26Februari2021

Agenda Daily

Di sebalik gema takbir Idulfitri

Imam sedang membaca khutbah hariraya Idulfitri manakala para petugas sedang sibuk menghulur tabung mengutip sumbangan daripada para jemaah yang baru selesai mengerjakan solat dua rakaat.

 

"Kenapa tak bentang tikar,'' seorang jemaah senior bertanya kepada salah seorang yang sedang mengutip derma itu. Beliau lantas menjawab sebahagian tikar basah kerana pada pagi hari hujan. Lagipun para jemaah memang cukup ramai pada hari itu dan dianggarkan kira-kira 100 orang tidak dapat menunaikan solat gara-gara tidak ada tikar.

Tatkala orangramai sedang berjemaah, kumpulan 100 orang berkenaan meneruskan 'khutbah' masing-masing dengan pelbagai cerita dan gelak ketawa.

Ada juga petugas mengutip derma yang menghulur tangan kepada setiap jemaah mengucapkan selamat hariraya. Tatkala berjumpa dengan kenalan lamanya, petugas berkenaan bertanya khabar pula.

"Bila kau balik…lama ke bercuti,'' petugas itu memulakan perbualan. Khatib/imam masih berada di mimbar dan membaca khutbah.

Sebelum daripada itu tatkala imam baharu memulakan khutbahnya, banyak orang yang bangun dan terus meninggalkan masjid. Ada juga yang sekadar keluar dari masjid dan bersalam-salaman di luar.sambil menghisap rokok atau menghidupkan enjin kereta.

Demikianlah sedikit sebanyak gambaran mengenai apa yang berlaku di sebuah masjid pada pagi 1 Syawal lalu.

Gambaran itu menunjukkan masih ada di kalangan kita termasuk petugas masjid yang kurang arif mengenai rukun solat sunat hariraya. Jika solat Jumaat dimulakan dengan khutbah, solat hariraya diakhiri dengan khutbah.

Khutbah bagi kedua-dua solat adalah sebahagian daripada proses keseluruhan solat dan kita diingatkan supaya mendengarnya serta dilarang bercakap-cakap waima dengan perkataan 'diam' kepada orang sebelah yang sedang berbual.

Barangkali, pihak pengurusan masjid dan jabatan agama negeri, perlu menitikberatkan perkara 'remeh' ini supaya tidak menjadi budaya yang salah ketika beramal kelak.

Pagi raya, sudah menjadi tradisi bagi kami adik beradik semenjak ibu bapa masih ada lagi, kami akan berkumpul di rumah adik bongsu di kampung. Acara lazim dimulakan dengan menziarahi pusara arwah umi dan abah serta ahli-ahli keluarga yang lain sebaik sahaja matahari menampakkan cahayanya. Bagaimanapun, tahun ini saya tidak sempat berbuat demikian, buat pertama kalinya kerana terlewat sampai.

Sebaik sampai di kampung, adik beradik yang lain sudahpun kembali dari kubur.

Jam 8.30 pagi kami ke masjid dan kemudiannya bersolat jemaah 15 minit kemudiannya.

Alangkah terkejutnya saya melihat jemaah yang begitu ramai membanjiri masjid kecil yang dibina pada tahun 1965 itu. Walaupun sudah diperbesar kira-kira 20 tahun kemudiannya, masih ramai anak-anak watan yang pulang dari perantauan yang tidak mendapat tempat.

Ini kerana, kebanyakan ruang solat dipenuhi masyarakat Bangladesh dan Pakistan di dalam masjid, manakala warga Indonesia menyertai anak -anak watan di luar bangunan.

Deretan puluhan buah kenderaan termasuk yang mewah membuktikan anak-anak kampung sudah berubah status atau kedudukan. Mereka bukan lagi penoreh getah, tetapi pegawai-pegawai kanan serta para usahawan berjaya.

Banyak juga jemaah, khususnya rakyat Bangladesh dan Indonesia yang tidak dapat membayar fitrah masing-masing kerana amil yang dilantik telah menutup kaunter lebih aqwal daripada solat bermula kerana beliau kehabisan resit bayaran.

Kedengaran seorang warga tempatan yang meinta golongan yang tidak dapat membayar zakat kepada amil supaya menghulurkan bayaran kepada petugas yang mengutip derma untuk dijadikan sedekah sahaja. Begitulah risiko melakukan kerja pada saat-saat akhir.

Selepas solat, kami kembali ke rumah untuk meneruskan tradisi dalam acara kedua iaitu bertahlil untuk ahli-ahli keluarga yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Jika dahulu, tahlil diketuai oleh abah, kemudiannya along dan angah, kini abang yang nombor empat mengambil alih setelah mereka semua tiada lagi.

Kemuncak agenda kami ialah acara memohon maaf dimulakan dengan adik-adik memohon kemaafan daripada abang dan kakak dan diikuti oleh anak-anak bermaaf-maafan dengan ibu bapa masing-masing. Acara ini tentulah diwarnai dengan linangan air mata, esakan, malah tsngisan bagi yang kurang berjaya mengawal perasaan.

Anak-anak buah yang sudah tidak beribu atau bapa dan ada juga yang tanpa kedua-duanya paling ketara kesedihan mereka.

Jika minggu lalu saya mencatatkan kesedihan anak-anak yatim piatu yang berada di rumah kebajikan, kali ini saya merasainya sendiri. Jika dahulu saya tumpang sedih melihat anak-anak saudara yang kematian ibu dan bapa, kali ini hati saya paling terguris melihat dua orang cucu menyambut hari lebaran tanpa bapa mereka,

Seorang berusia tiga tahun manakala seorang lagi baru berusia enam bulan. Yang kecil dilahir kira-kira seminggu selepas bapanya menemui ajal kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya hanya kira-kira lima kilometer dari rumah kami di Bangi.

Kedua-duanya belum mengerti erti hidup, tetapi kita yang dewasa amat terasa apa yang bakal mereka lalui apabila lebih berusia kelak. Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan dan hiba kerana apa yang saya bimbangi selama ini, kini menjadi kenyataan. Walaupun anak-anak tidak ditimpa nasib sedemikian, rupa-rupanya, cucu-cucu yang terpaksa menghadapi dugaan itu.

Tanpa disedari, airmata berjuraian membasahi bukan sahaja pipi, tetapi juga baju melayu yang dipakai. Cucu-cucu masih belum mengerti dan mereka kelihatan ceria dan gembira apabila sampai ke acara terakhir iaitu pemberian duit raya….!

Kisah cucu tiada berbapa ketika berhariraya itu menghimbau kembali kenangan ketika menjadi wakil rakyat dahulu. Dahulu saya memang gemar menjamu dan memberi sedekah dan membayar zakat kepada anak-anak fakir miskin…. Kini tanpa diduga cucu-cucu pula yang mengambil giliran…. Bertambah sayu hati ini setiap kali terpandang mereka yang masih kecil itu, khususnya yang baru berusia enam bulan. Inilah pusingan hidup.

Perjalanan berkereta di Lebuhraya Utara Selatan {PLUS} pada musim perayaan kali ini macam biasa. Kereta banyak, tetapi perangai para pemandu belum berubah sepenuhnya. Masih ada yang berlumba-lumba termasuk menggunakan lorong kiri dan laluan kecemasan.

Walaupun sepanjang perjalanan ke selatan tidak ternampak sebarang operasi Ops Sikap oleh pihak polis saya tidak berani memandu melebihi had yang dibenarkan atau memotong mengikut lorong kiri kerana dua hari sebelum hariraya saya dah 'kantoi' di Sungai Choh kerana memotong giliran di persimpangan berlampu isyarat.

Terima kkasih kepada sarjan dan Penolong Penguasa Polis yang menahan saya kerana tidak menyaman, tetapi memberi amaran keras dan nasihat dengan penuh hemah supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

Setelah berhariraya dua hari di kampung, hari ketiga pulang ke rumah. Hari berikutnya pe pasar untuk mencari lauk. Habis terkejut beruk dibuatnya. Tiga batang serai yang biasanya dijual dengan harga 30 sen meningkat menjadi 50 sen. Ayam tua atau dikenali juga dengan ayam pencen tidak dapat dibeli dengan harga RM7 seekor kerana melonjak di antara RM8 dan RM10.

Nak mencari ikan berharga di bawah RM10 sekilogram amat sukar - akhirnya beralihlah kepada ikan dalam tin sahaja.

Begitu juga dengan lemang, jika tahun lalu dijual dengan RM10 sebatang, kini dengan pelbagai alasan ekoran kenaikan harga minyak, dijual RM14 sebatang. Rendang yang biasanya berharga RM2 atau RM3, kini dinaikkan menjadi RM5 sebungkus kecil. Hari raya punya hal.

Kepada semua pembaca, sekali lagi diucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Bagi ratusan rakan dan kenalan yang tak terjawab SMS masing-masing, terimalah ucapan terima kasih melalui ruangan ini.- 6/10/2008

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 348  tetamu dalam talian