07Ogos2020

Agenda Daily

Kerana mangga dagangan siibu muda murah, akhirnya dibeli juga

Menyertai arena politik secara kebetulan dan sekadar memenuhi ajakan kawan-kawan telah membuka ruang baharu dalam hidup saya. Bermula hanya sebagai ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bandar Baru Bangi pada tahun 1985 telah membawa perubahan corak dan gaya hidup 10 tahun kemudian apabila saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat.

 

Penglibatan dalam politik cara ‘ikut-ikut’ kawan bermula pada tahun 1982 lagi iaitu semasa baharu berada di tahun dua selaku pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Seorang rakan sekuliah iaitu Abdul Rahman Bakar mempelawa saya menyertai kempen pilihanraya di Sepang. Ketika itu Datuk Hj Suhaimi Kamaruddin mewakili Barisan Nasional (BN) di Sepang.

Pada malam berkempen itu, kami menaiki kereta mewah BMW. Siapa punya saya tak tahu. Saya cuma ikut sahaja dan tak tahu langsung mengenai politik. Ketika itupun saya tidak mengetahui mengenai larangan yang menyekat mahasiswa terlibat dalam politik.

Selain daripada rakan sekuliah, saya tidak berapa mengetahui penglibatan Abd. Rahman Bakar dalam politik. Cuma… beliau tiba-tiba menjadi Ahli Parlimen di Marang, Terengganu dalam pilihanraya umum 1986. Setahu saya, selepas belajar di UKM beliau kembali ke Terengganu menjadi guru pada tahun 1984. Saya masih menjadi wartawan dan apabila parlimen bersidang saya membuat liputan mengenainya.

VIP yang menjadi tetamu diraja King Fahd ke tanah suci, Datuk Dr. Yusuf Noor (dari kanan), Menteri Pertahanan (kini Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat (kini Tan Sri dan Allahyarham) serta ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Ghafar Baba

Datuk Abdul Rahman Bakar digelar sebagai ‘giant killer’ kerana menewaskan Haji Hadi Awang di Parlimen Marang pada tahun 1986 dan juga 2004, Pada pilihanraya umum 2008, ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia, beliau tidak dicalonkan untuk bertanding kerana dilihat tidak sehaluan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh.

Selesai pengajian di UKM saya terus tinggal di Bandar Baru Bangi kerana telah membeli sebuah rumah teres setingkat di situ. Jiran di depan rumah, saudara Aziz Lumat mempelawa saya menjadi ahli cawangan dan kemudiannya menyertai mesyuarat cawangan. Saya ikut je…

Ketika itu saudara Ali HajI Ahmad, senior saya di UKM dan kemudiannya menjadi salah seorang jiran di lorong hadapan rumah, terpilih lagi sebagai ketua pemuda cawangan. Saya menjadi naibnya tetapi malangnya pada mesyuarat pemilihan tersebut, pencalonan Aziz Lumat dibantah oleh salah seorang ahli jawatankuasa cawangan kerana Aziz meenjadi ahli di cawangan lain walaupun tinggal di Bandar Baru Bangi. Ahli yang membantah itu kini tidak dibenarkan berpolitik kerana beliau sudah bergelar Orang Besar Daerah - wakil Sultan Selangor di salah sebuah daerah.

Oleh kerana Ali adalah rakan rapat dan jiran pula, saya menulis mengenai pemilihannya dalam parti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.Walaupun hanya memegang jawatan terendah dalam hirarki parti, ada nilai berita pada Ali kerana beliau adalah Setiusaha Sulit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Dr.Yusuf Noor (kini Tan Sri).

Tanpa diduga, beberapa hari kemudian saudara Ali HajI Ahmad menemui saya membawa perkhabaran yang menyulitkan dirinya dan menyusahkan kami semua gara-gara berita yang saya tulis. Menurut Ali beliau telah diminta membuat pilihan iaitu samada mengekalkan jawatan politik atau jawatan bersama timbalan menteri. Ali ketika itu masih lagi seorang pegawai di UKM yang dipinjamkan ke JPM.

Beliau memilih untuk bersama Dr. Yusuf Noor, bekas pensyarah di Fakulti Islam ketika Ali menjadi mahasiswa di UKM. Gara-gara berita, seorang rakan terkorban. Bagaimanapun rezeki Ali tidak tersekat kerana setelah berpindah kerja beberapa kali, HajI Ali bersara awal sebagai Timbalan Pendaftar di UNITEN.

Sejak dari itu, saya cukup berhati-hati menulis mengenai politik kerana saya memang tidak tahu selok belok dan silat terajang orang berpolitik. Sebenarnya semasa menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal, teruk juga saya kena silat terajang itu.

Pada pilihanraya 1986, Zainuddin Maidin atas sifatnya sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu mengarhkan saya bertugas membuat liputan sepenuh masa di Kelantan. Sudahlah kurang mahir mengenai politik, seumur hidup pula belum pernah menjejak kaki di Kelantan. Banyak laporan saya yang kena ‘belasah’ oleh ZAM dan juga Abdullah Hassan yang ketika itu menjadi bos di negeri-negeri pantai timur yang berpejabat di Kuala Terengganu.

Belasah punya belasah dan kena ‘re-write’ laporan akhirnya mendewasakan saya mengenai dunia politik. Terima kasih ZAM dan Ceklah. Ada juga laporan yang sangat menyengat orang PAS sehingga mencari saya di pejabat Utusan di Jalan Bayam, Kota Baru Kelantan. Kisah penuh mengenai seseorang yang bersenjata parang sehingga saya terkencing dalam seluar telah disiarkan dalam ruanngan ini dua tahun lalu.

Sebagai ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sepang di mana Ketua Bahagiannya ialah Datuk Sharif Jajang, saya telah berpeluang beberapa kali berkunjung ke Medan Indonesia atas tiket lawatan sambil belajar.

Walaupun program belajar tidak secara formal, banyak pengajaran, didikan dan pengalaman yang ditimba di sana. Pertamanya adalah mengenai erti keperitan hidup dan kedua mengenai hidup tolong-menolong serta perhubungan yang intim.

Di sana, kebanyakan anggota masyarakat kota yang dikategorikan sebagai miskin berdikari dengan berniaga secara kecil-kecilan. Setiap bas wisata (pelancongan) adalah sumber rezki. Apabila bas berhenti, peniaga jalanan ini yang membaa pelbagai barangan dagangan akan menyebu. Ada yang membawa songkok, kain pelikat, dompet, permainan kanak-kanak dan bermacam-macam lagi.

Bersama Ali HajI Ahmad (kiri) ketika melawat pejabat Tabung HajI semasa kami menunaikan kewajipan di tanah suci pada tahun 1987. Di sebelah saya, saudara Suhaimi Yusuf, pengiring Datuk (kini Tan Sri) Dr. Yusuf Noor

Kita tahu, barangan yang ditawarkan tidak bermutu, tetapi kerana kasihan dan demi sesuap nasi dibeli juga. Apabila sampai di desa-desa lagilah sedih. Dengan mengendong anak kecil, ada yang menghulur jagung rebus, buah mangga, salak, limau dan segala macam yang lain asalkan ditukar dengan rupiah.

Semasa berkunjung ke sana bersama-sama keluarga beberapa tahun kemudiannya, saya didatangi seorang wanita muda yang mendukung anak kecil sambil membawa sebakul buah msnggs di kepalanya.

“Ambillah pak… ambill bu… asal saja anak ini dapat makan pak.. Tolonglah. Demi anak yang kecil ini. Saya ibunya enggak (tidak) makan enggak apa… demi anak ini…bantulah ia,’’ demikian siibu merayu-rayu. Beliau telah merayu dagangannya dibeli ketika ditemui di kedai lagi. Kami menolak kerana sudahpun membeli beberap kilogram mangga yang disaksikan sendiri oleh ibu itu.

Ibu muda yang saya fikir usianya dalam lingkungan 19 tahun sahaja tidak berputus asa. Beliau ikut kami hingga ke hotel. Oleh kerana harga mangga itu sangat murah, kami beli juga semuanya lima kilogram. Ibu tadi terus berlari ke arah kedai runcit untuk mendapatkan sesuatu untuk anaknya.

Malam itu kami kenduri mangga bersama kawan-kawan….esoknya semua sakit perut. -2/11/2010

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 279  tetamu dalam talian