27Februari2021

Agenda Daily

Halimah ...seorang ibu yang istimewa

adlan2Sepanjang bulan Ramadhan, oleh kerana tidak banyak kegiatan nak dilakukan, saya menggunakan masa terluang untuk berinteraksi dalam facebook. Yang paling sering dilayari tentulah Alumni Yayasan Selangor dan ADLAN - ringkasan kepada Asrama Dr. Latiff Alumni Network. Kedua-duanya adalah laman milik bekas pelajar Yayasan Selangor. Alumni dipelopori Persatuan Alumni Yayasan Selangor (PAYS) manakala ADLAN oleh anak-anak Yayasan Selangor (YS) yang pernah berteduh di bawah Asrama Dr. Latiff di Pesiaran Gurney, Kuala Lumpur.

Asrama Dr. Latiff mengambil nama anak Melayu yang pertama menjadi doktor di negara ini, adalah asrama pertama YS yang dibuka pada tahun 1971 atas daya usaha dan pandangan jauh Datuk Harun Idris yang ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor. Saya memasuki ADL pada tahun kedua dan diberi kesempatan belajar di Victoria Institution. Walaupun anak
kampung Ulu Yam pertama menjejak kaki ke sekolah terkemuka itu, abang sepupu bernama Datuk Mustapha Ali sudah menjadi kapten sekolah berkenaan pada tahun saya dilahirkan!

Berada di asrama dalam usia 12 tahun adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Jika sebelumnya tak pernah basuh baju, apatah lagi seminggu sekali wajib cuci cadar dan selimut, kini terpaksa lakukannya sendiri. Dah tu kena gosok sendiri juga. Pendek kata, serba-serbi kena buat sendiri kecuali yang berkaitan dengan urusan makan-minum.

Mengenai makan... menu yang paling diingati di asrama itu tentulah hidangan pada hari Rabu iaitu sambal ikan jeket (cencaru), sambal tumis ikan bilis dan masak lemak buah labu.  Yang pasti menjadi rebutan tentulah masak lemak labu.  Tatkala menunggu giliran mendapat nasi, ada yang dah tuang kuah labu dahulu.... Nasib baiklah makcik-makcik pelayan sentiasa tidak keberatan menambah kuah. Kuah sahaja. Labu tak ada!

Demikianlah perihal kami di asama itu di antara tiga hingga ke lima tahun.  Menu malam boleh tahan sedikit iaitu ayam kurma pada hari Sabtu dan daging serta ikan tertentu pada hari-hari lain.  Kalau ada minum malam (supper), jaga-jagalah apabila dapat kopi-o bersama biskut kering.  Biskut kering tu tak jadi masalah, yang menjadi masalah adalah kopi-o yang boleh bertukar menjadi kopicap jika ada yang leka.

Datuk Jamil Maah, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya yang memasuki ADL ketika berada di tingkatan empat dan beliau di tingkatan lima ketika saya freshie di asrama itu, baru-baru ini menghantar SMS kepada saya mengenai perihal terminum kopicap. "Pantang leka..tak pandang kejap je kopi dah dituang kicap...jadilah kopicap,' kata beliau yang amat mesra dipanggil abang Jamil.

Begitulah kenakalan kami ketika itu, tetapi saya nak jelaskan bukan saya yang tuang kicap ke cawan abang Jamil sebab kami duduk di meja yang berlainan. Namun, rasa-rasanya, Dr. Abdullah Sani, pakar ENT di HUKM yang duduk semeja makan dengan saya pernah menikmati minuman berkenaan.

Dalam usia seawal 12 tahun, kami bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Ada yang menangis. Ada yang panjat tingkap kerana nak balik dan ada juga yang utus surat setiap minggu.  Seminggu sekali kira keraplah sebab kirim mengambil masa tiga hari dan nak terimapun tiga hari lagi. Semasa tu mana ada telefon bimbit. Ada telefon awampun, bukannya tahu nak gunakan. Maklumlah datang dari Kampung Ulu Kalong dalam mukim Ulu Yam dan daerahnya pula Ulu Selangor.

Bagaimanapun, kami tetap terbela kerana ada seorang matron yang sifat keibuannya mengatasi segala-galanya.  Walaupun mempunyai enam orang anak, matron ini Puan Halimah Karnawi yang kami panggil Ibu tersangatlah mengambil berat mengenai kami.  Ibu tunggal ini terpaksa meninggalkan rumahnya di Kampung Melayu Ampang seawal 5 pagi untuk memastikan kami, anak-anaknya di asrama bersarapan pagi dengan sempurna.

adlan3Ibu juga akan pastikan tidak ada yang tercicir atau tertinggal bas. Kalau bas tak datang, beliau jugalah yang akan ke hulu ke hilir menguruskannya.  Selesai anak-anak bersekolah sesi pagi, beliau menguruskan anak-anak yang bersekolah petang pula. Beliau akan pastikan kami dan Penguasa Cikgu Samad Kahar menikmati sarapan yang terbaik seperti telur rebus separuh masak dan dua keping roti.  Cikgu Samad akan makan apa juga menu yang dihidangkan kepada kami walaupun dapurnya berasap juga di rumah. Tujuannya untuk memastikan kami benar-benar dapat sajian yang sempurna.

Tanggal 25 September 2011, ADLAN mengadakan sambutan hariraya idulfr di rumah Ibu Halimah di Kampung Melayu Ampang. Tahun lalu kami buat juga acara yang sama. Pada tahun ini, ada anak-anak YS yang pernah tinggal di Asrama Tun Dr. Ismail (ATDI) terbaca di facebook mengenai majlis anjuran ADLAN itu. Maka adalah seorang wakil menulis kepada saya lebih kurang begini katanya: "Bang... walaupun kami tak tinggal di ADL, Ibu Halimah tu ibu kami juga... jemputlah kami sekali..'  Saya terus menghubungi urusetia majlis dan orang kuat ADLAN, Aziz Shahrin
terus pelawa dalam facebook ADLAN.

Maka pada tarikh yang dijanjikan, lebih 300 anak YS khususnya ahli ADLAN hadir mengunjungi ibu kami.  Ibu Halimah ternyata gembira dan linangan air mata menjadi saksi betapa gembira dan terharunya kerana anak-anak belaannya pada 1970an hingga 1980an masih mengingatinya.

"Inilah harta ibu... anak-anak yang berjaya. Ibu sangat bangga dengan kejayaan kamu semua..." itulah kata-kata yang sering diucapkan ibu kepada setiap ratusan anaknya yang bersalaman, memeluk, mencium tangan, malah pipinya juga sambil terus memberikan kata-kata semangat.

Pertemuan noltalgik di rumah Ibu itu amat mengusik kenangan lama apabila Aziz Shahrin menghimbau kenangan dengan menempah menu hari Rabu untuk juadah tengahari berkenaan.  Seperti juga 40 tahun lalu, masak lemak labu menjadi pilihan.  Mereka yang pada mulanya kata dah kenyang kerana datang jam 4.30 petang, tetapi menjamu selera dengan menu berkenaan. Seorang rakan media yang katanya amat kenyang, tiba-tiba bersuara: "Sorry bro, aku nak tambahlah."

Sepanjang lima enam jam di rumah ibu, kebanyakan daripada kami menghimbau kenangan lama. Maka teringatlah akan guru agama kami Uztadz Shaifuddin yang turut hadir pada sebelah tengahari tetapi ramai yang tak sempat jumpa dengannya.  Ada juga kenangan terhadap penguasa dan penolong penguasa yang lain.  Seorang rakan dari ADL yang tidak akan lupa mengenai penguasa ADL kerana cucu Cikgu Samad menjadi isternya, turut mengenang nostalgia lampau.

Ibu Halimah dalam usia lanjut dan berkerusi roda tetapi mengingati latar belakang dan sejarah kami jelas gembira setiap kali anak-anak asramanya tiba. Seperti juga kehadiran tahun lalu, yang datang dengan kereta mewah menjalar termasuk Porshe, Ibu Halimah hanya melempar senyuman puas dan tumpang gembira.  Walaupun dia hanya berjawatan matron yang menjaga hal ehwal dan kebajikan kami, namun beliaulah ibu sejati.

adlan650

Sebahagian daripada anak-anak Ibu Halimah merakam kenangan bersama beliau pada 25 September lalu. Gambar atas, Uztadz Saifuddin (bersongkok) turut mengunjungi Ibu Halimah sempena sambutan idulfitr anjuran ADLAN.  Gambar atas sekali Ibu Halimah menyambut ketibaan anak-anaknya dengan senyum gembira

 

Saya sendiri amat merasainya. Dalam usia 12 tahun saya dah beribukan Halimah Karnawi. Saya kemudiannya menumpang di rumah abang dan kakak selepas keluar dari ADL dan kemudian sambung lagi tinggal di asrama sehinggalah mendapat dua orang anak di universiti, saya masih duduk di asrama.  Pada hari konvokesyen pada tahun 1983, ibu saya sudah tiada... yang hadir cuma bapa dan isteri.  Pada sebelah petangnya saya menghadap Ibu Halimah di ADL.

Pada tahun 1996 dua minggu saya tersadai di Hospital KL tetapi langsung tidak memberitahu Ibu Halimah. Lama kelamaan, dia dapat tahu juga melalui anak-anak asrama yang lain.  Beliau marah dan menegur saya kerana tidak memberitahunya.  Ditakdirkan pada tahun 1998 saya tersadai pula di Hospital Ampang Puteri selama 27 hari.  Hoapital itu amat hampir dengan kediaman Ibu.  Siibu inilah yang menanak bubur dan masakkan sup ayam untuk saya.  Ketika itu beliau masih sihat.  Selang beberapa hari, ibu datang lagi. Semasa di asrama, kalau sakit, siibu ini jugalah yang membawa kami naik bas Sri Jaya ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Dahlah dia hantar, tambang baspun gunakan duit Ibu.

Lebih setahun lalu, tersadai di Hospital Serdang pula. Ibu Halimah walaupun berkerusi roda tetap datang menziarahi saya.Dia datang dengan linangan air mata sambil membaca ayat-ayat suci.  Beliau nyata terkejut melihat saya hanya boleh menggerakkan tangan dan kepala dan boleh bertutur sedikit. Tatkala mahu pulang jelas terbayang betapa beratnya hati nak meninggalkan saya...

Saya teringat pada majlis Hari Ibu yang diadakan sebelum saya tersadai di hospital. Pada majlis itu saya hadiahkan puisi khas untuk Ibu Halimah yang saya garap sendiri untuk mengenang jasanya. Puisi itu saya letakkan di dalam fail atau skrol ijazah pertama saya kerana beliau berhak berkongsi kejayaan saya.  Saya percaya, ratusan anak asrama yang beribukan Puan Halimah berkongsi pendapat dan perasaan dengan saya mengenai ibu istimewa ini.

Semoga akan ada ibu-ibu lain yang dapat menjejaki Ibu Halimah, ibu bertuah dan istimewa bagi ratusan anaknya di ADL, ATDI dan juga Asrama Toh Puan Norashikin.  Anak-anak kandung ibu, khususnya Kamal, yang terpaksa ditinggal-tinggalkan semasa kecil hinggakan tidak mesra dengan ibunya, adalah anak-anak yang lebih bertuah kerana walaupun dibesarkan oleh ibu tunggal, anda semua turut berjaya. Terima kasih ibu....- 2/10/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 363  tetamu dalam talian