28Mei2020

Agenda Daily

Gelabah…gabra…dan macam-macam


Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin (pegang buku) pun mungkin masih berdebar-debar menanti pengumuman oleh Menteri Besar Kedah siapa bertanding atau sebaliknya.

Selasa 19 Februari 2008 menjadi hari berdebar-debar bagi mereka yang berhajat besar untuk menyertai pilihanraya umum ke-12. Bagi tokoh-tokoh yang menyandang jawatan YB pada pilihanraya ke-11 pasti tertunggu-tunggu untuk mengetahui sama ada mereka terpilih lagi atau sebaliknya.

 

Maklumlah, Isnin dan Selasa adalah ‘hari bertemu pelanggan’ bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu hari beliau menemui para pengerusi perhubungan negeri Barisan Nasional untuk menyaring calon-calon yang bakal menyarung ‘jaket BN ‘ dalam pilihanraya umum 8 Mac nanti.

Bagi yang berkobar-kobar untuk menyarung jaket buat pertama kali, lagilah tak boleh tidur, apatah lagi yang peluangnya disifatkan 50-50 sahaja. Yang peluangnya sekadar 2 , 15 atau 30 peratus sahajapun dah pasang angan-angan sejak setahun lalu lagi.

Tukang kempenpun sudah dilantik untuk tiup wisel keliling kampung dan kawasan kononnya bossnya akan lekat bertanding kali ini. Ada yang cukup yakin dengan adanya ‘kabel’ besar mereka akan berjaya, apatah lagi nama mereka dihiasi dengan pelbagai gelaran.

Taraf akademik yang tinggi juga disangka menjadi modal besar untuk mendapat tiket. Yang tiada pencapaian akademikpun menyangka mereka berpeluang juga kerana memegang jawatan pada hirarki tinggi dalam parti.

Tokoh-tokoh seperti ini tentunya amat berdebar-debar menanti saat-saat selesainya perjumpaan Pak Lah dengan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri kerana mereka berharap akan dapat melihat sedikit sinar mengenai kebarangkalian mereka akan terpilih.

Jika mengikut tradisi, pengumuman mengenai calon-calon yang bertanding akan dibuat dua atau tiga hari sebelum penamaan calon. Ini bermakna, pengumuman rasmi bagi kali ini selewat-lewatnya ialah pada 22 Februari.

Di antara tarikh 19 hingga 22 Februari lagilah ‘gelabah’ dan ‘gabra’ pihak-pihak yang dah ‘pasang badan’ untuk bertanding. Macam-macam perangai dapat dirakamkan. Ke mana sahaja Menteri Besar pergi, mereka tetap ada di sekeliling. Pihak-pihak yang rapat dengan Pak Lah digunakan sebagai kabel. Pendek kata, apa sahaja cara yang ada, akan diusahakan.

Mengikut satu laporan akhbar baru-baru ini, pendapatan bomoh-bomoh tempatan telah merosot kerana ‘bakal-bakal calon’ telah beralih ke bomoh antarabangsa di Indonesia dan Thailand. Asal lekat sudah….

Siapakah yang lazimnya akan menjadi calon..? Bagi orang parti, tentulah mereka yang memegang jawatan tertinggi seperti ketua, timbalan dan naib ketua bahagian. Begitu juga dengan jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan juga Ketua Puteri.

Percaya akan andaian ini kerana sudah menjadi amalan sejak lama dahulu, ramai yang sanggup mengeluarkan modal yang banyak untuk memegang jawatan di peringkat bahagian.

Mereka sanggup berhabis-habisan untuk memastikan jawatan tertinggi di bahagian milik mereka.

Namun, sejak pilihanraya umum ke-9, pucuk pimpinan Negara telah membuat perubahan dengan membawa tokoh-tokoh dari luar parti atau bukan penyandang jawatan utama di bahagian sebagai calon-calon dalam pilihanraya.

Tokoh-tokoh korporat, usahawan berjaya, pensyarah berwibawa, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan juga karyawan turut diberi tempat dan peluang. Sasterawan dan wartawan, sudah lama diketengahkan sejak tahun 1978 lagi. Sejak itu, ada sahaja dua orang wartawan yang dicalonkan atau dikekalkan sebagai YB.

Buat masa ini, dua orang bekas wartawan yang bakal pasti dikekalkan ialah Datin Paduka Chiew Mei Fun (Petaling Jaya Utara) dan Datuk G. Palaniveil (Hulu Selangor). Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin yang juga dari kelompok wartawan bagaimana pula?

Dalam pilihanraya ke-9 saya sendiri (Utusan Melayu) dan Abdul Rahman Sulaiman (Bernama) menyertai pilihanraya. Abdul Rahman terkeluar pada pilihanraya ke-10 dan Chew Mei Fun (China Press) menyertai pertandingan.

Walaupun berbadan kecil, jiwa dan pemikirannya besar, Rosnah Majid (tengah) ketika mengikuti gerak kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak berapa lama dulu.

Selain daripada Mei Fun, Datok Rosnah Majid (Utusan Melayu) juga dibawa masuk ke gelanggang politik di Tanjung Dawai, Kedah. Setelah menang, beliau diangkat menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, atas faktor kesihatan Rosnah melangkah keluar dalam pilihanraya ke-11. Begitu juga saya.

Sebelum ini, di antara wartawan-wartawan lain yang pernah diketengahkan ialah Datuk Ruhanie Ahmad (Berita Harian), Datuk Dr. Suleiman Muhammad (Utusan Melayu), Datuk Alias Ali (Utusan Melayu + BERNAMA), Datuk Adam Hamid (Utusan Melayu)dan Datuk Samad Maharuddin (Utusan Melayu).

Yang paling hebat barangkali tentulah Datuk Samad Maharuddin kerana beliau pernah menjadi wartawan dan pada waktu yang sama menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor. Kehebatannya lebih terserlah kerana beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada lima orang Menteri Besar. Abang Samad…. Abang Samad..!

Abang Samad Maharuddin, bekas wartawan Utusan Melayu yang pernah berkhidmat dengan lima orang Menteri Besar Selangor, akhirnya bergelar YB selama dua penggal (1995-2004). Kini beliau adalah Setiausaha Mubarak (Majlis Pemuafakatan Bekas Wakil Rakyat).

Melalui penampilannya sebagai ‘orang kampung’ yang serba boleh, Abang Samad menjadi salah seorang kenalan rapat Almarhum Sultan Selangor. Kawan-kawan panggil beliau Abang Samad, Almarhum Tuankupun panggil begitu juga.

Nampaknya banyak wartawan Utusan Melayu yang telah diberi peluang. Kali ni, ada lagi ke…?

Jom pi tinjau-tinjau kat Utusan, dah ada yang tempah jaket baru ke…? Yang pasti… seorang bekas wartawan yang kini berkhidmat dengan seorang menteri dah lama pasang badan….

Para pensyarah yang diberi peluangpun banyak juga. Ini termasuklah Datuk Rafidah Aziz (menteri), Datuk Dr. Ibraahim Saad (Timbalan Ketua Menteri + Timbalan menteri), Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman (Menteri), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (Timbalan Menteri Besar Selangor), Tan Sri Dr. Yusof Nor (Menteri) Tan Sri Hamid Othman (menteri) dan juga Datuk Abdullah Mohd. Zin (menteri).

Kebanyakannya datang dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam pilihanraya umum kali ini, siapa pula di kalangan pensyarah yang akan mendapat kerusi YB dan kemudiannya menteri? Dari universiti mana pula agaknya… takkan UM dan UKM sahaja!

Yang pasti… mereka yang berprestasi hebat akan dikekalkan, manakala yang kurang, mungkin dipindahkan ke kerusi Dewan Undangan Negeri atau lebih teruk lagi terpaksa keluar padang.

Khabarnya di UKM ada juga seorang dua yang dah tempah bush jacket dan kot baru. Kita tunggu dan lihatlah nanti siapa yang masuk menggantikan yang akan terkeluar.

Ada juga YB-YB sedia ada dalam gelanggang yang suka sangat berada di padang. Mereka bukan turun padang, tetapi sibuk beraksi di padang golf. Tokoh-tokoh seperti ini, elok sangatkan dikekalkan – bukan sebagai YB tetapi sebagai pemain golf sepenuh masa.

Main golf pula tak cukup padang di Malaysia, perlu main di luar Negara. Paling tidakpun perlu main di Medan atau Jakarta. Pelik…. Macam mana mereka ada masa untuk itu?

Banyak orang ada ketokohan, dah jadi pemimpin di peringkat bahagian dan juga negeri, tetapi malang sekali, mereka tidak punyai kawasan kerana kerusi kawasan perlu diberikan kepada parti lain mengikut kuota yang telah dipersetujui.

Lebih malang lagi, ada juga yang mempunyai kawasan tetapi calon ‘payung terjun’ diletakkan di situ. Apabila ini berlaku, ada yang merajuk, ada yang bawa diri dan sebagainya.. Alahai si payung terjun..!

Minggu depan kita akan berpesta sebaik sahaja kempen bermula!- 19/2/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 441  tetamu dalam talian