, agaknya kenalan ini memesan kepada anak-anaknya jangan mengambil wang jika saya dan keluarga minum di salah sebuah gerai mereka. Kalau kenalan itu sendiri ada di situ, siap makan mi dan rojakpun percuma.  Mana boleh macam ini... Akhirnya bertahun lamanya saya tidak menjengah ke gerainya.  Terlalu malu rasanya makan percuma apatah lagi kawan berkenaan masih memanggil saya dengan gelaran YB.

Jika kempunan sangat nak nakan cendol dan rojak mamak itu, saya suruh anak-anak yang beli kerana jika saya ada, makan free lagilah jawabnya. Lama kelamaan, mamak itu dapat menghidu 'kehilangan' saya dan apabila saya memanggilnya suatu hari untuk memesan cendol bagi satu majlis khenduri, sahabat berkenaan, memujuk saya agar datang kembali ke gerainya.  Saya setuju, dengan syarat dia atau anak-anaknya mesti ambil wang. Dia setuju, tetapi kadang-kadang ada diskaun juga.

Seorang remaja yang kini bekerja dan melanjutkan pengajian di sebuah universiti sering menghantar makanan kepada saya. Dalam bulan Ramadhan lalu dia menghantar 'roti john' untuk berbuka puasa kerana dia berniaga makanan tersebut di pasar Ramadhan.  Ketika terlantar di rumah setelah tiga bulan tersadai di hospital, remaja ini juga sering membawa makanan dan minuman untuk menjamu saya walaupun ketika itu saya tidak berselera langsung untuk makan.

Dari masa ke masa. remaja ini sering melawat saya sama ada ketika sakit mahupun sihat. Setidak-tidaknya dia akan berhubung melalui telefon. Remaja ini yang turut rapat dengan anak-anak saya sudah macam keluarga sendiri.  Perhubungan kami bermula ketika beliau masih di bangku sekolah.

Sebagai ahli parlimen pernahlah beliau dan keluarganya mendapat sedikit bantuan dan pertolongan daripada saya. Walaupun peristiwa berkenaan telah lama berlalu. hubungan kami masih akrab.

Inilah sebahagian daripada rakan-rakan saya yang kekal....-26/10/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian