14Julai2020

Agenda Daily

“Hok gemokni sapo dio,’’ tanya Nik Aziz...

Pilihanraya 1986 meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam hidup saya sebagai wartawan, kemudiannya ahli dewan dan kini berakhir dengan tidak ketahuan. Kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah tugasan membuat liputan pilihanraya umum di Kota Baharu ketika itu adalah pengalaman pertama kali saya menjejak kaki ke Kelantan.

 

Ketika itu baru kira-kira 30 bulan saya berkhidmat sebagai wartawan. Pengarang Rencana Utusan, Chamil Wariya (kini Datuk) pada mulanya ditugaskan ke Kelantan, tetapi khidmatnya lebih diperlukan di ibupejabat, entah macam mana, nama saya pula yang timbul. Sahabat karib saya, Kamal Zailani pula ditugaskan ke Kuala Terengganu, membantu rakan-rakan di sana.

Oleh kerana tidak pernah ke Kelantan, saya mengajak seorang rakan yang bertugas di perpustakaan Utusan, Azmi Bidin menemani saya. Azmi adalah abang kepada rakan sesekolah iaitu Azman Bidin. Azmi mengambil cuti selama lima hari dan kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur pada awal petang.

Ketika itu saya memandu van yang baru dibeli (van merah yang pelbagai catatan telah dibuat mengenainya dalam ruangan ini) dan perjalanan ke Kota Baharu adalah ‘long journey’ yang pertama. Kami menggunakan laluan Lipis ke Gua Musang sebelum ke Kota Baharu.

Oleh kerana terlalu leka memandu, maklumlah ibarat dapat orang baru, saya terlupa untuk mengisi minyak ketika sampai di Lipis. Akibatnya, apabila sampai di Merapoh, hati mulai gusar kerana meter tangki menunjukkan minyak sudah amat berkurangan. Untuk menjimatkan minyak, kami buka cermin dan tidak memasang pendingin udara.

Sebelum jam 6.00 petang, mesti sampai di Gua Musang kerana jalan raya yang baru dibuka itu akan ditutup pada sebelah malam. Kami bergerak perlahan-lahan sehinggalah ternampak kenderaan polis yang membuat rondaan. Saya menahan kenderaan pacuan empat roda itu dan empat orang anggota polis berada di dalamnya.

Saya menerangkan masalah yang dihadapi iaitu kekurangan minyak kepada seorang anggota yang berpangkat sarjan. Sarjan itu menerangkan bahawa perjalanan agak jauh lagi dan pihaknya hanya boleh membantu sekadar segelen minyak yang dibawa dalam kenderaan.

Segelenpun segelenlah…. Kami ambil dan masukkan ke dalam tangki. Selepas itu kami ‘hulur’ duit minyak tetapi mereka tidak mahu mengambilnya kerana minyak itu memang dikhaskan untuk kenderaan yang terkandas. Selepas mengucapkan terima kasih… kami berlalu tetapi sarjan berkenaan sempat memberitahu:

“Kalau habis (minyak) nanti… don’t worry, kami akan menjadi kenderaan terakhir sebelum jalan ini ditutup..’’

Lega rasanya, tetapi perut masih terasa senak kerana kami tidak mengetahui jarak sebenarnya sebelum sampai ke Gua Musang untuk mengisi minyak kemudiannya.

Kami selamat sampai ke Gua Musang dan saya isi minyak hinggakan melimpah-limpah keluar. Cukup takut jika tak cukup lagi, maklumlah Kota Baharu masih jauh dan kami pula seorangpun tak tahu jalan – ikut papan tanda je..!

Malam itu, setelah dicampur waktu makan, bertemu rakan tempatan yang boleh dijadikan jurutunjuk lokasi, hampir tengah malam barulah kami sampai di Banglo Utusan terletak di Jalam Bayam. Wartawan veteran, Saroji Mokhtar menuggu kami untuk menunjukkan pejabat dan juga ‘suite’ di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Oleh kerana terlalu mengantuk dan letih, saya mengucapkan terima kasih kepada Saroji dan berjanji berjumpaya esok pula.

Sebagai orang yang pertama kali ke negeri Cek Mek Molek itu, dialek mereka adalah masalah utama. Dieja kota, disebut koto. Jadi apabila wakil negeri, Wan Ahmad Wan Hassan memberi saya ‘assignment’ di Kampung Koto , saya bertanya sama ada, ‘Kota’ atau ‘Kotor’ ?

“ Koto lah, koto…. K.o.t.a. (mengeja), Koto ,’’ katanya memberi penjelasan, tetapi saya tambah berserabut.

Apabila sudah biasa, dalam masa lima atau enam hari, saya sudah boleh bergerak lebih jauh. Sebelumnya, nak ke Pasir Mas terdorong ke Pasir Putih.

Suatu hari, Ketua Pengarang (Datuk Seri) Zainuddin Maidin mengarahkan dari ibu pejabat supaya saya mencari Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sehingga dapat dan menemuramahnya mengenai peluang Pas memenangi pilihanraya peringkat negeri. Ini ekoran satu laporan akhbar The Star yang menyebut Pas sedang mendaki bukit kejayaan di Kelantan.

Ketika itu, Pas telah mengarahkan ahli dan penyokongnya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian kerana menyifatkan kedua-dua akhbar milik UMNO itu berat sebelah dan terlalu teruk! Maka banyaklah akhbar yang dibakar di negeri itu, tetapi mereka bakar selepas membacanya.

Bayangkan betapa sukarnya hendak memperkenalkan diri, apatah lagi memakai kad wartawan yang terpampang nama Utusan Melayu. Pada hari ketiga berada di pantai timur, sahabat saya Kamal Zailani menelefon dari Kuala Terengganu memberitahu bahawa kereta Proton Saga milik bapanya yang beliau pinjam telah kemek di bahagian depan.

Kata Kamal, kereta itu dihentak dengan kayu apabila penyerang menyedari beliau adalah wartawan Utusan. “Nasib baik kena kereta, kalau kena kepala…..” ujar Kamal.

Mendengar rungutannya itu, saya semakin gentar untuk meneruskan tugasan mencari Nik Aziz sehingga dapat. Dalam hati, terfikir juga nak cari di mana?

Rupa-rupanya, Zainal Epi dari The Star (sekarang NTV7) dan (Datin) Rose Ismail dari New Straits Times pun nak mencari Nik Aziz juga. Kami bincang-bincang bagaimana hendak mendapatkan Tuan Guru itu.

Khidmat Saroji Mokhtar diperlukan sekali lagi. Kami bawa beliau menaiki van merah dan beliau menunjukkan dari jarak jauh rumah Nik Aziz di Kampung Pulau Melaka. Banyaknya orang di sana tak tahu nak kata.

Pada sebelah petang, kami kembali lagi tanpa Saroji. Orang semakin ramai di sekitar rumah Tuan Guru. Yang berada di Madrasahpun ramai juga. Sebelum dapat menghampiri rumahnya, kami terpaksa melalui proses tapisan oleh para penyokong parti.

Jika mengaku wartawan, diperlukan membuktikan dengan mengeluarkan kad pengenalan masing-masing. Itulah yang dilakukan oleh Zainal Epi dan jurufotonya serta Rose. Zainal Epi menjadi ‘ketua’ dan apabila sampai giliran saya disoalsiat, saya memperkenalkan diri sebagai pemandu kepada Zainal… maka dapatlah saya membolosi sekatan berkenaan. Tak berani langsung nak mengaku wartawan Utusan.

Namun, ombak di dada, hanya Allah sahaja yang tahu..! Maklumlah, sebelum masuk ke perkarangan tersebutpun, semua mata tertumpu pada kami.

Nik Aziz masih menyampaikan kuliah agamanya, walaupun ketika itu orang lain sibuk berkempen. Itulah pertama kali saya melihat beliau secara bersekemuka. Selesai kelasnya, seorang pembantunya memperkenalkan kami.

Zainal Epi rupa-rupanya memang sudah lama mesra dengan Tuan Guru dan tidak banyak masalah kumpulan kami menemui beliau pada petang itu… Jurufoto The Star dan Rose memperkenalkan diri masing-masing.

“Hok gemokni sapo dio,’’ tanya Nik Aziz sambil melemparkan senyuman meleret kepada saya dan mempelawa kami duduk.

Apa pilihan yang ada..? Sayapun jawab: “Drebar uztadz” dan Zainal Epi mengangguk-anggukkan kepalanya. Sekali lagi degupan jantung saya semakin laju, maklumlah yang dibohongi adalah tuan guru! (Maafkan saya Tuan Guru..terpaksa bohong demi tugas).

Tatkala Zainal dan Rose menemuramah Nik Aziz, saya hanya berdiri sambil berpeluk-tubuh sahaja – maklumlah drebar. Lama juga sesi temuramah itu dan apabila selesai, kami kembali ke pejabat masing-masing dalam van merah yang sama.

Sambil memandu, kami berbincang mengenai apa yang hendak ditulis. Esoknya….. laporan saya dengan terpampang ‘byline’ (nama wartawan penulis berita )) , menghiasi muka surat depan Utusan Malaysia. Laporan Zainal dan Rose, di muka depan juga, tetapi bukan berita utama.

Melihat byline bersama laporan yang ditulis oleh ‘drebar’ tadi, perut saya jadi senak dan kepala mulai pusing. Saya baru turun dari tingkat atas tempat penginapan ke pejabat. Van merah saya letakkan di luar banglo setiap malam kerana tidak mahu menganggu tugas lori yang menghantar akhbar pada awal subuh.

“Manoo Badrul Ise ni...?’’ tiba-tiba kedengaran seorang lelaki dengan berangnya memegang parang panjang memasuki pejabat Utusan di Jalan Bayam. Saya pula kebetulan sedang tunduk kerana membetulkan tali kasut. Mendengar teriakan lelaki bersuara garau itu, saya terus mencangkung di bawah meja – nasib baiklah meja tu luas.

Nasib baik lagi, beliau tidak terlihat saya, tetapi saya dapat melihat parang panjang yang berkilau-kilauan. Entah macam mana, seluar saya tiba-tiba terasa panas, tetapi Saroji yang cuba menenangkan lelaki berkenaan tentulah lebih panas.

Dengan sopan santun, Saroji memberitahu lelaki berkenaan bahawa Badrul Hisham telah pulang ke Kuala Lumpur dan hanya laporannya diterbitkan di Terengganu. Walaupun merungut-rungut, lelaki itu akhirnya meninggalkan kami berdua.

Dalam masa 20 minit, insiden itu telah dimaklumkan ke ibupejabat dan saya terus meninggalkan Banglo Jalan Bayam dan berpindah ke hotel yang berhampiran. Seorang kenalan yang beria-ia benar hendak menjadi stringer (pemberita sambilan) menemani ke mana sahaja saya pergi.

Sejak pagi itu, hidup saya tidak tenteram lagi. Ke mana-manapun, saya tidak berani memperkenalkan diri sebagai wartawan Utusan. Akhirnya, tiga hari sebelum hari mengundi, dengan izin Zainuddin Maidin, saya cabut pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan pulang, singgah di Kuala Terengganu untuk bercerita panjang dengan Kamal Zailani.

Kamal Zailanipun ada banyak juga cerita untuk dipanjangkan kepada saya. Kini, kedua-dua kami tidak lagi berkhidmat dengan Utusan, tetapi kenangan kami tetap menjadi sejarah yang sangat berharga.- 28/1/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 400  tetamu dalam talian