27Februari2021

Agenda Daily

Gara-gara bil makan RM2,800, bayar bawah meja…

Apabila bekalan beras tiba-tiba berkurangan di pasaran, ramai yang menjadi haru-biru kerana tidak pernah menjangka beras yang ditanak menjadi nasi dan merupakan makanan asas rakyat negara ini akan berkurangan.

 

Yang pasti ialah rakyat negara ini akan makan nasi tidak kurang daripada dua kali sehari. Yang makan tiga kali sehari termasuk nasi lemak sebagai sarapan pagi, dah lumrah. Yang makan dua bungkus nasi lemak sepagipun bukannya asing.

Bayangkan, beras yang berharga RM17.00 sekampit seberat 10 kilogram tiba-tiba lesap di pasaran. Yang ada hanyalah beras dari jenis yang tidak dikawal. Yang berharga RM17 atau RM18 sekampit tiada, yang banyak adalah RM33 sekampit.

Harga beras terkawal memang dapat dikawal, tetapi bekalan tidak dapat dikawal. Tiba-tiba sahaja beras 15% hancur iaitu yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana tidak mencukupi.

Kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad, sebenarnya tidak ramai rakyat Malaysia yang memakan beras berkenaan. Sebaliknya, yang beli beras 15% hancur adalah rakyat Indonesia dan Bangladesh.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengawal yang peratusan hancurnya adalah kecil supaya harganya tidak diletakkan sewenang-wenangnya oleh pemborong (atau pembohong?) dan juga peruncit.

Terfikir saya, takkan mereka beli beras berkenaan sehingga kering di pasaran. Selama hari inipun mereka beli juga tetapi tidaklah sampai kurang bekalan.

Apabila menyebut fassal makan, teringatlah saya beberapa peristiwa lampau mengenai hal-hal yang berkaitan dengan makan.

Kisah pertama ialah mengenai perihal tak cukup duit untuk membayar bil makan malam di sebuah hotel klasik di tengah-tengah ibukota. Kisah bermula apabila sahabat saya mempelawa menyertainya makan malam di hotel berkenaan.

Rakan ini ahli koporat dan telah membawa rakan niaganya dari Italy ke Malaysia. Rakaniaga beliau itu adalah pemilik syarikat gergasi dan seorang lagi salah seorang pengarah kanannya.

Pada petang itu saya masih berada di Parlimen kerana persidangan sedang berlangsung. Sahabat itu beria-ia benar mengajak menemani untuk makan malam tersebut. Saya memberi alasan tak selesa pergi makan malam memakai pakaian yang telah disarung sejak pagi lagi.

Sahabat itu kata tak apa kerana beliau akan belikan baju baru. Saya berdalih lagi mengatakan susah nak dapat saiz sesuai untuk badan saya yang besar, tetapi kawan itu kata lagi beliau tahu di mana untuk membeli baju bukan sahaja bersaiz XXL tetapi juga 4XL dan 5XL. Akhirnya saya mengalah.

Maka malam itu pergilah saya ke hotel eksklusif itu untuk menemani sahabat berkenaan untuk makan malam yang istimewa.

Saya tidak memilih menu kerana sahabat tadilah yang membuat pesanan. Jika selalunya makan ayam panggang, malam itu kami makan panggang anak ayam. Rasa-rasa macam tak boleh masuk…. tetapi apabila dicuba-cuba, rasa nak tambah pula.

Lepas makan anak ayam dihidangkan pula pelbagai sayur-sayuran, tetapi saya melihat sayur-sayur berkenaan macam rumput dan lalang je…. Tak dimasak pula tu.. Makan mentah tetapi disaluti perasa dan manis-manisan.. lapar punya hal, makan jugalah walaupun tak pernah jumpa ‘rumput dan lalang’ berkenaan sebelum ini.

Oleh sebab makanannya banyak yang manis, saya pesan air mineral. Bukan sebotol, tetapi akhrnya tiga botol yang saya minum. Selain daripada manis…masam-masampun ada juga, tetapi saya lihat dua orang tetamu dari Italy itu cukup berselera menghadap jamuan itu.

Tatkala cuba-cuba menyelerakan tekak makan menu berkenaan, teringat saya akan satu cerita orang makan rumput yang diceritakan oleh pemandu pelancong di Indonesia. Kata pemandu itu kisah berkaitan dengan seorang ibu tunggal dan dua orang anaknya yang terlalu miskin dan tiada makanan.

Oleh kerana terlalu lapar, mereka memotong rumput di tepi jalan lalu memakannya. Gelagat ini dilihat oleh seorang jutawan tempatan yang baharu sahaja keluar dari sebuah ‘showroom’ setelah membeli sebuah kereta mewah.

“Kasihan makan rumput kering dan kotor,’’ kata jutawan itu. Dia lalu memberhentikan keretanya di depan ibu tunggal berkenaan dan mempelawa tiga beranak itu naik ke keretanya.

Ibu berkenaan hairan, siapa pula yang hendak mempelawa beliau dan dua orang anak menaiki kereta yang baru dibeli. Ibu itu tersipu-sipu dan sekali-sekala terasa takut dan khuatir, tetapi sijutawan terus mempelawa beliau.

“Naik-naik, jangan khuatir,’’ katanya kepada ibu itu dan dalam keadaan yang serba salah dan penuh pertanyaan, beliau membawa dua orang anaknya menaiki kereta mewah berkenaan.

Dalam kereta, mereka tidak banyak bicara, tetapi fikiran siibu terus melayang-layang entah ke mana. Dia terus terfikir dan berfikir kenapa orang kaya berkenaan mempelawa nya menaiki kereta mewah berkenaan. Siibu terus bingung kerana mereka memang tidak layak, malah tidak pernah bermimpi untuk menaiki kenderaan tersebut.

Siorang kaya pula apabila sampai ke belok terakhir sebelum sampai ke banglo mewahnya memberitahu ibu berkenaan bahawa yang tersergam indah itu adalah kediamannya. Siibu terfikir, adakah beliau akan diambil bekerja sebagai pembantu di situ dan adakah beliau akan duduk bersama dalam singgahsana mewah itu. Macam-mcam lagi yang terbayang.

Sebaik sahaja sampai di banglo mewah itu, jutawan tersebut mempelawa siibu dan dua orang anaknya untuk turun dari kereta. Siibu tadi bertambah kagum kerana bukan sahaja banglo itu cantik, tetapi lanskapnya juga menarik. Ada anak sungai dan rumputnya menghijau dan kelihatan bersih.

“Silakan bu..silakan. Ya… turun dan lihatlah…pilihlah…di sini rumputnya segar dan bersih.. Yang ini lebih baik daripada di tepi jalan tadi,’’ kata sijutawan.

Demikianlah cerita sinis pemandu pelancong berkenaan, tetapi ketika itu saya bukannya mendengar cerita, tetapi menghadapi keadaan sebenarnya iaitu dihidangkan ‘rumput dan lalang’ sebagai menu makan malam.

Setelah beres semua hidangan, tiba giliran pencuci mulut pula iaitu berupa pisang mangkal disalut pemanis. Bedal sahajalah apa yang ada.

Setelah 90 minit menghadap dan diselang seli dengan perbincangan, selesailah majlis makan malam berkenaan. Pelayan menghantar bil kepada sahabat tadi yang menjadi hos kepada kami seramai enam orang.

Dengan ‘senyum- kambing’ sahabat tadi menghulurkan kad kreditnya tetapi apabila pelayan memberitahu mesin kad ‘off-line’ pada ketika itu, ‘senyum kambing’ menjadi ‘senyum harimau’ – bertambah masam!

Sahabat itu tiba-tiba terbatuk dan saya memandang ke arahnya dan rupa-rupanya memang itulah yang beliau mahukan kerana beliau nak beritahu bahawa wang tunainya tak cukup.

Dia menulis nota ringkas di atas tisu yang berbunyi: “Saya ada RM2,300 je, pinjam RM500’’. Setelah baca, saya membongkok sedikit macam nak menggaru pekala lutut sambil hulur RM500 kepadanya.

Selesai membayar bil, kami bersalam-salaman dan tetamu dari Italy serta pengiringnya beredar meninggalkan hotel serba mewah berkenaan manakala kami terus ke bilik air kerana maklumlah air mineral sahaja dah 1.5 liter masuk sebelumnya. Dalam bilik air, sahabat itu berkata:

“Huh…terima kasih bang selamatkan saya…. Tak sangka makan macam tupun sampai RM2,800.” “Padan dengan muka kau… lepas ni, aku nak pekena nasi lemak kat Sungai Besi.

Menu apa yang kau order, lalang dan rumput makanan lembu dan kambing, bukan selera akulah,” saya terus beduk sahabat berkenaan kerana perut saya memang tak kenyang dan menjadi lebih lapar apabila melihat bilnya mencecah RM2,800. Saya sempat tengok bil yang menunjukkan air mineral 500ml dijual dengan harga RM14 sebotol.

Saya cukup angin dengan kawan berkenaan dan dalam perjalanan balik, saya minta pemandu singgah di port biasa di Jalan Sungai Besi pekena nasi lemak bungkus berlauk sup tulang. Makan dua orang tak sampai RM15 tetapi kenyang hingga ke tengahari esoknya.

Sampai sekarang, apabila mempelawa makan, sahabat itu cukup berhati-hati dengan saya. Dia akan pastikan jamuannya menyelerakan. Baru-baru ini saya pelawa dia makan malam dengan menu Western di sebuah ‘gerai mahal’ di pinggir ibukota….tetapi sahabat yang cukup ‘gentleman’ ini cepat-cepat bayar bilnya. Makan punya hal…!

Bersambung dengan beberapa kisah lagi… 10/7/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian