27Februari2021

Agenda Daily

Datuk Sirajuddin yang kukenali…….

Datuk Sirajuddin Rafia (gambar berpetak) dalam satu majlis bersama-sama anggota Jabatan Pengarang Utusan Melayu


Saya berkira-kira untuk menyiapkan ruangan ini sejak beberapa malam yang lalu lagi sehinggalah saya dikejutkan oleh deringan telefon menghantar pesanan ringkas (SMS) daripada Ketua Pengarang Agendadaily, saudara Rosli Ismail.Setiap percubaan untuk memulakan catatan tidak berjaya. Sebenarnya saya tidak dapat memberi fokus kepada pengalaman-pengalaman lama yang hendak dicatatkan dalam ruangan ini.

 

 

 

 

Fokus utama saya pada mulanya ialah untuk melakarkan beberapa kenangan bersama-sama kawan lama di Utusan setelah kami bertemu kembali pada suatu majlis jamuan idulfitri pada penghujung bulan lalu. Majlis itu dianjurkan oleh Kelab Veteran Utusan Melayu iaitu badan yang mengumpul kembali bekas kakitangan Utusan Melayu.Cukup seronok dapat bertemu kembali dengan Yusof 'tauke nasi lemak' (kakitangan di bahagian kilang), Ali Merican yang tetap riuh seperti dahulu dan tentunya bos-bos lama seperti Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Johan Jaafar, Datuk Rosnah Majid, Datuk Chamil Wariya dan Datuk Sirajuddin Rafia. Bersembang dengan Sirajuddin amat seronok kerana beliau seorang yang 'happy-go-lucky' dan boleh berkawan dengan semua orang.

Sabtu 8 November 2008, kira-kira jam 9.45 malam, Rosli menghantar perkhabaran bahawa Sirajuddin telah kembali ke rahmahtullah. Tergamam saya dibuatnya kerana dalam pertemuan hariraya itu, kami bercadang untuk bertemu pada minggu ini. Sirajuddin, jika berjanji, jarang tidak ditunaikan. Begitulah halnya ketika saya menjemput beliau untuk majlis perkahwinan anak saya lebih dua tahun lalu.

Demi sahabat dan janji untuk datang, walaupun majlis khenduri diadakan pada hari Sabtu, beliau tiba juga kira-kira pukul 3.00 petang keesokannya.

Ketika saya menyertai Kumpulan Utusan Melayu sebagai pemberita kadet pada tahun 1984, Sirajuddin telah lama berkhidmat dan sudah memegang jawatan Ketua Penyunting.. Ketika itu, kami tidak mempunyai hubungan yang rapat kerana bos ketika itu ialah Ketua Pemberita Douglas Tay dan kemudiannya Rosli Ismail.

Khalid Mohd. (Datuk) pula adalah Pengarang Berita - orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap meja berita dan beliaulah penghubung di antara meja pemberita dengan Sirajuddin yang menjadi ketua di meja penyunting. Pada tahun 1988 apabila Khalid ke luar negara dan Rosli memangku tugas beliau, saya pula memangku tugas Rosli. Mulai itulah saya berurusan secara terus dengan Sirajuddin.

Selalunya, pada pukul 6.00 petang, Sirajuddin akan menjerit dari mejanya: "Rosli…. Bad…kilang dah nak jalan, mana "kaki". Takde kaki macam mana nak jalan." Beliau sebenarnya bertanyakan berita ringkas dan menarik yang hendak dijadikan berita kaki di muka surat utama Utusan Malaysia. Berita kaki diletakkan di bahagian bawah sekali mukasurat pertama. (Sekarang dah tak ada kaki lagi)

Jika dalam masa 20 minit masih belum ada berita kaki, Siraj akan jerit lagi. "Buta perut betul… carilah,'' katanya. Bagi Siraj, tidak boleh kata tak ada kerana jika lambat lagi, nanti Mat Saman (Mohd. Saman pengurus kilang) pula yang mulai buat bising.

Kira-kira setahun kemudian, saya ditukarkan ke meja penyunting iaitu sebagai penolong kepada Sirajuddin. Bermula dari saat itulah beliau menjadi guru saya kerana selama hari ini, saya hanya tahu menghasilkan atau menulis berita dan rencana, tetapi kini terpaksa membantu beliau menyediakan mukasurat atau istilah masyhurnya 'buat page' .

Sirajuddinlah yang banyak mengajar saya membuat page. Dia juga menunjukajar bagaimana memilih berita utama, kedua dan selanjutnya menapis berita yang hendak digunakan dan menepis berita yang tidak dipakai.. Sebagai orang yang sangat berpengalaman iaitu memulakan kerjayanya ketika berusia 19 tahun, Sirajuddin adalah seorang bos yang tidak lokek dengan pengetahuan. Tidak ada apa-apapun yang disorokkan.

Tak pernah marah

Sirajuddin di luar pejabat dan di dalam pejabat adalah dua watak yang berbeza. Dia sangat rapat dengan anak-anak buah dan rakan-rakan sekerja tetapi beliau amat mementingkan mutu kerja. Namun, apa yang menarik mengenai Sirajuddin ialah beliau tidak pernah marah atau meninggikan suara. Itulah dia anak seorang uztadz!

Jika beliau menjeritkan 'buta perut' atau 'lembab; itupun dalam suasana bergurau, itu sudah boleh dianggap marah kerana beliau memang tidak pernah memarahi sesiapa, malah boleh berkawan dengan sesiapa sahaja dari tukang kebun dan budak pejabat hinggalah ke menteri.

Selain daripada sifatnya yang sangat mesra dengan semua orang, Sirajuddin juga adalah seorang yang sangat boleh diharapkan. Beliau akan membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan termasuklah meminjamkan dan memberi wang ringgit.

"Kadangkala, diapun tak ada duit, tetapi akan berusaha mencari untuk membantu kita, Tak dapat bantu dengan wang, beliau ajak duduk di rumahnya… tanggung makan minum,''begitu kata salah seorang rakan karib beliau, Rosle Azmi.

"Di Utusan ada dua Sirajuddin (seorang lagi Allahyarham Sirajuddin Mokhtar). Kedua-duanya mempunyai sifat setiakawan yang sama. Jika ada sesiapa yang bermasalah dengan kedua-duanya, individu itu adalah 'confirmed bloodyfool,' Rosle menyambung dan menegaskan Sirajuddin Rafia tidak mungkin ada pengganti.

Wartawan serba boleh

Jawatan terakhir Sirajuddin di Utusan ialah Penolong Ketua Pengarang Kumpulan dan bersara pada tahun 2004. Mengikut cerita dan pengalaman rakan-rakan seangkatan dengannya, Sirajuddin adalah wartawan serba-boleh. Beliau menyertai Utusan sebagai wartawan kadet. Pernah jadi wakil daerah, ketua biro (negeri), wakil luar negara, pengarang berita dan penyunting . Beliau juga berkeupayaan membuat pelbagai berita am, sukan, mahkamah, jenayah , ekonomi dan juga hiburan.

Beliau boleh juga menjadi pengendali teleprinter. Dengan bantuan Rosle Azmi, beliau amat mahir menggunakannya dan jika pengendali tiada, Sirajuddin akan menghantar berita ke kilang-kilang di Perai dan Terengganu dengan sendiri. Beliau juga boleh menjadi telefonis.

Pengalaman beliau bukan sahaja mahir dalam bidang kewartawanan malah beliau juga tahu proses aliran kerja penerbitan akhbar bermula dari Jabatan Pengarang hinggalah akhbar dipasarkan kepada pembaca.

Kalau dalam soal pengalaman tidak ada siapa yang boleh "kencing" beliau. Malah ada beberapa bekas kakitangan yang mendakwa beliau adalah gurunya telah berjaya menjawat pelbagai jawatan sebagai ahli parlimen, exco kerajaan negeri timbalan menteri, duta malah sebagai ketua pengarang akhbar sedangkan beliau sendiri tidak sampai ke peringkat itu.

Walaupun beliau tidak mempunyai nama besar sebagai tokoh kewartawanan tanah air seperti Samad Ismail, Pak Sako, Rahim Kajai, Mazlan Nordin dan sebagainya tetapi beliau boleh dianggap sebagai wartawan sejati yang tidak ada tolok bandingnya.

Kali pertama ditugaskan membuat liputan di mahkamah iaitu mengenai bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Mustapha yang berhadapan dengan kes tuntutan oleh anaknya, saya hampir-hampir menangis sehinggalah ditunjukajar oleh Sirajuddin. Ketika itu, seumur hidup, saya belum pernah menejejakkan kaki ke mahkamah, tetapi telah diarahkan membuat liputan kerana rakan yang ditugaskan tidak dapat hadir kerana sakit.

"Pergi je.. Masuk mahkamah tunduk tanda hormat. Catatkan apa sahaja yang dicakapkan oleh peguam, plantif dan defendan serta hakim. Nanti balik boleh bincang,'' demikian Sirajuddin memberi tunjukajar kepada saya.

Sirajuddin tidak kedekut orangnya. Nak pinjam duit boleh, pinjam keretapun boleh. Diajak ke kiri boleh ke kanan. Teringat saya pada suatu malam mengikut beliau melihat keindahan Kuala Lumpur. Oleh kerana tak biasa, saya pula mengajak seorang rakan lain iaitu Azman Suradi. Malam itu, Sirajuddin meminta saya menemani seorang rakannya kerana beliau terpaksa berjumpa seorang lagi rakan yang lain.

Kami temankanlah temannya itu tetapi empat atau lima jam kemudian barulah Sirajuddin muncul kembali untuk menjemput rakan yang ditinggalkan itu. Kira-kira pukul 3.30 pagi baharulah kami pulang dan Azman yang ketika itu hanya menaiki scrambler tanpa lampu sampai di rumahnya di Hulu Langat tatkala bapanya sedang melangkah ke surau untuk mengimamkan solat Subuh.

Apabila meminta melakukan sesuatu, perkataan yang pertama keluar dari mulut Sirajuddin ialah 'tolong'. Begitu jugalah beliau menggunakan perkataan tolong apabila memberi arahan seperti tolong cepat, tolong cari kaki, tolong buat muka 4 dan macam-macam tolong lagi….. Pendek kata, segala-galanya bersopan santun.

Bekerja bersama Sirajuddin walaupun hingga ke awal pagi tidak menyulitkan.. Jika bekerja bersama-sama, makan dan minumpun bersama-sama juga. Beliau akan belanja dan yang selalu menjadi 'runner' tentulah Rosle Azmi.

Sirajuddin (kanan) membawa kami meronda-ronda di kota London

Semasa Sirajuddin menjadi wakil Utusan di London, saya sempat bersamanya selama empat hari. Saya dan jurugambar Mustapha Kamal singgah dari Florida kerana mengikut Almarhum Sultan Selangor menyertai pertandingan golf di sana.

Walaupun sangat senior dan sebagai bos, Sirajuddin tetap menerima kunjungan kami dengan mesra. Beliau membawa kami saban hari melawat kota London dan kawasan sekitar. Kami masak dan tidur di rumahnya. Sirajuddin di KL dan di London, sama sahaja. Di sana, beliau perkenalkan kami kepada penyanyi S. Ahmad (Allahyarham) yang ketika itu mengendalikan sebuah restoran masakan Melayu.

Kebetulan, Maimunah Rashid (Pustakawan Utusan) dan suaminya sedang bercuti di sana dan apabila bertemu, kami bagaikan berada di Kampung Pandan sahaja. Beliau membawa kami ke kedai-kedai istimewa untuk membeli kenang-kenangan termasuklah peralatan di dapur.

Sirajuddin juga seorang yang pemaaf. Saya masih ingat lagi suatu ketika beliau meminta saya dan sahabat sepejabat, Kamal Zailani pergi ke Kampung Baru di ibukota. Beliau minta kami carikan kereta Honda Civic. Sebagai seorang Ketua Penyunting yang kami lihat sebagai satu jawatan tinggi, kami berpendapat Honda Civic adalah tidak sesuai, sebaliknya kami tempah untuknya Honda Accord iaitu lebih besar dan agak setaraf dengan jawatannya.

Sampai di pejabat, saya tunjukkan resit bayaran cengkeram dan kereta yang ditempah. Beliau hanya berkata, "Lah….buta perut betul… orang suruh belI lain, dia belI lain." Empat hari kemudian, bos kami itu memandu pulang Honda Accord, bukan Civic yang diminati. Saya tidak pasti sama ada beliau marah atau sebaliknya, tetapi beberapa tahun kemudian, apabila beliau membeli Mercedes Benz, beliau jual kereta itu kepada saya.

Semasa terpaksa berhenti berkhidmat dengan Utusan kerana bertanding dalam pilihanraya umum 1995, saya menitiskan airmata apabila Sirajuddin menghulurkan sekeping cek yang katanya untuk perbelanjaan minum teh.

"Ini sahajalah yang ada Bad…. Buatlah apa-apa yang patut.. Dah jadi YB nanti, jangan lupa kami di sini…,'' demikian pesan Sirajuddin pada malam sebelum penamaan calon pilihanraya tersebut. Sebagai seorang yang tidak mempunyai dana dan tidak mempunyai pendapatan dari sumber lain, beberapa orang rakan yang lain turut menghulurkan sumbangan ikhlas kepada saya.

"Port' atau tempat Sirajuddin menghabiskan waktu lapang, berjumpa kawan-kawan, mencari ilham dan mendapatkan maklumat, khususnya mengenai politik tanahair ialah Hotel Holiday Inn, City Centre di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Beliau sering membawa saya ke hotel itu, yang kini namanya Quality Inn.

Malah, beliau menjadikan sebuah bilik di hotel itu untuk tempat 'lepak-lepak' dan hampir semua kakitangan hotel itu mengenali Sirajuddin kerana beliau cukup mesra dengan mereka. Jika mahu mencarinya, tidak perlu pergi ke kaunter pendaftaran, kerana kakitangan yang menjaga parkingpun tahu sama ada beliau berada di situ atau sebaliknya.

Senario di hotel itulah yang akhirnya memungkinkan Sirajuddin menulis dalam ruangannya yang sangat masyhur dan digeruni iaitu Gossip Coffe House dalam Mingguan Malaysia. Malah, tulisannya dalam ruangan itu telah menyebabkan semakin ramai ahli politik yang berkunjung ke hotel berkenaan.

Saya berani menyatakan demikian kerana saya dilantik oleh kerajaan negeri Selangor (selaku pemilik) menjadi pengarah hotel berkenaan dari 1996 hinggalah 2008. Saya tahu siapa ahli politik atau 'macai' mereka yang sering datang ke bilik itu. Malah, kadang-kadang saya juga lepak di sana. Dengan itu, saya dapat mengikuti perkembangan pelanggan hotel dan gerak-geri mereka di situ.

Walaupun ketika bergelar pengarah, Sirajuddin tidak pernah meminta sesuatu daripada saya. Beliau berurusan di kaunter hotel dan tidak mahu menerima apa-apa kemudahan atau diskaun melalui kedudukan saya.

Seingat saya, Sirajuddin tidak pernah menjadi wartawan hiburan. Namun, hubungannya dengan para artis tidak dapat ditandingi. Sebelum wartawan hiburan dapat menghidu, Sirajuddin telah terlebih dahulu mengetahui artis mana menjadi janda dan artis mana pula yang bakal menjadi raja sehari. Artis mana kahwin dengan VIP pun beliau tahu, cuma kadang-kadang boleh tulis dan ada ketikanya tidak boleh.

Mona Effendy iaitu artis, jelitawan, usahawan dan bomoh yang berakhir dengan kisah pembunuhan dan pelbagai cerita menarik di sebalik hidupnya juga pernah berurusan dengan Sirajuddin. Saya bertugas pada waktu malam tatkala Mona berkunjung ke Utusan ketika itu.

Pulangnya Sirajuddin ke pangkuan Ilahi Sabtu lalu adalah kehilangan yang tidak mungkin dapat dicari ganti.

Namun, rakan-rakan rapat dan seangkatan dengannya boleh berpuashati kerana beliau pergi dengan damai. Malah beliau rebah di bahu Zainol Fakir, rakan seangkatan yang cukup rapat dengannya. Beliau berada di rumah seorang rakan bekas wartawan Utusan untuk menghadiri majlis doa selamat seorang lagi rakan, Faridah Hitam yang bakal berangkat ke tanah suci Mekah tidak lama lagi.

Kata seorang rakan yang lain, Non Enai; "Dia banyak kawan, dia pergipun di depan kawan-kawan.. Takkan ada seseorang lagi macam bos dan kawan yang begini. Hanya dia seorang."

Kata-kata Enai itu disahut dengan bukti betapa ramainya yang berkunjung ke rumah Allahyarham dan juga yang menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan di belakang Masjid Al-Ridhwan di Hulu Klang, Ahad pagi.

Setelah pengkebumian selesai dan kaum keluarga serta rakan taulan pulang, masih ramai lagi kenalan yang baharu mendpat perkhabaran berkunjung ke perkuburan berkenaan. Al-Fatihah. Untuk balunya Datin Siti… bersabarlah dan bersyukurlah kerana beliau telah kembali ke pangkuan Allah dengan damai.- 12/11/2008


PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 359  tetamu dalam talian