20April2019

Ditawarkan anak gadis untuk dibawa pulang

Kalau dah sampai di Medan, tidak sahlah wisata jika tidak langsung ke Danau Toba. Dalam perjalanan pergi atau balik tentulah akan singgah di bukit peranginan iaitu Berastagi. Juga dalam perjalanan yang sama akan menyusur pula ke lokasi menarik di pinggir danau berkenaan untuk melihat air terjun Sipisopiso.

 

Walaupun perjalanan agak lama bukanlah sangat kerana jaraknya yang terlalu jauh, tetapi kerana jalan yang sempit dan tidak bagus, lokasi-lokasi berkenaaan dapat melegakan kebosanan. Apabila berada di Sipisopiso umpamanya, bolehlah membeli jagung rebus yang cukup enak dengan harga murah.

Bagi mereka yang biasa atau telah mendengar perkhabaran akan terus menuju ke sebuah gerai di sana. Apakah yang dicari…? Di Malaysiapun ada, di gerai, restoran atau hotel lima bintangpun ada, tetapi tak tahulah pula apa istimewanya telur ayam kampung di pinggir bukit ini.

Mendengar seseorang memakan dua biji telur ayam rebus separuh masak adalah biasa. Namun, memesan empat atau lima biji seorang di gerai usang berkenaan bukanlah sesuatu yang ganjil atau pelik. Hidangannyapun tidak istimewa. Cuma diberikan cawan dan sudu serta sebotol kicap….. Selepas itu, pandai-pandailah untuk menikmatinya.

Menaiki feri bersama rakan, Datuk Seri Yahya Omar menuju ke Danau Toba.

Memang tidak dapat dipastikan apa istimewanya tetapi yang pasti, pekedai tak menang tangan menyiapkan pesanan. Botol kicap pula terpaksa dikongsi dan janganlah segan-segan untuk mengambil sendiri dari meja lain.

Minumannya sudah tentu kopi panas, tetapi orang tempatan lebih sukakan kosu iaitu kopi susu sedangkan orang Malaysia gemarkan kopi 0 iaitu tanpa susu. Kalau nak susu , boleh juga, tetapi ambil sendiri daripada botol yang dihidangkan.

Di Berastagi, kedinginannya seperti berada di Bukit Fraser atau Cameron Highlands di Pahang. Istimewanya di pekan atas bukit ini adalah pelbagai buah-buahan yang dijual. Buah salak dah tentu ada, tetapi pelancong selalunya tertarik kepada buah limau mini yang saiznya besar sedikit sahaja daripada guli. Begitu juga dengan buah pisang kaki yang segar dan dijual dengan harga murah.

Di Malaysia paling murah pisang kaki dijual dengan harga RM1 sebiji tetapi di sana RM10 boleh dapat sebakul. Itupun jika pandai ‘bedek’ harga. Jika peniaga lebih pandai, mungkin terkena sehingga RM20.

Pekan kecil ini dikeliling kebun buah-buahan yang menarik dan cantik. Walaupun nampak ladangnya macam tidak berjaga, seorang pemandu pelancong mengingatkan kami jangan sekali-kali diambil hasilnya.

“Nanti bapak-bapak enggak bisa pulang ke Malaysia,’ begitu beliau memberitahu anggota rombongan di dalam bas sambil berseloroh. Khabarnya masyarakat di sana cukup mahir ‘main hembus-hembus’ walaupun dari jauh sahaja.

Berada di Pulau Samosir pula perlu berhati-hati juga. Di sana, barangan kraf atau pakaian memang cukup murah, tetapi jika sudah dibelek-belek jangan dihampakan sipenjual yang boleh dikatakan kebanyakannya adalah perempuan.

Makan bersama rakan-rakan seperjuangan dari Sepang di Danau Toba. Makanannya enak dan murah. Penduduk di danau itu bergantung hampir 100% kepada pelancongan sebagai sumber rezeki. Rusuhan demi rusuhan yang dilaporkan di negara jiran itu tidak sedikitpun menguntungkan mereka.

Kalau sudah dibelek-belek ditawar harganya, eloklah belI…. jika tidak, takut nanti berulang apa yang terjadi kepada Gopal – seorang kakitangan Utusan Melayu yang terjerit-jerit meminta tolong. Saya dan rakan-rakan lain bergegas ke gerai di mana Gopal menjerit.

Pada mulanya kami hairan dan terkejut juga kenapa siGopal menjerit-jerit. Setelah melihat sendiri, kami hanya ketawa kerana Gopal berada dalam pelukan seorang wanita sambil dikerumuni beberapa orang lain yang mentertawakan beliau.

Nak lepas daripada pelukan, kena beli barangan yang telah dibelek dan ditawar. Gopal tiada pilihan, terpaksa juga belI dua helai baju-t untuk memenuhi syarat untuk dilepaskan daripada pelukan.

“Gilalah bang… nak peluk-pelukpun tengok tempatlah,’’ begitu Gopal memberitahu bagi menjawab usikan saya kenapa beliau perlu menjerit sedangkan mendapat pelukan percuma daripada seorang wanita cantik dan manis. Tak tahulah sicantik itu anak dara, janda atau isteri orang kerana perangai dan gaya mereka sama sahaja.

Pada suatu malam, sekali lagi di Beraastagi, seorang ibu dalam lingkungan usia 35 tahun mendekati isteri saya. Kata ibu itu, beliau telah beberapa kali melihat kami sekeluarga mundah-mandar di situ, membeli macam-macam buah-buahan khususnya durian. Ibu berkenaan yang juga penjual durian beramah-mesra dengan isteri saya bertanyakan asal-usul kami dan keluarga sambil memakan durian di tepi jalan berkenaan.

Dia bertanyakan sudah berapa kali ke Medan dan bagaimana keadaan kami di Malaysia. Selepas beramah-mesra dengan panjang lebar dan durianpun sudah habis dimakan, siibu itu menawarkan dua orang anak perempuannya yang berusia 15 dan 16 tahun kepada kami untuk dibawa pulang. Kami terkejut.

Rupa-rupanya bual mesra tadi adalah untuk mengetahui latar-belakang kami dan apabila sudah yakin siibu itu menawarkan anak-anakanya itu dengan kata-kata: “Bawa ajalah pulang ke Malaya (Malaysia). Beri apa-apa kerjapun bisa. Dibagi makanpun udah cukup.. Enggak ada upahnya enggak apa.”

Kami lebih terkejut. Saya terus bertanya kepada penjual durian tersebut kenapa beliau tergamak menawarkan anak gsdisnya yang cerah dan manis itu kepada kami. Beliau memberitahu sebenarnya beliau mempunyai sembilan orang anak - semuanya perempuan dan terlalu sukar untuk membesarkan mereka. Saya tanya lagi kenapa.

Membelasah durian murah… Peristiwa malam itulah yang menyebabkan kami ditawarkan anak gadis putih melepak untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Lihat tu….sibapanya asyik mahu naik hajI cara percuma,’’ katanya menunjukkan ke arah beberapa orang lelaki yang sedang bermain ‘dam haji’. Salah seorang daripada mereka adalah suaminya. Menurut beliau, sisuami kerjanya hanya menurunkan barang dagangan iaitu buah durian yang dibeli daripada peraih. Selepas itu beliau akan bermain dam dengan rakan-rakannya. Begitulah rutin mereka setiap hari sehingga larut malam atau awal pagi sehingga pelancung pulang ke hotel masing-masing.

Sebenarnya ada banyak lagi buah yang dijual oleh perempuan-perempuan di sana. Tawaran yang diberikan bermacam-macam juga Kini, selepas beberapa tahun melalui pelbagai pengalaman tersebut, saya cuba membandingkan dengan keadaan semasa khususnya masyarakat di Jakarta yang sanggup menerima kira-kira RM10 sehari untuk menggadai nyawa dengan berdemontrasi di depan kedutaan Malaysia di Indonesia.


Bakar bendera Malaysia dan baling najis. Dahlah begitu, rakyat Indonesia yang bekerja, berdagang dan mencari nafkah pelbagai cara di Malaysia diminta pulang pula. Mereka ingat, rakan-rakan berkenaan merempat di Malaysia. Mereka cuma mengambil berat tentang seorang dua pegawai dan nelayan yang ditahan pihak berkuasa serta satu dua kes lagi melibatkan pembantu rumah yang dianiaya.

Mereka tidak kenangkan rakan-rakan yang datang menaiki tongkang dan menyabung nyawa 10 tahun lalu tetapi kini memandu Mercedez Benz, ada yang menghantar wang sehingga 5 juta rupiah sebulan. Malah, pembantu rumahpun mengirimkan 3 juta rupiah setiap dua bulan sekali.

Perusuh-perusuh berkenaan tidak pernah ke Malaysia, oleh itu tidak mengetahui corak hidup di sini. Jikalah mereka ketahui, mereka juga akan jadi macam rakyat Indonesia yang lain iaitu memilih untuk menjadi warganegara Malaysia apabila cukup syaratnya.

Kadang-kadang terfikir juga, rakyat Malaysia yang selalu buat kecoh di negara sendiripun mungkin tidak pernah ke Indonesia, India, Pakistan, Kemboja, Afghanistan dan negara-negara huru-hara seumpamanya. -10/11/2010

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 710  tetamu dalam talian