23Februari2020

Agenda Daily

Isteri terima ucapan takziah....

ikon-bad-200-latestBARU "Saya sekeluarga ucapkan takziah kepada Datin. Semoga bersabar. Kami berada di Kelantan..." begitulah lebih kurang ucapan takziah yang diterima oleh isteri saya ketika beliau sedang bekerja di pejabat, di ibukota Kuala Lumpur. Ucapan itu diterima melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbitnya kira-kira sebulan yang lalu.

Terkejut dan tergamam beliau menerima pesanan tersebut. Mana tak tergamam...suami meninggal... mendapat pesanan daripada seseorang yang jauh di Kelantan. Anak-anak dan kaum keluarga tidak pula menghubungi beliau.  Bagaimanapun beliau tidak panik dan tidak pula pengsan mendapat ucapan takziah itu.

Beliau cuma tertanya-tanya siapa yang menghantar SMS tersebut dan siapa pula yang meninggal dunia sehingga ada yang mengucapkan takziah..?  Isteri saya terus tenang walaupun beliau terus tertanya-tanya.

Hanya kira-kira pukul 6.15 petang pada hari berkenaan segala pertanyaan yang berlegar di fikirannya terjawab.  Ketika itu, isteri saya sedang berada di dalam keretapi komuter dalam perjalanan pulang ke rumah.  Saya menelefonnya memberitahu saya akan terlewat sedikit untuk menjemputnya di stesen keretapi kerana ketika itu sedang berada di tanah perkuburan.

Beliau lantas bertanya siapa yang meninggal dunia (Dah pasti bukan saya seperti yang dikhabarkan melalui SMS). Saya beritahu, sahabat lama dan jiran kami di Mutiara Bangi iaitu Badrulzaman. Saudara Badrulzaman memang kenalan lama iaitu sejak tahun 1983 lagi ketika saya bertugas di Pejabat Perhubungan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi.

Saudara Badrulzaman ketika itu berurusan dengan pejabat saya selaku pembekal kain songket dan urusan perniagaan lain. Apabila saya berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu, hubungan kami terputus seketika tetapi apabila saya menjadi Ahli Parlimen Hulu Langat, kami bersua kembali.

Selepas bersara daripada perkhidmatan, secara kebetulan kami pindah ke kawasan perumahan yang berhampiran dan kami sering bertemu ketika ke surau dan majlis-majlis tertentu.  Kebetulan lagi, anak lelakinya berkawan rapat pula dengan anak lelaki saya..

Hampir waktu maghrib, jenazah sahabat itu selesai dikebumikan dan saya rasa, itu adalah di antara pengurusan jenazah yang agak cepat diuruskan kerana sahabat berkenaan meninggal sekitar 2.00 petang dan disembahyangkan selepas solat asar dan selesai pengkebumian sebelum maghrib.

Sebagai sahabat, saya rasa lega dapat memberi sedikit bantuan kepadanya. Saya sediakan kereta jenazah yang kini dikendalikan oleh Kelab Pertahanan Awam Hulu Langat. Jenazahnya juga disemadikan di tanah perkuburan yang saya usahakan ketika menjadi ahli parlimen dahulu.

Selang dua minggu kemudian, baharulah saya berkesempatan menemui semula sahabat yang menghantar SMS kepada isteri saya. Dia minta maaf berkali-kali kerana terhantar pesanan ringkas tersebut. Berkali-kali beliau bersalam dan memeluk saya. Menurut sahabat ini, beliau pada awalnya menerima SMS daripada seorang jiran yang hanya menyebut Badrul telah kembali ke rahmatullah.

Sebagai kawan lama beliau lantas terfikir sayalah yang telah meninggal dunia. Kamipun memang sudah lama kenal.  Ketika saya menjadi Penolong Pengarang Berita di Utusan, beliau menjalani latihan amali bagi sebahagian daripada kerja kursusnya untuk mendapatkan ijazah dari UKM.

Sejak itu beliau menjadi rakan saya. Apabila kemudiannya menjadi jiran di kawasan perumahan yang sama, ikatan persahabatan kami semakin rapat. Sudah pasti dia menduga sayalah yang meninggal dunia kerana sejak dua tahun lalu, saya telah 'berehat' beberapa kali di Hospital Serdang. Malah, tahun lalu, saya tersadai selama tiga bulan di hospital dan tentulah banyak yang tidak menduga saya akan kembali sihat.

Pernah suatu ketika saya sendiri berdoa kepada Allah supaya menghentikan sahaja denyutan jantung kerana tidak tertahan lagi dengan dugaan yang amat mencabar itu.  Seperti yang pernah saya tulis dalam ruangan ini, mujurlah ahli-ahli keluarga memberi sokongan yang amat kuat. Rakan saya semasa di sekolah dahulu, Azahari Ahmad memberikan kuliah panjang lebarnya bagaimana menghadapi dugaan itu.  Begitu juga Tan Sri Dr. Kamal Salleh, seorang lagi jiran yang kerap datang memberi motivasi dan semangat untuk meneruskan sisa hidup ini.

Menurut sahabat yang menghantar SMS itu, hanya beberapa jam kemudian beliau mendapat SMS daripada seorang jiran yang lain menyatakan dengan jelas yang meninggal dunia adalah Badrulzaman.  Begitulah perihal yang dilalui....

Sebelum daripada berita kematian ini, semasa masih di Utusan Melayu, isteri saya juga pernah menerima panggilan kononnya dari Hospital Kuala Lumpur.  Sipemanggil menelefon kerana mahu menyampaikan pesanan kepada saya. "Tolong beritahu Badrul, isterinya sedang dirawat di HKL." Begitulah bunyinya.

Alamak, apa maknya tu....?  Maknanya saya ada isteri selain daripada yang menjawab telefon.  Jahanam beb... macam-macam yang melayang. Seminggu bermasam muka. Makanpun sering di kedai je...

Peristiwa ini berlaku, semasa saya baharu je dilantik sebagai Pemangku Ketua Pemberita selepas berkhidmat hanya kira-kira empat tahun di Utusan.

Di Utusan juga, saya dikhabarkan berkahwin seorang lagi. ''La kak.. kad jemputanpun dah keluar.." begitu pula timbul cerita kononnya Badrul Hisham Abdul Aziz berkahwin seorang lagi.  Inilah gara-gara kurang periksa.  Memang benar Badrul Hisham di Utusan berkahwin - tetapi kali pertama kerana yang bakal mendirikan rumahtangga ketika itu adalah Badrul Hisham Hassan. Badrul Hisham Abdul Aziz dah berkahwin ketika masih bergelar mahasiswa.....

Demikianlah kisah kematian saya....kalau benar-benar mati... takde lah lagi catatan ini... (Ya Allah pohon terus panjangkan usiaku untuk menebus dosa kerana banyak sungguh dosa yang tak terlupus..)-26/11/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 245  tetamu dalam talian