12Disember2019

Agenda Daily

Kalau dah bukan rezeki…

Bulan Ramadhan telah menemukan saya dengan seorang saudara baru yang memperkenalkan namanya sebagai Kamal. Saya sering melihat seorang lelaki Cina berbaju lengan panjang dan seluar serta serban di kepala di antara Sungai Besi dan Plaza Tol Sungai Besi.

Walaupun sering melihat remaja yang menggalas beg pakaian itu pada waktu malam, hanya pada suatu malam Ramadhan saya memberanikan diri berhenti untuk menumpangkan beliau.

Setelah berhenti, lelaki itu yang sebelum ini menunjukkan isyarat mahu menumpang kenderaan berlari-lari anak ke arah saya. Beliau lantas memberi salam dan saya pula menjawab sambil mempelawanya naik kereta.

“Nak ke mana,;; saya bertanya kepadanya dan dia lantas menjawab: “Saya nak balik ke Seremban, tetapi abang boleh turunkan saya kat mana-manapun…. Nanti boleh tumpang orang lain lagi.: Begitu jawapan lelaki berkenaan menyebabkan saya memikirkan dua perkara. Pertama apa maksudnya turunkan di mana-mana dan kedua boleh tumpang orang lain.

“Ah….ini bulan Ramadhanlah…semua syaitan telah dibelenggu,’’ saya cuba menyakinkan diri.

Lelaki itu lantas memperkenalkan dirinya sebagai Kamal. Kamal mahu pulang ke Seremban, tetapi saya hanya sampai setakat Bandar Baharu Bangi - ini bermakna tidak sampai separuh daripada perjalanan Kamal untuk ke Seremban.

“Tak apa bang. Saya boleh turun kat tol Bangi, nanti ada rezeki, selalunya ada orang lain akan tumpangkan saya,’’ kata Kamal penuh yakin.

Kamal terus bercerita bahawa beliau datang ke Masjid Alam Shah dekat Pudu untuk mendalami ilmu Islam. Beliau datang pada waktu tengahari dan pulang selepas isya’. Menurut Kamal lagi, jika beliau dapat menumpang segera, cepatlah dia sampai ke Seremban, jika tidak, ada kalanya sehingga jam 12.00 tengah malam dia masih berada di Plaza Tol Bangi dan jika itu terjadi, bas terakhir ke Seremban pasti akan mengambil beliau.

Begitulah rutin beliau sejak beberapa tahun kebelakangan.

Menurut Kamal, ketika berada di bangku sekolah, beliau adalah seorang yang sangat nakal dan selalu terlibat dalam pergaduhan tetapi beliau sendiri tidak faham bagaimana mendapat dorongan untuk memeluk Islam sehingga menghairankan ahli keluarganya.

“Dulu saya bukan macam ni bang….. Saya selalu gaduh. Macam-macam hal berlaku.tetapi inilah kekuasaan Allah yang maha Esa,’’ ujarnya sambil saya mendengar dengan teliti.

Menurut Kamal, dia juga pernah bermalam di Bangi apabila orang yang menumpangkannya mempelawa beliau bermalam. Macam-macam juga yang sempat beliau ceritakan tetapi yang paling menarik adalah perihal dorongan yang datang dengan tiba-tiba untuk memeluk Islam.

Saya juga mempelawa Kamal bermalam di rumah saya, tetapi dengan sopan beliau menolak kerana telah berjanji untuk pulang ke rumah pada hari berkenaan. Maka beliau turun di Plaza Tol Bangi sebelum meneruskan perjalanan ke Seremban.

Pertemuan singkat dengan Kamal memberi banyak pengajaran kepada saya khususnya tentang kesungguhan beliau untuk mendapatkan ilmu. Beliau sanggup berulang-alik dengan cara menumpang motosikal, kereta, lori, bas atau apa sahaja yang ditawarkan.

Berbulan-bulan dan bertahun kemudiannya, saya masih nampak Kamal di tepi jalan mencuba nasib mendapat pelawaan daripada orangramai yang melalui lebuhraya ke Seremban.

Pengalaman bertemu Kamal juga sering menyebabkan saya meruntun sedih kerana tidak mempunyai semangat seperti saudara baru itu. Ada kenderaan, ada kemampuan dan ada masa, tetapi jika digunakan sepenuhnya sepertimana Kamal memanfaatkan masanya secara maksimum.

Pada suatu Jumaat, oleh kerana tidak banyak perkara yang hendak dilakukan, bersama tiga orang rakan kami berkunjung ke Jugra, di Banting Selangor. Di sana ada beberapa lokasi menarik untuk diziarahi. Pertamanya tentulah Makam Diraja Bukit Jugra di mana disemadikan Almarhum Sultan Abdul Samad serta kerabat baginda.

Di Kampung Bandar pula terdapat sebuah masjid indah yang direkabentuk oleh Almarhum sendiri. Sehingga kini masjid yang tersergam indah itu masih digunakan. Tidak jauh dari masjid itu adalah bekas istana baginda yang telah diubahsuai untuk kegunaan lain.

Dipendekkan cerita, kononnya di masjid berkenaan ada suatu keistimewaan iaitu pada mimbarnya. Mengikut cerita, hanya ahli-ahli kerabat atau keturunan sahaja yang boleh sampai ke puncak mimbar. Jika bukan kerabat setakat anak tangga tertentu sahajalah. Kerana itu jugalah khatib membaca khutbah di tangga sahaja.

Teruja dengan cerita ini, kami pergi ke masjid berkenaan dengan hajat, selepas selesai solat Jumaat, kami nak cuba naik ke mimbar - siapa boleh lepas dan siapa yang tidak.

Selesai sembahyang, kami tidak terus ke mimbar, sebalikya masuk ke dalam kereta kerana jemaah masih ramai. Orang kampung dan beberapa orang jemaah dari luar macam kami masih belum keluar dari masjid lagi.

Oleh kerana sakit pinggang yang dilalui ketika itu, saya duduk di dalam kereta manakala kawan-kawan lain berdiri di luar. Tanpa disedari, seorang lelaki berusia emas yang dalam jangkauan usia 70 tahun terus menghampiri kereta saya sambil membuka pintu dan memberi salam.

Lelaki berkenaan yang berserban putih, kelihatan masih segak, tetapi memegang sebatang tongkat. Beliau terus senyum manakala kami tergamam dan berpandangan sesama sendiri. Dengan bersahaja orang tua berkenaan dengan berbahasa Jawa mengarahkan saya bergerak. Saya hidupkan enjin dan kawan-kawan masuk ke kereta.

Semasa zaman sekolah, saya sering ke Jugra kerana abang ipar saya adalah penghulu mukim di situ. Kebetulan pengalaman tinggal di asrama pula memungkinkan saya bertutur sedikit dalam bahasa Jawa. Dengan bahasa itu juga saya bertanya kepada “Wak” berkenaan dia mahu ke mana.

“Jalan,..jalan, Wak nak balik rumahlah,’’ katanya sambil menghulurkan tongkat kepada saya. “Nah untuk kamu,’katanya.

Saya terus memandu dan oleh kerana Kampung Bandar bukanlah asing bagi saya, saya memandu terus menghala ‘rumah’ Wak berkenaan.

“OK…sini aje….dah sampai rumah Wak,’’ katanya. Saya hentikan kereta bagi membolehkan Wak itu turun. Wak ucap terima kasih dan saya hulur kembali tongkat rotan tadi. Wak itu beria-ia mahu memberi kepada saya tetapi saya pulangkan juga kerana melihat usianya yang agak lanjut itu dan beliau mungkin lebih memerlukan.

Lelaki tua itu mengucapkan terima kasih sambil mengambil kembali tongkat berkenaan mungkin menganggap saya tidak sudi…. Sambil senyum Wak itu melambai tangan tanda ucap terima kasih. Saya pula terus memandu tetapi tiba-tiba saya teringat bahawa tempat Wak turun adalah kawasan kedai - bukan ada rumah di situ.

Saya menoleh ke belakang dan Wak sudah tidak kelihatan. Tempat dia turun tadi hanya ada sebatang pokok rambutan dan beberapa batang pokok pisang. Kawan-kawan yang lainpun terpandang-pandang sesama sendiri.

Salah seorang daripada mereka terus berkata: “La…orang bagi tongkat untuk berjalan baik tak mahu ambil lak, Sekarang mana nak cari Wak tu….hai tolak rezeki betul.”

Sayapun terdiam…mengiakan kata-kata kawan itu tetapi nak menyedapkan hati saya katakan: “Kalau dah bukan rezeki, nak buat macam mana. Saya undurkan kereta tercari-cari Wak tadi….tetapi cuma wangi-wangian yang kami dapat.

Saya terus memandu dan tak jadi naik ke mimbar masjid untuk ‘test’ jika kami adalah kaum kerabat!

Kini, apabila terasa sukar sangat untuk berjalan, teringat juga “Wak’ dan tongkat yang dihulurkannya itu. Apakan daya, walaupun ‘dihulur’ di depan rumah Allah, belum jodoh untuk saya memiliki tongkat berkenaan.-13/9/2009

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 427  tetamu dalam talian