30Mei2020

Agenda Daily

Dah kenyang baharu sedar tersilap majlis....

ikon-bad-200-latest Baru-baru ini, adik saya melangsungkan majlis perkahwinan anak lelakinya. Majlis diadakan di rumahnya di Sabak Bernam, Selangor. Walaupun masih di dalam negeri Selangor, namun perjalanannya dari ibukota Kuala Lumpur mencecah tiga jam lamanya. Pada hujung minggu, perjalanan agak memenatkan kerana jumlah kenderaan meningkat. Peningkatan bukan sahaja kerana banyak majlis perkahwinan dan seumpamanya, tetapi juga kerana laluan pantai barat yang telah dibaiki oleh kerajaan Barisan Nasional.

Yang hendak saya catatkan minggu ini bukanlah perihal jalan berkenaan, tetapi pengalaman lucu salah seorang saudara yang tersilap singgah di rumah orang lain. Biarpun alamat lengkap dan ada peta lokasinya, tetapi oleh kerana itu adalah pengalaman pertamanya ke Sabak Bernam, saudara itu tersinggah di rumah pengantin lain. Nasib baik bertanya dahulu. Jika tidak.... terjadilah seperti apa yang saya alami dalam beberapa pengalaman yang lebih memalukan.

Al-kisah, terkenanglah mengenai seorang sahabat kenalan lama. Saya mengenali sahabat ini ketika kami sama-sama belajar kelas malam sebelum melanjutkan pengajian ke universiti. Apabila mendirikan rumah tangga, sahabat ini, Zainal namanya, menjemput kami ke majlis perkahwinannya di kampung halamannya di Muar, Johor. Saya dan isteri bersama-sama beberapa orang kawan lain berkereta ke Muar memenuhi jemputannya.

Sampai di kampung berkenaan, kami dapati tidaklah sukar mencari lokasi kerana rumah pengantin berada di tepi jalan utama. Sampai di sana, majlis kelihatan meriah, maklumlah orang Johor dengan adat dan budaya mereka. Paluan kompang dari dua pasukan amat meriah. Selalunya di tempat lain hanya satu pasukan kompang dijemput memeriahkan majlis, tetapi di situ ada dua dan kedua-dua pasukan itu saling berlawan paluan dan nyanyian.

Ketika menyertai majlis, kami disambut dengan penuh mesra setelah memperkenalkan diri sebagai kawan-kawan Zai dari Kuala Lumpur. Yang menyambut mempersilakan kami ke meja makan dan mempelawa menjamah hidangan yang disediakan. Selepas menyerahkan buah tangan yang dibawa, kamipun mulai 'mengayuh' sambil paluan kompang masih kedengaran. Tidak ada kugiran yang mengiring atau dj dengan set karoekenya. Hanya jeritan dan paluan kompang yang menjadi halwa telinga.

Memang enak masakannya, perut pula memang lapar. Maklumlah perjalanan agak jauh. Nak balik nanti, jauh juga, maka 'isi minyak' secukupnya. Nak dijadikan cerita, ketika mahu pulang, kami bersalam-salam dengan ahli keluarga pengantin sambil salah seorang bersuara; "Sampaikan salam kami kepada Zainal... terima kasih dan kami balik dulu...."

Yang menerima salam kami agak terpegun dan lantas berkata," Ini rumah Zainab, isterinya... Rumah Zainal, lagi enam tiang (merujuk kepada jumlah tiang elektrik di tepi jalan). Jika hamba Allah itu terpegun, kami lagilah... tergamam dan terkejut. Sambil bersalam sekali lagi, kami mohon maaf kerana sudah makan sekenyang-kenyangnya di majlis Zainab!

Dengan muka yang tebal kami beredar dari majlis berkenaan dan terus menuju ke rumah Zainal pula. Memang dari awal-awal lagi Zainal sudah memberitahu rumahnya 12 tiang dari simpang, tetapi kami yang silap tak kira tiang. Zainalpun tak pula beritahu rumah isterinya di kampung yang sama dan dipisahkan oleh enam batang tiang sahaja.

Itu cerita tersalah rumah di Johor. Saya dan isteri juga pernah melalui pengalaman mengaibkan di kawasan sendiri ketika berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat. Sudah menjadi kelaziman bagi saya keluar rumah pada awal pagi pada hari minggu kerana ada tiga hingga tujuh acara yang perlu dihadiri sehari. Keluar pagi, biasanya untuk merasmikan majlis sukan atau perjumpaan dengan rakyat melalui acara turun padang dan balik ke rumah sekitar pada waktu maghrib.

Pada suatu hari Ahad, selepas menghadiri dua majlis di Beranang dan Semenyih, saya bergegas ke dewan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di pekan Kajang. Tujuan ialah menghadiri majlis perkahwinan anak kepada saudara kontan saya. Sampai di sana, melihat pacuan empat roda YB, ramailah yang bersalaman.

Ramai sekali kenalan dan apabila sampai ke pintu utama dewan, saya dan isteri serta seorang kakitangan disambut oleh ibu bapa pengantin. Ibu berkenaan melemparkan senyuman lebar bagaikan menggambarkan kegembiraannya kerana YB dan isteri hadir ke majlisnya.

Saya yang terus pucat lesi kerana ibu dan bapa pengantin berkenaan bukan saudara saya tetapi seorang pegawai kanan kerajaan yang kebetulan dikenali. Ibubapa pengantin mempersilakan kami ke meja VIP tetapi walaupun diberikan layanan istimewa, saya tak larat nak telan nasi minyak sebab terlalu malu kerana tersalah majlis. Isteri saya tak perasaan langsung kerana dia ikut sahaja ke mana saya pergi tanpa mengetahui kami sebenarnya tidak dijemput ke majlis itu.

Sambil cuba menelan beberapa suap nasi... saya teringat senyuman melebar siibu pengantin. Mungkin senyumannya membawa pengertian lain. Pohon halalkanlah makan minum kami bertiga ketika itu. Kali ini, kami tak tersilap rumah, sebaliknya tersilap haribulan.

Majlis perkahwinan anak saudara saya itu rupa-rupanya diadakan pada minggu hadapannya di tempat yang sama. Dalam kereta, apa lagi... saya lepas geram pada kakitangan yang sepatutnya mengatur program harian saya. Diapun agaknya tak tahan kena syarah sepanjang jalan lalu menjawab...

"Bang, mana ada dalam jadual hari ni... Abang suruh singgah... saya singgahlah." Aduh...tebal muka lagi!

Dah menjadi kebiasaan bagi YB untuk hadir sebanyak mungkin di majlis-majlis yang dijemput. Untuk tujuan itu, saya juga pernah sampai ke rumah pengantin pada pukul 4.30 petang. Ingat macam di pekan...sampai pukul 5.00 petangpun majlis masih ada lagi. Lain pula halnya di sebuah kampung yang saya hadiri di Hulu Langat itu. Ketika sampai jam 4.30 petang, jangankan hidangan sudah tiada... beberapa orang kampung sedang membuka kemah setelah selesai mengemas peralatan-peralatan lain. Namun bapa pengantin dan pasangan pengantin tetap menyambut kedatangan kami.

Ahli-ahli keluarga bertungkus lumus menyiapkan hidangan walapun kami berkata, memadai dengan minum sahaja. Namun hajat mereka nak beri makan juga, maka makanlah kami pada petang yang bersejarah itu. Semasa bersalam-salaman selepas makan untuk pulang, keluarga pengantin kelihatan puas dengan kedatangan kami. Kali ini, kami tak tersalah rumah dan tak tersilap haribulan, cuma tersilap masa!

Ada juga pengalaman melucukan ketika menghadiri majlis perkahwinan. Suatu hari, seorang sudara 'bau-bau bacang' menjemput saya dan isteri ke majlis perkahwinan anaknya. Oleh kerana rumahnya di tepi jalan utama, saya singgah juga sebentar walaupun ada majlis rasmi yang patut dikejar.

Saya singgah tatkala pasangan pengantin sedang diarak ke meja makan. Bapa pengantin mempelawa kami ke meja utama di depan rumahnya. Bapa pengantin minta saya dan isteri serta kakitangan duduk sebentar kerana hajatnya maju kami makan bersama-sama mempelai. Saya akur dengan kehendak sibapa. Apabila sipengantin lelaki menghulur tangan dan menyapa saya, baharulah saya terkejut kerana sipengantin lelaki itu adalah rakan sekolah di Victoria Institution dan rakan karib di Asrama Dr. Latif milik Yayasan Selangor di ibukota.

Kali ini sah-sah tidak ada apa-apa yang silap. Semuanya betul belaka. Cuma pasangan ini tidak dapat bertahan lama kerana sebelumpun tamat tempuh saya menjadi ahli parlimen, tempuh hayat sahabat itu terlebih dahulu tamat. Al-Fatihah kerana Azhahari, rakan berkenaan yang telah kembali kepada Yang Esa.

Kisah tersalah rumah bukan sahaja saya alami di Hulu Langat tetapi juga di tanah suci Mekah. Kisah berlaku pada tahun 1987 apabila saya menyertai rombongan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Yusuf Noor (kini Tan Sri) mengerjakan haji. Kami mendapat layanan istimewa kerana menjadi tetamu diraja Istana Raja Fahd. Dapatlah duduk di istana yang dibina bersebelahan dengan Masjidil Haram.

D istana itu disediakan sebuah surau menghadap Kaabah dan bersembahyang di surau istana itu dianggap menjadi sebahagian jemaah di masjid. Walaupun demikian, saya dan juruiring Dr. Yusuf bernama Suhaimi lebih cenderung untuk berjemaah di masjid. Maklumlah itu adalah kali pertama kami ke sana. Bagaimanapun, pada kali pertama sampai ke istana waktu sudah melebihi waktu jemaah dan kami bersembahyang di surau berkenaan sahaja. Selepas sembahyang, kami meninjau segenap sudut masjid khususnya Kaabah.

Tidak disedari langsung ketika air mata berjuraian jatuh kerana tidak terfikir langsung mendapat rahmat Allah ketika itu Suhaimipun kelihatan begitu juga. Dengan linangan air mata dia menadah tangan sambil berdoa. Selepas itu kami menuju ke lif istana untuk pulang ke bilik di tingkat sembilan. Apabila lif berhenti, kami keluar dan terus menuju ke bilik. Saya suakan kunci dan terus membuka pintu. Apabila pintu dibuka terdengar jeritan, tetapi tidak kuat - sekadar terkejut agaknya. Jeritan itu datangnya dari seorang wanita yang berjubah. Kami berundur dan melihat nombor bilik.

Rupa-rupanya kami berada di tingkat tujuh sedangkan bilik kami di tingkat sembilan. Apakah gambaran yang hendak disampaikan..? Kami hanya tertanya-tanya sesama sendiri. Ketika itu apa yang terbayang hanyalah gambaran-gambaran pelbagai kesilapan yang dilakukan sebelum itu. Allahuakbar.-25/7/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1528  tetamu dalam talian