12Disember2019

Agenda Daily

Dinding rumah tiba-tiba roboh…

Pada suatu Ramadhan tatkala masih bergelar Ahli Parlimen Hulu Langat, seorang rakan yang sama-sama bekerja di Utusan Melayu dahulu iaitu Puan Melati Ariff menghantar e-mail kepada saya menyatakan betapa sedihnya beliau menatap kisah seorang pelajar miskin yang sedang sakit paru-paru berair.

 

Menurut Melati, pelajar sekolah rendah berkenaan berada di Dusun Tua dan tinggal bersama ibunya yang juga tidak sihat dalam sebuah rumah yang kecil.

“You buatlah sesuatu Bad, budak ni dalam kawasan you,’’ begitu Melati membuat syor apabila saya membalas e-mailnya dengan menghubunginya melalui telefon bimbit. “You kena settle cepat sebelum budak ni lebih melarat. Ni raya dah dekat, Melati menambah bersungguh-sungguh.

Melalui rakan-rakan dalam kawasan, saya dapat menjejaki pelajar berkenaan dalam masa 24 jam. Kira-kira pukul 11.00 pagi, kami sampai ke rumah pelajar berkenaan tetapii dia tidak ada di rumah. Hanya emak dan adik-adiknya yang ada.

Bersama beberapa kawan dengan membawa sedikit sumbangan termasuk beras, minyak masak dan makanan dalam tin, kami singgah di kediaman berkenaan. Kediaman itu hanyalah sebuah pondok kecil yang tidak layak dipanggil rumah kerana premis berkenaan adalah bekas stor untuk menyimpan baja dan peralatan berkebun.

Menurut ibu tunggal berkenaan, sebelum ini mereka tinggal di pondok yang lebih usang iaitu lebih sesuai dipanggil kandang kambing.

Ibu tunggal beranak lima ini juga mempunyai seorang cucu selepas anak perempuannya mendirikan rumah tangga. Usia rumahtangga anaknya tidak lama tetapi beliau meneruskan hidup dengan bekerja kilang. Anak yang masih kecil terpaksa ditinggalkan dengan emaknya yang sedia uzur.

Kami dipelawa masuk ke rumah atau ponok usang itu. Hanya ada satu dapur, sebuah almari dan peti sejuk lama pemberian jiran. Ruang ponok itu terlalu sempit, pakaian berlonggok-longgok di bilik tidur dan berselerakan di seluruh pondok.

Kami masuk ke dalam membawa habuan untuk keluarga itu. Oleh kerana tiada kerusi, rakan-rakan duduk bersila tetapi oleh kerana masalah diri sendiri, saya hanya berdiri dan bersandar di dindining.

Nak dijadikan cerita, oleh kerana didnding rumah terlalu uzur dan badan saya sangat besar, dinding itu rebah ke lantai. Malunya saya tak terkata apatah lagi kawan-kawan gelak ketawa. Saya sebenarnya amat sedih ketika itu kerana memburukkan lagi keadaan sengsara keluarga yang sedia susah itu.

Seorang rakan yang hadir sama cepat-cepat menyakinkan tuan rumah dan saya sendiri supaya jangan khuatir kerana beliau akan membaiki dinding yang roboh itu.

Wsetelah bercerita panjang, ibu tunggal itu bercerita pula mengenai latar-belakangnya. Beliau mengakui datang dari seberang tetapi arwah suaminya adalah orang tempatan dan sepupu pula kepada seorang VIP di Hulu Langat.

Saya amat terkejut kerana VIP yang dimaksudkan itu adalah kenalan baik saya.. Saya geleng kepala melihat nasib keluarga ini yang serba-kekurangan sedangkan sepupu arwah suaminya seorang yang sangat berkemampuan.

Oleh kerana VIP itu adalah kenalan saya dan ketika itu beliau sedang mengerjakan umrah, saya meminta rakan-rakan media yang meliputi tinjauan saya itu supaya tidak menyiarkan apa yang mereka lihat. Oleh kerana rakan-rakan media memahami masalah yang bakal timbul , mereka akur tidak membuat laporan.

Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang memberi kerjassama itu. Apabila VIP itu kembali dari mengerjakan umrah, saya menceritakan pengalaman meninjau kehidupan saudaranya. Kawan itu mempunyai sudut cerita yang lain terhadap keluarga berkenaan. Beliau berjanjanji akan mengambil tindakan.

Benar sungguh, selepas hhariraya kelluarga miskin itu dipindahkan - bukan ke rumah baru, tetapi dihantar pulang ke kampung halamannya di Indonesia. Sejak itu, saya tidak lagi mendengar mengenai keluarga berkenaan.

Pada suatu Ramadhan juga, saya ditemukan dengan seorang ibu tunggal di Semenyih yang tinggal berseorangan di sebuah rumah kotak yang kecil. Saya berkunjung ke rumah itu untuk menyampaikan sumbangan hariraya yang diberikan oleh kerajaan persekutuan. Saya dibawa oleh Puan Khairidah Long, ketua wanita UMNO di kampung berkenaan. Hadir sama isteri saya.

Di dalam rumah empat segi itu ada sebuah almari pakaian, dappur masak, almari pinggan mangkuk, ada perigi dan juga sebuah katil. Ringkasnya dalam petak empat segi itulah wanita usia emas itu tidur, masak, makan, mandi, membasuh dan segala kerja hariannya.

Oleh kerana waktu berbuka puasa sudah hampir, kami cepat-cepat menyampaikan hajat. Sekeping sampul surat berisi duit raya disampaikan. Isteri saya pula menghulurkan sekeping lagi sampul surat dengan lafadz membazar zakat.. Membuka sampul itu, wanita tua itu lantas melutut dan berjuraian airmatanya.

“Anak makpun tak bagi macam ni…terima kasihlah…ada juga orang yang ingat pada mak,’’ katanya dengan esak seorang ibu yang jelas hiba dan sedih kerana katanya, anak-anak masih belum muncul sejak sekian lama.

Wanita ituterus mempelawa kami berbuka di rumahnya tetapi saya beritahu kami sudah ada program lain hyang sudah diatur.

“Yalah….kalau berbuka di sini, minum air perigi ajalah. Makan nasi tak berlauk….Itulah yang mak lalui setiap hari,’’ katanya dalam slanga Minangkabau. Air mata saya terus berjuraian kerana teringatkan pengalaman lama sewaktu bersama-sama keluarga yang besar tetapi miskin tatkala menghadap juadah di kampung.

Namun umi (emak) tetap bijak menyediakan pelbagai juadah walaupun lauknya sekadar pucuk ubi, sambal tempoyak ikan bilis dan rebus terung telunjuk. Kalau dapat masak lemak telur itik dengan pucuk ubi atau belimbing buluh kira dah lumayanlah tu.

Oleh kerana tidak dapat memenuhi pelawaannya untuk berbuka pada hari berkenaan, saya kembali ke kampung itu untuk menemui dan berhariraya dengan wanita itu. Seperti biasa, saya menemui Puan Khairidah terlebih dahulu.

“Mano ada makcik tu lai….. Dah takdo, Datuk dah lambek,’’ demikian jelas Puan Khairidah yang lebih mesra dengan sapaan Mak Itam. Sekali lagi air mata saya meleleh sambil bersedekah Fatihah untuk wanita yang membahasakan dirinya dengnan panggilan ‘Mak’ itu. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.-16/9/2009

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 220  tetamu dalam talian