30Mei2020

Agenda Daily

Kad hariraya sudah pupus di Singapura...?

ikon-bad-200-latest BARU Sesungguhnya Allah itu maha besar lagi berkuasa. Jika tahun lalu saya terlantar di katil ketika umat Islam menyambut Ramadhan dan Idulfitri, alhamdulillah tahun ini saya diberi kesempatan untuk menunaikan solat idulfitr dan meraikan hari kebesaran itu sama seperti umat Islam yang lain.  Jika tahun lalu saya hanya menanti ketibaan saudara-mara dan rakan taulan berkunjung dan berziarah ke rumah, kali ini saya diberi kekuatan - syukur ya Allah.

Dengan satu lagi peluang yang diberikan oleh Allah, kali ini saya tiba di masjid di kampung lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya.  Memang perlu pergi awal, bukan sahaja untuk menyertai takbir hariraya, tetapi juga untuk memastikan dapat masuk ke ruang solat masjid sebelum ruang tersebut dipenuhi para pekerja Bangladesh.

Bercerita mengenai jemaah Bangladesh ini, dua tahun lalu, mereka datang berpusu-pusu, menaiki lori, treler dan juga bas kilang selain daripada berduyun-duyun berjalan kaki.  Akibatnya, kawasan masjid sesak, amil kehabisan resit untuk menerima zakat fitrah dan banyak juga jemaah tempatan yang tidak dapat menunaikan solat kerana bukan sahaja ruang masjid penuh sesak, malah tempat pakir juga digunakan tetapi tidak dapat menampung jumlah jemaah.

Itu baharu jemaah Bangladesh - belum diambilkira lagi yang dari Indonesia dan sebilangan kecil dari Nepal dan Myanmar. Jemaah di kampung sebenarnya tidaklah banyak sangat. Yang meramaikan adalah anak-pinak yang kembali ke kampung dan meninggalkan rumah di kota Kuala Lumpur.  Maklumlah solat setahun sekali. Walaupun hukumnya hanya sunat, namun semua orang berebut-rebut mengerjakannya. Alangkah manisnya jika keadaan itu juga berlaku pada setiap Jumaat yang solatnya dihukumkan wajib.

Kebetulan, pada hari Jumaat lepas saya sekali lagi pulang ke kampung dan mendapati jumlah jemaah solat Jumaat tidak sampai separuhpun daripada solat idulfitri. Jemaah Bangla bagaimanapun tetap ramai.

Di sebalik cerita jemaah Bangladesh ini, ada sesuatu yang menarik untuk dicatatkan dalam ruangan ini.  Pada pagi raya, kami adik beradik terasa terpegun melihat beberapa orang pekerja Bangladesh berderet-deret berjalan kaki ke masjid melalui rumah kami. Bukan berjalan itu yang menarik, tetapi pakaian mereka. Kesemuanya memakai baju Melayu - mereka tidak lagi memakai pakaian khaki, pakaian tradisional mereka di negara asal.

Lebih menarik lagi, ada pula yang memakai songkok walaupun kelihatan sedikit ganjil.  Tiba di masjid, didapati lebih ramai lagi yang memakai baju Melayu.  Walaupun tanpa samping, yang membezakan mereka dengan jemaah tempatan, mereka tetap kelihatan kacak.

Datang ke masjid terus ke ruang solat - berbeza dengan jemaah tempatan yang mengembil kesempatan bersalam-salaman dan bertanya khabar terlebih dahulu. Yang agak menarik lagi, selepas solat dua rakaat, mereka tidak meninggalkan masjid, tetapi terus duduk mendengar khutbah pula. Tak tahulah samada mereka memahami khutbah yang disampaikan dalam bahasa Melayu, atau sebaliknya. Seperti biasa, masih ada jemah tempatan yang terus bangun dan meninggalkan masjid tanpa mendengar khutbah.

Bercerita mengenai rakyat Bangla yang memakai baju Melayu, terasa aneh sekali apabila melihat rakyat negara ini yang tidak berbuat demikian.  Walaupun sambutan idulfitri tiada kaitan dengan baju Melayu, namun dari segi budaya ia sudah menjadi kelaziman orang Melayu berbaju Melayu.  Seperti yang disebut oleh artis 'evergreen' tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan dalam satu program di tv, perbezaan paling nyata mengenai sambutan hariraya dahulu dan kini adalah mengenai pemakaian baju Melayu.

"Dahulu...dalam masa seminggu, orang masih pakai baju Melayu. Di salin setiap hari, tapi sekarang mereka pakai baju Melayu untuk sembahyang sahaja.  Selepas sembahyang tukar baju... itulah perbezaan paling nyata,'' kata penyanyi veteran itu.

Menyentuh mengenai pemakaian baju Melayu teringat pula mengenai saudara yang berkunjung dari Singapura.  Walaupun sudah lima hari berada dalam bulan Syawal, beliau tetap berbaju Melayu. Isteri, anak-anak dan menantu juga berbaju Melayu dan berbaju kurung. Terasa macam hari raya pertama pula.  Saya pula yang naik malu pada diri sendiri kerana ketika itu memakai baju kemeja-T sahaja.

Saudara dari Singapura ini menucapkan terima kasih kepada isteri saya kerana telah menghantarkan kad ucapan selamat hariraya kepada keluarganya.  Beliau begitu beria-ia benar memohon maaf kerana tidak dapat membalas kad ucapan tersebut.

Menurutnya di kota singa itu kad ucapan hariraya sudah tidak dijual lagi.  Katanya, dia berusaha juga mencari di sekitar kota kosmopilitan itu tetapi pastilah tidak ada lagi orang menjual kad ucapan hariraya.

Apabila beliau menceritakan hal sekecil ini, kenangan saya terus melayang kepada persoalan yang lebih besar di Singapura iaitu perihal Istana keluarga Raja Hussin di Kampung Gelam yang akhirnya sudah 'tenggelam'.  Kawasan istana tradisi ini tidak jerlus atau ditelan ombak laut, tetapi tenggelam dari sejarah lama kerana ia telah diambilalih oleh kerajaan negeri itu dengan alasan menjadikannya kawasan warisan.

Mula-mula kad hariraya tidak dijual lagi... kemudian mungkin sambutannya tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya sebutan sahaja.  Kasihan orang kota singa yang menjadi pewaris Hang Nadim..... kanak-kanak bijak yang dinyahkan kerana kebijaksanaannya mencadangkan batang pisang sebagai ganti betis untuk mencacak atau perisai menghalang serangan ikan todak di pantai.

Untunglah orang Melayu dan Islam di Singapura yang masih mempunyai saudara-mara di Malaysia.  Boleh juga berkunjung untuk merasakan keriahan berhariraya di sini.
Di sana nak bakar lemangpun susah, apatah lagi mengacau dodol, jauh sekali berpesta panjut (pasang lampu) yang sangat popular di beberapa tempat di negara ini khususnya di Perak.

Nak mendengar bunyi meriam tak tak ada. Di Malaysia masih ada.... main mercun yang bukan tradisi dan budaya Melayu, pun masih ada walaupun dilarang oleh pihak berkuasa.  Saya tak tahu samada acara takbir dari rumah ke rumah yang menjadi amalan pada malam sebelum hariraya di Malaysia masih diamalkan di sana atau sebaliknya.  Di Malaysia, ia menjadi tradisi dan ada ketikanya membawa ke awal pagi kerana ada banyak rumah yang hendak dikunjungi.

Tahun ini, saya ikut serta dalam majlis takbir dari rumah ke rumah di kawasan perumahan tempat kami sekeluarga tinggal.  Oleh kerana ada banyak rumah yang hendak dikunjungi, kami berpecah kepada empat kumpulan supaya setiap kumpulan berkunjung ke 10 atau 12 buah rumah sahaja.  Kebetulan bagi kumpulan pertama, takbir dari rumah ke rumah bermula di rumah saya.

Sekali lagi..dalam kumpulan di sekitar rumah saya ada perkara yang menarik. Menariknya, dalam kumpulan kami ada juga rakyat Bangladesh. Selain daripada mereka, ada juga rakyat India.  Mereka ikut serta dalam takbir walaupun ada ketikanya 'terbabas' juga. Salah seorang penduduk kawasan perumahan kami adalah orang Arab.  Maka dapatlah kami merasakan suasana berhariraya dengan orang Arab walaupun tidak berada di negara Arab.

Amat menarik berkunjung ke rumah jiran ini kerana kami bertakbir di halaman yang terbuka - budaya berbeza dengan masyarakat tempatan yang pasti bermajlis di dalam rumah. Inilah hakikatnya, idulfitri bukanlah sambutan utama bagi orang Arab kerana bagi mereka yang besar adalah iduladha. Menarik juga takbir dari rumah ke rumah di kawasan perumahan kami kerana selain daripada yang berasal dari Selangor seperti saya sendiri, ada penduduk berasal dari Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Maka dapatlah merasa masakan tradisi negeri-negeri berkenaan.

Namun ada seperkara yang menarik, ketika semua orang sibuk balik berhariraya ke kampung, ada juga seseorang yang pulang ke kampungnya di Kuala Lumpur!

Walau apapun keadaan sambutan, yang penting kita telah tunaikan tanggungjawab selama sebulan dalam bulan Ramadhan.  Saya ambil kesempatan mengucapkan selamat hariraya. Maaf zahir bathin pada semua.-6/9/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 329  tetamu dalam talian