21April2019

Kalau dah kaki motor…

Tak mampu nak beli Kawasaki K1 1500 cc, dapat naik milik kawanpun jadilah. Pemillik motosikal ini ialah Datin Paduka Tengku Zahariah Sultan Salahuddin (Ku Yah). Beliau walaupun berbadan kecil, tetapi memiliki lesen B-full juga.

Saya mula menunggang motosikal secara sah ketika masih bersekolah lagi iaitu ketika di tingkatan empat di Sekolah Menengah Victoria (Victoria Institution) di Kuala Limpur. Saya gunakan istilah secara sah kerana pada tahun itulah , 1975 saya mula-mula mempunyai lesen L.Sebenarnya saya mula menunggang motosikal sejak dari tingkatan satu lagi.

 

Ketika itu, ‘lari-lari’ atau ‘curi-curi’ gunakan Lambretta 150 dan 175 milik bapa ketika beliau tiada. Bukan senang nak bawa Lambretta 175 kerana selain daripada berat dan besar ia menggunakan ‘clutch’ di tangan dan ‘kick starter’nya pula perlukan kemahiran. Silap-silap melambung dibuatnya.

Semasa tingkatan empat, saya tinggal bersama keluarga kakak (Allahyarham ) di Bangsar Park di ibukota. Untuk ke sekolah terpaksa menapak kira-kira satu kilometer ke Jalan Bangsar untuk menaiki bas Srijaya nombor perjalanan 5A dari Jalan Pantai Dalam menuju ke Jalan Sultan Mohamad (dekat Pasar Seni). Dari situ kena menapak lagi satu kilometer baharulah sampai di sekolah di atas puncak bukit bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

V! sebenarnya ditubuhkan pada tahun 1893 dan bangunannya berhampiran Balai Polis Jalan Bandar tetapi kerana banjir limpahan Sungai Kelang yang berhampiran, sekolah itu dipindahkan ke lokasi sekarang. Pada sebelah tengahari melalui perjalanan yang sama dan kira-kira jam 2.30 petang baru sampai di rumah -- pastinya dengan keadaan baju kuyup kerana terik matahari.

Dipendekkan cerita, kerana kasihan melihat keadaaan berulang-alik yang amat memenatkan itu, seorang abang yang baharu sahaja tamat pengajiannya di Universiti Malaya ‘menghadiahkan’ motosikal kapcainya kepada saya. Dengan itu mudahlah ke sekolah dan tidak perlu bangun seawal 5.30 pai lagi.

Ketika itu untuk mendapatkan lesen L amat mudah. Bawa dua keeping gambar berukuran pasport, salinan kad pengenalan, yuran JPJ RM20 dan upah RM2 dan serahkan kepada mana-mana sekolah memandu. Esoknya boleh datang semula ke sekolah itu dan lesen L sudah siap. Dah boleh tunggang motosikal. Bayangkan betapa mudahnya ketika itu. Tiga bulan kemudian sudah boleh duduk ujian dapatkan lesen lulus.

Kali pertama ujian motosikal, saya sangat berlagak kerana terus ambil B full iaitu lesen motosikal kelas besar, 500 cc ke atas. Ujian pula tidak perlu di atas jalan raya, memadai di sekeliling kompleks pejabat JPJ sahaja. Kantoi, ujian gagal kerana terjatuh. Juruuji JPJ kata, “Bulan depan cuba lagi.” Saya memang datang bulan depannya tetapi menaiki Yamaha kapcai sahaja untuk lesen B2. Lulus dan lesen itulah yang saya gunakan untuk menunggang segala jenis dan saiz motosikal sehingga tahun 1996.

Melihat motosikal klasik jenama Triumph, Norton dan AJS ini, peminatnya tentulah bukan remaja, tetapi veteran juga ikut serta program bermotosikal anjuran Pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat.

Semasa menjadi wartawan di Utusan saya diberi kesempatan untuk menguji pandu kereta dan motosikal keluaran terbaharu. Dengan lesen B2 (had sehingga 250 cc) itulah saya ‘ligan’ macam-macam motosikal kuasa besar. Kapcai dah tak main dah…..

Semasa menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1995, berkawan pula dengan seorang ‘mat motor’ iaitu bekas Timbalan Pengarah JPJ Pahang yang dipilih menjadi Ahli Parlimen Jelebu. Saudara Yunus Rahmat (kini Datuk) memberitahu bahawa rakannya di Raub berhajat menjual mosikal Suzuki GS 550 E. Motosikal itu digunakan oleh Yunus ketika beliau bertugas di JPJ.

Dengan nombor telefon dan alamat yang diberikan, saya bersama tiga orang sahabat terus ke Raub mencari pemilik motosikal berkenaan, seorang pegawai polis berpangkat inspektor. Ketika melihat motosikal berkenaan yang keadaannya cukup baik, tanpa tawar-menawar saya terus tandatanganii cek RM5,000 dan ambil motosikal berkenaan.

Kata inspektor itu, cukai jalan dah mati dan hari pula Sabtu dan pejabat dah tutup. Seorang rakan yang ikut saya, juga anggota polis menyampuk: “Takpa Tuan, Ahli Parlimen dapat road-tax percuma… saya boleh bawa motor tu…” Kami ke pekan sebentar membeli topi keledar dan terus bawa pulang motorsikal itu. Anggota polis berkenaan yang pernah menjadi pengiring Al-marhum Sultan Selangor dengan penuh gaya dan selamba sahaja menunggang pulang.

Seminggu rakan berkenaan menyimpan kenderaan tersebut kerana saya belum ambil lesen kuasa besar.. ambil L sekali lagi. Dalam masa yang sama, ramailah yang tertarik melihat motosikal berkenaan kerana memang dijaga dengan baik. Seminggu kemudian, beberapa orang rakan tiba-tiba hendak membelanja ‘makan besar’ Dah habis makan-minum baharulah mereka beritahu nombor motosikal yang dibeli iaitu 5182 naik nombor dua empat nombor ekor minggu berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad ( tengah -kini Allahyarham) sebelum melancarkan ekspedisi konvoi bermotosikal ke Tasek Chini, di Semenyih pada tahun 1996. Penulis kiri sekali bergaya dengan GS550E.

Selepas ‘edah’ L selama tiga bulan saya menduduki ujian B-full. Ujian diadakan di Akademi Memandu Surfine-Hitech di Hulu Langat, setelah diperkenalkan oleh Yunus kepada pengusaha akademi itu. Saya menduduki ujian pada kira-kira 8.30 malam kerana ketika itu cukup ramai yang diuji. Sekali uji sahaja lulus kerana saya sudah berpengalaman bermotosikal besar.

Sejak memilik lesen B-full saya gunakan motosikal berkenaan untuk berkejar dari satu majlis ke majlis yang lain. Maklumlah YB baharu dan sangat laku. YB-YB di peringkat DUN orang lama, jadi saya terpaksa memenuhi sehingga tujuh majlis sehari pada hari Sabu atau Ahad. Tidak termasuk jemputan majlis perkahwinan Kawasan Parlimen Hulu Langat seluas Melaka dan jalannya pula sangat sesak ketika itu maklumlah lebuhraya macam sekarang belum siap. Maka GS550E itulah menjadi penyelamat.

Ada ketikanya pasukan kompang dan penyambut tetamu terperanjat kerana YB yang ditunggu sudah melepasi mereka. Mereka membayangkan YB akan datang naik Mercedes atau sekurang-kurangnya pacuan empat roda dengan beberapa orang ‘apit lempang’ tetapi YB gempal itu rupa-rupanya naik motosikal besar.

Pernah juga saya tidak dibenarkan masuk ke kawasan parking VIP kerana bermotosiakal. Saya akur dengan jawatankuasa yang mengarahkan saya ‘parking’ di kawasan padang. Setelah buka topi keledar dan jaket serta menyikat rambut, barulah pihak berkenaan terketar-ketar memohon maaf. Saya senyum sahaja.

Pergerakan saya ke hulu ke hilir itu sampai ke pengetahuan Ketua Polis Hulu Langat, Mohmad Salleh. Beliau rakan kenalan rapat ketika sama-sama menuntut di UKM pada 1979-83. Beliau kini dengan gelaran Datuk, adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak. Tuan Mohmad menasihatkan demi keselamatan, eloklah dikurangkan penggunaan motosikal tu… Saya ucap terima kasih kepadanya kerana sangat prihatin, tetapi sambil senyum saya berkata dalam hati…’Alah… Tuanpun pakai motor juga, kapcai lak tu.”

Selain menjadi Ahli Parlimen, saya juga menjadi Pengerusi Gerakan Belia 4B Hulu Langat. Banyaklah kegiataan belia yang dianjurkan dengan sokongan rakan-rakan ahli jawatankuasa dan ahli. Bergerak menggunakan motosikal besar berjaya menarik banyak belia ikut terlibat dalam pelbagai program. Ada yang ikut dengan motosikal kuasa besar… tetapi yang ramai bawa kapcai sahaja.

Anak-anak muda iaitu generasi anak saya, di antara yang sering mengikuti program bermotosikal anjuran Gerakan Belia 4B Hulu Langat.

Motosikal GS550E kesayangan itu terpaksa berpisah dengan saya setelah dipinjam oleh seorang rakan dan kemudiannya bertukar tangan dan nama kepada rakan lain tanpa pengetahuan saya. Demi sahabat tak apalah. Untuk sejukkan hati selepas menjadi Ahli Dewan dan kemudiannya tidak ketahuan, saya membeli yang lain iaitu Kawsaki pula. Saya juga amatsayang pada motosikal berwarna kuning itu, tetapi isteri saya kata,

‘Kita dah tua bang…. Sudahlah tu…. Selang beberapa bulan sahaja, setelah dihempap motosikal berkenaan, dengan berat hati, Kawasaki Vulcan 500 terjual juga. Sekarang dah tak boleh jalan, hanya kenangan menjadi catatan…. -20/11/2010

 

 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 760  tetamu dalam talian